Wanita ejen perubahan ekosistem pertahanan negara

Wanita ejen perubahan ekosistem pertahanan negara

KERAJAAN harus terus memperkasa penyertaan wanita dalam sektor pertahanan melalui dasar progresif dan inisiatif yang menyokong pembangunan profesional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANAN wanita tidak hanya tertumpu di peringkat domestik semata-mata tetapi turut meliputi pentadbiran organisasi di pelbagai peringkat portfolio di samping dalam tadbir urus sesebuah negara termasuk bidang pertahanan yang banyak dipelopori kaum lelaki.

Sistem sokongan yang sistematik dan mampam melonjakkan kredibiliti dan kemampuan wanita sebagai ikon yang membawa impak positif. Seiring dengan perkembangan zaman, wanita kini diangkat sebagai pemimpin yang mampu membawa perubahan dalam strategi pertahanan negara.

Kepimpinan wanita mula diiktiraf dalam sektor keselamatan merujuk kepada keupayaan mereka dalam membuat keputusan yang tepat, kebolehan menyusun strategi dan mengendalikan operasi ketenteraan.

Keupayaan dan daya tahan yang ditonjolkan mampu menggalas tugas besar dalam kepimpinan pertahanan negara yang didominasi kaum lelaki. Walau bagaimanapun kini, sektor pertahanan negara lebih terbuka untuk memberi ruang kepada wanita sebagai ejen perubahan yang berperanan dalam membangunkan strategi pertahanan negara.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Dasar Pertahanan Negara menyokong usaha mempertingkatkan kepelbagaian dan keseimbangan jantina dalam sistem pertahanan negara misalnya dalam badan beruniform. Idea dan pandangan wanita tidak relevan untuk mendukung tugas tempur adalah jauh ketinggalan malah golongan itu kini merupakan salah satu komponen penting dalam dunia pertahanan.

Penyertaan semua lapisan masyarakat dalam mempertahankan kedaulatan negara termasuk wanita ditekankan dalam Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang diperkenalkan kerajaan.

Pendedahan awal di peringkat sekolah melalui penawaran kursus badan beruniform sedikit sebanyak mula menarik minat pelajar untuk berkecimpung dalam persatuan hingga ke peringkat pentauliahan.

Antara contoh kejayaan wanita dalam kepimpinan badan beruniform ialah lantikan Rohana Jupri menjadi pegawai wanita Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pertama yang dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda dan meletakkannya di barisan hadapan dalam kepimpinan agensi itu.

Seterusnya, Mejar Rose Adrianna Ibrahim Sukri merupakan, pegawai wanita pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), menggalas tugas dan jawatan sebagai Pegawai Memerintah Institut Penerbangan 1.

Lantikan dan penglibatan dua ikon wanita ini membuka mata semua pihak bahawa golongan ini mula memecah ‘siling kaca tradisonal’ yang menghalang mereka daripada memasuki jawatan kepimpinan walaupun memiliki kemahiran dan bakat yang diperlukan.

Wanita yang menggalas jawatan tinggi dalam sektor pertahanan menuntut nilai kepimpinan yang tinggi, ketegasan, kebijaksanaan dalam merancang operasi pertahanan serta keupayaan untuk menangani tekanan berhadapan dengan situasi kritikal. Mereka berperanan sebagai model inspirasi kepada generasi muda untuk menyertai sektor pertahanan sekali gus menyumbang tenaga, idea serta keringat demi menjamin kedaulatan dan keselamatan negara.

Dengan sokongan kuat agensi kerajaan seperti MINDEF, pelaksanaan Dasar Pertahanan Negara yang inklusif serta daya kepimpinan wanita yang semakin berkembang, peranan mereka sebagai ejen perubahan dalam strategi pertahanan negara menjadi semakin penting.

INISIATIF
Sistem pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan ketenteraan semata-mata tetapi turut melibatkan sumbangan tenaga mahir misalnya bidang kepakaran seperti kejuruteraan ketenteraan, perisikan, diplomasi keselamatan, teknologi maklumat pertahanan dan perubatan ketenteraan.

Dalam konteks antarabangsa, penglibatan wanita dalam kumpulan misi pengaman memberi ruang kepada mereka menunjukkan kebolehan sebagai wakil misi pengaman. Mereka terlibat dalam diplomasi pertahanan dan bantuan kemanusian dalam zon konflik. Pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam sistem pertahanan negara.

Polisi kesaksamaan jantina yang diperkenalkan sedikit sebanyak memberi ruang untuk wanita terlibat dalam proses pengambilan dan kenaikan pangkat. Tidak timbul soal diskriminasi anggota wanita dalam dua aspek ini dengan syarat mereka mempunyai keupayaan untuk meneruskan karier dalam bidang dan jawatan yang dipilih.

Tidak dinafikan, layanan sama rata merupakan cabaran utama dipenuhi kerana melibatkan perbezaan jantina terutama bidang ketenteraan banyak melibatkan aspek fizikal.

Selain itu, penawaran kursus dan latihan berbentuk pembangunan profesional dalam jangka pendek atau panjang boleh ditawarkan untuk menarik minat mereka melengkapkan kepakaran dan kemahiran yang diperlukan. Ia juga bagi mereka dan kekal bersaing secara kompetitif dengan rakan sejawat lelaki.

Latihan boleh dilaksanakan secara berkala melibatkan kerjasama rakan-rakan strategik dari dalam dan luar negara. Kerajaan melalui peranan MINDEF boleh terus bekerjasama rapat dengan negara-negara rangka anggota ASEAN dalam usaha memberi pendedahan kepada golongan wanita. Antara usaha sedia ada misalnya melibatkan kerjasama rapat melalui Rangkaian Pusat Pengaman ASEAN yang merupakan pusat pertama menyediakan latihan pelbagai dimensi.

Selain itu, sistem sokongan dalam aspek kebajikan amat diperlukan untuk menggalakkan penglibatan wanita sebagai ejen perubahan sistem pertahanan negara. Selain latihan yang berterusan serta sokongan daripada kerajaan dan masyarakat, kemudahan kerja yang mesra selain keluarga penting untuk memastikan keseimbangan antara kehidupan profesional dan peribadi mereka.

Penyediaan pusat asuhan dan khidmat jagaan kanak-kanak di jabatan pertahanan misalnya perlu mencukupi untuk mengurangkan beban tanggungjawab wanita sebagai ibu dan penjaga bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin semasa keluar bertugas.

Selain itu, jaminan peluang memajukan karier perlu lebih terbuka dan jelas agar mereka boleh merangka hala tuju untuk laluan karier bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Kebolehan mereka beradaptasi dengan persekitaran menjadikan wanita berpotensi untuk terus diangkat sebagai pemimpin dalam sektor pertahanan negara sebagai barisan hadapan dan memberi peluang memimpin dalam sektor keselamatan negara.

Oleh itu, wajar bagi kerajaan terus memperkasa penyertaan wanita dalam sektor ini melalui dasar yang progresif dan inisiatif yang menyokong pembangunan profesional mereka.

Penyertaan aktif wanita dalam pertahanan bukan sahaja mengukuhkan keselamatan tetapi juga mencerminkan kemajuan ekosistem pertahanan dan kematangan negara dalam aspek kesaksamaan gender.-UTUSAN

DR. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee ialah Penyelaras Teras 3, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

MOHD. Daud Mat Din ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas (Parlimen & Strategik), Pejabat Menteri Pertahanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN