CADANGAN menaikkan had persaraan wajib kepada 65 tahun membawa pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat. Perubahan struktur demografi, jangka hayat rakyat yang semakin meningkat, implikasi terhadap pasaran kerja serta kesejahteraan dalam kehidupan menjadi topik hangat yang sering dikaitkan bersama cadangan umur persaraan baharu.
Masing-masing mengutarakan fakta dan naratif yang intipatinya mempersoalkan kewajaran umur persaraan ini dinaikkan. Tidak kurang juga yang menyokong kenaikan umur persaraan ini dek kos sara hidup semakin meningkat, harga barangan keperluan yang melonjak, simpanan hari tua semakin menyusut serta belanja perubatan naik secara drastik.
Saya mempunyai beberapa pandangan berhubung isu ini terutama daripada sudut perspektif pembangunan modal insan.
Tidak dinafikan peningkatan umur persaraan boleh menyebabkan peluang pekerjaan kepada graduan dan anak muda menjadi terhad. Golongan ini mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk menaiki tangga kerjaya kerana jawatan-jawatan utama masih dipegang golongan senior.
Dalam jangka masa panjang, ia boleh membawa ketidakseimbangan dalam pembangunan modal insan negara. Bakat baharu yang lahir daripada institusi pengajian tinggi (IPT) negara gagal dipamerkan. Mereka mungkin perlu menunggu lebih lama untuk menyertai mana-mana organisasi sama ada kerajaan mahupun swasta.
Namun begitu, sekali pun berjaya menempatkan diri, sudah pastinya kebanyakan mereka akan ditawarkan jawatan kontrak atau sementara ekoran tiada jaminan keselamatan kerjaya. Keterbatasan dan ketidakseimbangan perkembangan kerjaya dalam kalangan graduan membawa pelbagai impak dari segi moral dan emosi.
Situasi ini tambah buruk apabila cadangan kenaikan umur persaraan dikaitkan dengan kadar pengangguran yang berlaku dalam kalangan graduan. Jika ia realiti, maka sistem pendidikan tinggi negara yang merupakan wadah harapan bagi melahirkan graduan berdaya saing dan menjadi pewaris kepimpinan pada masa hadapan tidak akan kesampaian.
Hakikatnya, jumlah graduan dilahirkan IPT melebihi keperluan tenaga kerja. Graduan IPT tempatan bukan sahaja menjadi penganggur malah mereka juga terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian masing-masing.
Lepasan IPT semakin ramai dan ditambah pula dengan pasaran kerja yang semakin kompetitif, isu gaji rendah serta pekerjaan tidak sepadan dengan kelulusan menambah gundah-gulana dalam kalangan graduan.
Bank Dunia pula melaporkan lebih daripada satu perempat pemegang ijazah di Malaysia bekerja dalam bidang pekerjaan yang tidak setaraf kelayakan, selain sukar memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi.
Peluang pekerjaan graduan yang terhad juga wujud disebabkan berlaku ketidaksejajaran antara jumlah graduan dilahirkan IPT dengan jumlah pekerjaan ditawarkan industri disebabkan mereka ingin mengurangkan kos pengeluaran serta operasi. Perubahan persekitaran masa, memaksa organisasi memikirkan persaingan dari segi kos bagi meningkatkan daya saing dan kelestarian dalam perniagaan.
Masalah pengangguran yang dikaitkan dengan isu kenaikan umur persaraan bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi negara tetapi juga menjejaskan kesihatan mental dan emosi mereka yang mengalaminya.
Tidak bekerja dalam tempoh lama boleh menyebabkan stres dan kemurungan, yang akhirnya menyebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan selain cenderung melakukan perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah atau cubaan bunuh diri.
Realiti perkembangan teknologi komunikasi dan digital masa meletakkan generasi muda sebagai masa terkehadapan berbanding generasi sebelumnya. Proses pembelajaran teknologi baharu menyebabkan generasi senior yang enggan berubah beransur-ansur menjadi tidak signifikan kepada organisasi.
Justeru, saya merasakan amalan pengiktirafan sesetengah organisasi tidak harus bersandar pada faktor usia atau tempoh perkhidmatan, sebaliknya lihatlah prestasi dan potensi dipamerkan individu. Pengiktirafan bersifat terbuka ini selari dengan tuntutan organisasi yang amat mementingkan daya saing sumber manusia dan pembangunan modal insan.
Saya sendiri tiada jawapan tuntas untuk menghilangkan rasa resah gelisah dan gundah-gulana pelbagai pihak apabila isu ini dibangkitkan. Pun begitu, saya berpandangan kesedaran dan kesediaan untuk berubah menjadi kunci ampuh menelusuri kehidupan.
Mengimbau kenangan lalu, mendepani realiti masa kini dan menetapkan jangkaan masa hadapan mampu memberi jawapan kepada persoalan berhubung peningkatan umur persaraan.
BUKA RUANG
Perspektif pembangunan modal insan yang dikaitkan dengan cadangan umur persaraan 65 tahun wajar diberi pertimbangan dalam membuat keputusan akhir berhubung isu tersebut.
Harus juga diingat agar generasi senior tidak menongkat langit. Oleh itu, berilah ruang dan peluang kepada generasi masa kini atau anak muda meneroka dunia serta meluaskan pandangan mereka agar mampu menjadi sehebat generasi dahulu.
Semangat inilah yang akan melahirkan erti keharmonian dan kesejahteraan sebenarnya.
Janganlah terus membiarkan rasa dahaga apabila menunggu di tepi telaga tetapi rebutlah peluang keemasan ini dalam mengecap nikmat kehidupan yang sebenarnya.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










