Malaysia mahu pertahan dominasi Piala Asia 2025 

Malaysia mahu pertahan dominasi Piala Asia 2025 

Ahmad Jais Baharun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menyahut saingan sepak takraw Piala Asia 2025 yang dijangka seimbang dan jauh lebih mencabar berbanding Kejohanan Piala Dunia tahun lalu.

Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berkata, anak-anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya dan akan memberikan persembahan yang terbaik pada kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 10 hingga 18 Mei ini.

“Kita dalam persiapan untuk mantapkan pasukan ke Piala Asia dan insya-Allah kita akan beri yang terbaik kali ini. 

“Ini cabaran besar dan tanggungjawab besar buat setiap pemain untuk membawa nama negara, dan harapan peminat kita bawa ke pentas tertinggi,” kata Ahmad Jais selepas majlis sesi undian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, kelmarin.

Ahmad Jais juga mengesahkan akan ada perubahan dalam senarai pemain yang bakal diumumkan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam masa terdekat.

Katanya, senarai itu sudah dimaklumkan kepada PSM dan pemain juga telah diberi taklimat mengenai tanggungjawab masing-masing di kejohanan kali ini.

“Senarai pemain kesemuanya ada pada PSM. Mungkin ada sedikit perubahan pemain yang akan kita pertanggungjawabkan untuk Piala Asia, dan semua pemain sudah pun dimaklumkan oleh PSM,” katanya.

Antara tumpuan utama adalah untuk mempertahankan kejuaraan dalam acara Regu dan Double yang menjadi simbol kekuatan Malaysia di pentas Asia.

Piala Asia ini juga menjadi medan tebus maruah selepas kekalahan dalam acara berpasukan di Piala Dunia 2024, dan Malaysia berazam mencabar dominasi Thailand.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×