‘Rampasan kuasa’ dalam Persatuan Kriket Malaysia?

Persatuan Kriket Malaysia ‘bergoncang’ isu dalaman

Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali yang meletak jawatannya secara mengejut semalam mendakwa wujud ‘rampasan kuasa’ (coup d’etat) dalam badan induk itu terhadap kepemimpinannya. 

Dalam satu kenyataan semalam, Mohammed Iqbal berkata, beliau yang menerajui MCA sejak 2021 menyifatkan tindakannya meletakkan jawatan sebagai satu langkah untuk memelihara integriti peribadi dan kecintaannya terhadap sukan kriket tanah air.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya merancang ‘coup d’ état (rampasan kuasa) ini. Kepada rakan-rakan yang turut meletakkan jawatan bersama saya hari ini, tindakan ini bukan kerana semangat setia kawan semata-mata, tetapi kerana memahami apa yang sepatutnya dilakukan dalam situasi sebegini.

“Sebagai bekas kapten pasukan kebangsaan, saya tahu bagaimana memimpin pasukan kebangsaan di atas padang. Sebagai Presiden MCA saya tahu apa makna memimpin dan hasrat negara untuk membangunkan sukan kriket,” katanya.

Malah, beberapa kepimpinan kanan badan induk kriket negara tersebut dipercayai turut mengambil langkah sama meletakkan jawatan masing-masing termasuk beberapa exco sedangkan tarikh mengadakan mesyuarat agung persatuan tersebut hanya tinggal kira-kira dua minggu lagi.

Utusan Malaysia cuba menghubungi Mohammed Iqbal dan beberapa exco persatuan itu, namun panggilan dan mesej tidak berjawab, tetapi dalam kenyataannya lagi, bekas kapten pasukan kebangsaan itu berkata, tindakan beliau semata-mata mahu mempertahankan integriti dan kecintaannya terhadap sukan kriket.

“Dengan meletakkan jawatan hari ini, saya mempertahankan integriti saya. Cinta saya terhadap sukan ini tidak pernah pudar, begitu juga komitmen saya untuk melihat bendera negara kita terus dikibarkan di persada dunia,” katanya.

Iqbal turut menegaskan, di bawah kepimpinannya dan barisan exco yang disifatkan beliau paling berjaya dalam sejarah kriket Malaysia, MCA telah mencatat pelbagai kejayaan luar biasa termasuk peningkatan ranking pasukan kebangsaan lelaki dan wanita ke kedudukan ke-24 dunia yang merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah kriket negara.

“Kami juga berjaya menjadi tuan rumah Kejohanan Kriket Remaja Wanita Asia Bawah 19 dan Piala Dunia Remaja Wanita, dengan yang terakhir mencatat lebih 750 juta penonton di seluruh dunia dan menjadikannya acara sukan paling banyak ditonton dalam sejarah Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, pendapatan tahunan MCA juga meningkat ketara daripada RM4 juta kepada RM17 juta sepanjang tempoh empat tahun kepimpinannya.

Iqbal turut menyeru agar generasi muda tidak terkesan dengan pergolakan yang berlaku, dan terus meyakini nilai murni yang terkandung dalam sukan kriket.

“Apa yang berlaku kebelakangan ini, bukanlah mencerminkan semangat sebenar kriket. Untuk anak-anak muda yang mungkin terdengar tentang peristiwa ini suatu hari nanti, saya harap ia tidak mencemari pandangan anda terhadap sukan kesayangan kita ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×