Kos perniagaan dijangka terus meningkat hingga 2028 - Utusan Malaysia

Kos perniagaan dijangka terus meningkat hingga 2028

KOS perniagaan dijangka kekal tinggi dalam dua tahun akan datang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 80 peratus perniagaan di Malaysia menjangkakan peningkatan kos berterusan dalam tempoh dua tahun akan datang, sekali gus memberi tekanan kepada operasi syarikat meskipun majoriti firma semakin berupaya menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan perdagangan global.

Dapatan Tinjauan HSBC Global Trade Pulse 2026 menunjukkan jangkaan peningkatan kos dalam kalangan perniagaan tempatan lebih tinggi berbanding purata global sebanyak 72 peratus dan ASEAN sebanyak 79 peratus.

Tekanan itu bukan sekadar jangkaan apabila 68 peratus perniagaan di Malaysia melaporkan telah mengalami kenaikan kos dalam tempoh enam bulan lalu, khususnya melibatkan pengangkutan dan bahan mentah yang masing-masing dikenal pasti oleh 55 peratus responden sebagai antara cabaran utama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kos tenaga turut menjadi tekanan kepada 53 peratus firma, manakala 32 peratus responden berkata tarif dan ketidaktentuan perdagangan memberi kesan negatif kepada perniagaan mereka, termasuk 28 peratus yang melaporkan penyusutan hasil.

Ketua Solusi Perdagangan Global HSBC Malaysia, Shreyas Krishna berkata, perniagaan tempatan mengambil langkah lebih berdisiplin dalam menyesuaikan rantaian bekalan dan pengurusan aliran tunai bagi memperkukuh daya tahan operasi ketika berdepan ketidaktentuan perdagangan.

“Daripada dapatan tinjauan, ciri perniagaan di Malaysia yang menonjol ialah langkah berdisiplin yang diambil sebagai respons kepada ketidaktentuan perdagangan yang berterusan.

“Mereka melakukan perubahan yang ditimbang rapi terhadap rantaian bekalan dan pengurusan aliran tunai, dengan hasrat memperkukuh daya tahan operasi harian dan menyokong pertumbuhan masa hadapan,” katanya.

Tinjauan melibatkan 10,000 perniagaan di 26 pasaran, termasuk 250 syarikat di Malaysia, turut mendapati 53 peratus firma tempatan meningkatkan tahap inventori bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan, berbanding 43 peratus di peringkat global.

Dalam masa sama, 86 peratus perniagaan di Malaysia kekal yakin dapat meningkatkan perdagangan antarabangsa dalam tempoh dua tahun akan datang, menyamai purata global. Sebanyak 72 peratus responden turut menyatakan peningkatan kebergantungan terhadap pasaran Asia Tenggara, berbanding purata ASEAN sebanyak 66 peratus dan global 44 peratus.

Malaysia, Singapura dan Indonesia menjadi tiga pasaran utama pilihan perniagaan tempatan, masing-masing dengan 54 peratus, 52 peratus dan 41 peratus responden.

Sementara itu, peningkatan keperluan modal kerja turut menambah cabaran pengurusan kewangan apabila 65 peratus perniagaan berkata keperluan pembiayaan mereka meningkat sejak 2025, mengatasi purata global sebanyak 59 peratus.

Sebanyak 95 peratus responden juga menjangkakan sektor perbankan memainkan peranan lebih penting dalam menyokong perniagaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, khususnya dari segi pengurusan kecairan, pembiayaan dan pelaburan.

Selain itu, 93 peratus perniagaan telah menggunakan atau merancang untuk menggunakan peralatan AI, manakala secara purata firma tempatan melaksanakan sekitar empat daripada 10 langkah tadbir urus AI yang dinilai dalam tinjauan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini