KUALA TERENGGANU: Bergerak solo atau bersama gabungan baharu antara pilihan Pas jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan konflik dalaman tidak berkesudahan.
Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, Pas sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan bagi mengelakkan peluang kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, Pas masih meletakkan penyatuan ummah sebagai asas dan strategi paling penting untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Kalau Bersatu sudah tidak mampu membawa aspirasi politik orang Melayu, tidak mustahil Muafakat Nasional 2.0 bakal dilaksanakan.
“Bagi kami yang paling penting kekuatan politik orang Melayu dan semenanjung mesti terlaksana dalam pilihan raya yang akan datang untuk kestabilan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, parti itu tidak mempunyai pilihan lain selain bergerak secara berasingan daripada Bersatu pada pilihan raya akan datang sekiranya konflik dalaman parti berkenaan gagal diselesaikan.
Katanya, Pas tidak mampu untuk terus bersama sebuah parti yang masih diselubungi konflik dalaman yang berpanjangan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, sekiranya konflik itu merencatkan perjalanan PN, Pas tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa membuat keputusan drastik.
Dalam pada itu, Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, krisis dalaman Bersatu tidak boleh dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan pelantikan Pengerusi baharu PN yang belum diisi lebih sebulan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, Pas tidak pernah campur urusan parti komponen dalam PN, namun urusan pelantikan Pengerusi baharu gabungan itu perlu diberi keutamaan.
Ditanya tanggapan Pas melupakan semangat setiakawan jika meninggalkan Bersatu pada saat parti itu berdepan konflik, beliau berkata, keputusan diambil parti tersebut berpaksikan kestabilan negara dan kekuatan politik Melayu.
“Isunya bukan lupakan kawan, cumanya demi kestabilan gara dan kekuatan politik Melayu. Pas masih berusaha untuk stabilkan PN,” katanya.










