KONSEP keluarga bersekutu, keluarga bergabung atau keluarga luas yang terdiri daripada beberapa generasi tinggal sebumbung sudah semakin jarang dilihat di Malaysia.
Sebaliknya, konsep keluarga asas atau keluarga nuklear yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak sahaja semakin biasa dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan kaya dengan tradisi, konsep keluarga bersekutu pernah menjadi amalan biasa, khususnya dalam kalangan masyarakat di kawasan kampung serta bandar kecil.
Konsep rumah panjang khususnya dalam kalangan etnik Dayak, Iban dan Bidayuh di Sarawak, serta etnik Rungus dan Murut di Sabah juga merupakan keluarga bersekutu.
Walaupun kini semakin jarang diamalkan, konsep keluarga bersekutu masih menawarkan pelbagai kelebihan dari segi emosi, ekonomi dan sosial.
Apabila beberapa generasi tinggal bersama, ikatan kekeluargaan menjadi lebih erat.
Kanak-kanak membesar dalam suasana yang penuh kasih sayang bukan sahaja daripada ibu bapa, tetapi juga daripada datuk, nenek, bapa mahupun ibu saudara.
Dalam suasana seperti ini, setiap ahli keluarga mempunyai sistem sokongan emosi yang kukuh.
Apabila berlaku konflik atau tekanan hidup, keluarga besar dapat menjadi tempat meluah rasa, berkongsi pengalaman dan menerima nasihat berdasarkan hikmah dan pengalaman hidup.
Keluarga bersekutu sangat praktikal dalam hal penjagaan ahli keluarga yang memerlukan perhatian, seperti kanak-kanak dan warga emas.
Ibu bapa yang bekerja dapat meninggalkan anak-anak bersama datuk dan nenek tanpa perlu bergantung kepada pengasuh atau taska.
Begitu juga, warga emas tidak perlu tinggal di rumah jagaan kerana mereka masih dikelilingi anak dan cucu yang menjaga kebajikan mereka dengan penuh hormat dan kasih sayang.
Dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, tinggal bersama dalam satu rumah besar pasti dapat menjimatkan pelbagai kos. Bayaran bil elektrik, air, sewa dan makanan boleh dikongsi sesama ahli keluarga.
Hal ini mampu mengurangkan tekanan kewangan, terutama dalam kalangan golongan muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga.
Perbelanjaan yang dijimatkan boleh disalurkan kepada tujuan lain seperti pendidikan anak-anak atau simpanan jangka panjang.
Keluarga bersekutu menjadi tempat terbaik untuk menyemai dan memindahkan nilai-nilai budaya serta amalan tradisi dari generasi ke generasi.
Tradisi, identiti, jati diri, nilai, adat, kepercayaan, budi bahasa, kasih sayang, sikap tolak ansur, muafakat, persaudaraan dan sebagainya dipupuk serta dipelihara secara bersama oleh setiap ahli keluarga besar itu.
Dalam suasana ini, kanak-kanak lebih mudah mempelajari bahasa ibunda, adat resam, pantang larang serta sejarah keluarga.
Nenek dan datuk menjadi sumber ilmu tidak formal yang sangat berharga.
Pelbagai kisah lama, cerita rakyat, pengalaman silam, nasihat dan pengajaran pasti mampu disampaikan warga emas kepada cucu-cicit secara bersahaja.
Tradisi seperti memasak hidangan warisan, merayakan perayaan agama atau menjalankan upacara adat menjadi lebih hidup dan bermakna. Tidak dapat dinafikan, semua inilah yang amat kita rindui dan hanya menjadi nostalgia atau kenangan silam.
Apabila individu membesar dalam suasana kekeluargaan yang kuat dan berakar kepada sejarah keluarga serta nilai budaya, jati diri mereka lebih utuh.
Mereka tahu asal usul, memahami tanggungjawab terhadap keluarga dan menghargai pentingnya hubungan kekeluargaan. Perkara ini memberi kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran hidup serta membentuk warga yang mempunyai kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap komuniti.
Namun begitu, dalam era moden yang semakin kompleks dan mencabar, konsep keluarga asas atau keluarga nuklear iaitu susunan keluarga yang terdiri hanya daripada ibu, bapa dan anak-anak, semakin menjadi norma dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di Malaysia.
Walaupun masyarakat tradisional pernah mengamalkan konsep keluarga bersekutu yang melibatkan pelbagai generasi tinggal sebumbung tetapi perubahan sosioekonomi, budaya dan gaya hidup masa kini menjadikan keluarga asas lebih praktikal dan sering kali tidak dapat dielakkan.
KEKANGAN
Salah satu faktor utama ialah keperluan berpindah mengikut kerjaya. Ramai pasangan muda bekerja di bandar atau kawasan perindustrian yang jauh dari kampung halaman.
Demi memenuhi keperluan pekerjaan dan pembangunan kerjaya, pasangan ini terpaksa menetap di lokasi baharu bersama anak-anak sahaja. Keadaan ini menjadikan amalan tinggal bersama ibu bapa atau mentua tidak lagi praktikal.
Kebanyakan rumah moden yang dibina di kawasan bandar dan pinggir bandar bersaiz kecil. Kediaman seperti apartmen, pangsapuri dan rumah teres tidak direka untuk menampung lebih daripada satu keluarga nuklear.
Dengan ruang yang sempit dan kemudahan asas yang terbatas di rumah, keluarga muda lebih cenderung memilih tinggal sendiri bagi memastikan keselesaan serta hidup tanpa sebarang gangguan.
Generasi muda masa kini juga mempunyai keinginan tinggi untuk berdikari. Mereka ingin menguruskan rumah tangga sendiri tanpa campur tangan atau pengaruh daripada ibu bapa atau keluarga besar.
Misalnya dalam hal mendidik anak, mengurus kewangan dan membuat keputusan hidup. Keluarga asas memberi ruang kebebasan kepada si suami dan si isteri untuk melaksanakan kehidupan berkeluarga mengikut acuan sendiri.
Walaupun keluarga bersekutu menawarkan sokongan dan kebersamaan, ia juga boleh mendatangkan konflik. Perbezaan pandangan antara generasi, gaya hidup serta peranan dalam rumah tangga boleh menyebabkan tekanan emosi dan ketegangan hubungan.
Pasangan muda yang ingin mengelakkan konflik sebegini lebih rela membina keluarga asas untuk mengekalkan keharmonian dengan adik-beradik dan saudara mara.
Apabila ada perayaan, acara khas atau cuti hujung minggu, keluarga-keluarga asas ini akan mengunjungi rumah induk (ibu bapa), lalu mengekalkan suasana hormoni tanpa sebarang konflik atau sengketa.
Memanglah bertuah jika berpeluang mengamalkan konsep keluarga bersekutu. Pada masa sama, kita juga perlu akur pada cabaran dan kekangan moden yang menyebabkan konsep keluarga nuklear terpaksa dijadikan pilihan.
Apa-apa pun, pastikan hubungan mesra dan keharmonian bersama adik-beradik dan saudara mara kekal terpelihara.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










