Aksi persahabatan Korea Selatan uji Speedy Tigers 

Aksi persahabatan Korea Selatan uji Speedy Tigers 

SARJIT Singh (tengah) bersama pemain skuad hoki kebangsaan semasa menyertai siri Jelajah Australia sebelum ini. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Speedy Tigers akan mengadakan lima siri aksi persahabatan menentang Korea Selatan dalam siri jelajah negara itu sebagai persiapan terakhir mereka menghadapi Piala Negara-Negara pada Jun ini.

Ketua jurulatih, Sarjit Singh berkata, daripada lima perlawanan tersebut yang diadakan pada 21 hingga 28 Mei ini ia mampu mempertingkatkan taktikal pasukan menjelang kejohanan penting di Kuala Lumpur itu nanti.

Pengendali berusia 62 tahun itu berkata, siri Jelajah Korea Selatan turut  digunakan untuk melihat pengalaman yang dikutip oleh pemainnya yang sebelum ini berkampung di Australia dari 20 April hingga 2 Mei lalu.

“Jelajah Korea Selatan merupakan satu lagi fasa penting dalam pembinaan pasukan menjelang Piala Negara-negara. Objektif utama kami adalah untuk mempertajam lagi pelaksanaan taktikal kami, terutamanya dalam senario di mana ruang dan masa terhad.

“Korea Selatan mempersembahkan gaya permainan yang sangat berbeza iaitu pantas, tersusun dan berdisiplin tinggi. Jadi ini merupakan ujian yang baik untuk menyesuaikan diri dan membuat keputusan segera. 

“Kami juga mahu mengukuhkan kombinasi kami, mengukuhkan organisasi pertahanan kami, dan memberi peluang kepada pemain untuk beraksi di bawah tekanan perlawanan berintensiti tinggi.

“Di Australia, kami diuji secara fizikal dan taktikal menentang pasukan bertaraf dunia. Walaupun terdapat perkara positif termasuk struktur yang kukuh, pergerakan bola yang lebih baik dan usaha individu yang kuat. Kami tahu kami perlu meningkatkan konsistensi kami,” kata Sarjit.

Speedy Tigers turut mempunyai beberapa kejohanan besar tahun ini termasuk Piala Asia di India dari 27 Ogos hingga 7 September yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia, Piala Sultan Azlan Shah pada 22 hingga 29 November ini dan Sukan SEA di Thailand, 9 hingga 20 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN