KUALA LUMPUR: Keupayaan pertahanan negara kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada aset fizikal dan kekuatan konvensional, sebaliknya berteraskan analitik data, sistem autonomi serta integrasi kecerdasan buatan (AI).
Sejajar perkembangan tersebut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengoperasikan Makmal Revolusi Industri Digital (MRID) yang memberi tumpuan kepada pembangunan simulasi latihan ketenteraan maya berasaskan Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR).
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata, Revolusi Industri 5.0 telah mengubah landskap keselamatan dan pertahanan global, sekali gus menuntut transformasi sistematik dalam pendekatan latihan serta pembangunan teknologi.
“Keupayaan pertahanan hari ini bergantung kepada analitik data, integrasi AI, keselamatan siber dan sistem pintar. Inilah wajah pertahanan moden.
“Makmal ini bukan sekadar kemudahan akademik, tetapi platform implementasi aplikasi sebenar dalam konteks pertahanan, termasuk pembangunan kandungan digital bagi Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) aset strategik negara.
“Makmal bernilai RM4.1 juta itu turut dilengkapi sistem robotik, peranti VR, pengimbas 3D resolusi tinggi serta 29 komputer berprestasi tinggi bagi pembangunan kandungan 3D dan simulasi latihan realistik,” katanya ketika berucap pada majlis pengoperasian makmal berkenaan di Dewan Bestari UPNM, semalam.
Arman Rumaizi berkata, pendekatan teknologi imersif membolehkan latihan ketenteraan dijalankan secara lebih selamat, berkesan dan kos efektif, selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota dalam situasi sebenar.
Beliau menegaskan penubuhan makmal berkenaan turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat pertahanan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi strategik.
Katanya, sebagai universiti berteras pertahanan, UPNM bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi membentuk pemimpin masa hadapan yang memahami teknologi, berfikiran strategik dan mampu mengintegrasikan evolusi digital dalam kepentingan keselamatan negara.
Beliau yakin MRID akan memperkukuh ekosistem inovasi pertahanan negara melalui kolaborasi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), STRIDE dan industri pertahanan, sekali gus memastikan UPNM kekal relevan dalam era transformasi digital global. – UTUSAN










