PETALING JAYA: Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias berharap Persatuan Kriket Malaysia (MCA) mencari langkah berdamai bagi mengatasi kemelut dalam persatuan itu ketika ini.
Suhardi berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan kekecohan yang timbul dapat diselesaikan dengan tenang tanpa mencemarkan nama baik persatuan sehingga membawa kepada peringkat lebih tinggi.
“Setakat ini, kami belum mendapat sebarang laporan daripada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) tentang kemelut yang dihadapi, namun kami berharap masalah dapat diselesaikan secara kolektif atau secara dalaman terlebih dahulu.
“Kami berharap kedua-dua pihak akan cuba menyelesaikan masalah tersebut secara baik. Di bawah Seksyen 23 Akta Pembangunan Sukan 1997, adalah dinasihatkan persatuan itu menyelesaikan perselisihan pendapat mereka melalui jawatankuasa pertikaian dalaman.
“Mereka perlu mematuhi peruntukan di bawah perlembagaan mereka. Ini bagi mengelak perselisihan yang berlaku menjejaskan hubungan dengan baik persatuan dengan badan induk dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali melepaskan jawatan selaku Presiden MCA kerana mendakwa terdapat usaha rampasan kuasa dalam persatuan terbabit.
Menurut Mohammed Iqbal, keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak 2021 dibuat kerana sifat integriti serta kejujuran yang ada dalam dirinya, selain ia adalah satu tindakan demi kebaikan sukan berkenaan.
“Kriket adalah sukan yang berteraskan integriti, semangat kesukanan dan peraturan yang dihormati oleh jutaan pemain di seluruh dunia.
“Dengan meletak jawatan hari ini (kelmarin), saya mempertahankan integriti saya. Kecintaan saya terhadap sukan ini tidak akan luntur, begitu juga dengan tekad saya untuk melihat bendera negara kita berkibar di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Mengulas lanjut, Suhardi berkata, kemelut yang melanda MCA hanya merugikan sukan itu sendiri ketika prestasi mereka yang menunjukkan peningkatan ketika ini.
“Selepas menerima laporan, kita tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pihak persatuan untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku dan mencari penyelesaian terbaik demi sukan kriket,” katanya. – UTUSAN










