PETALING JAYA: Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang tergesa-gesa mahu mengadakan Mesyuarat Agung (AGM) bagi melucutkan beliau dan timbalannya daripada jawatan, hanya dua minggu sebelum pemilihan rasmi yang dijadualkan berlangsung pada 27 April ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohammed Iqbal menegaskan, tindakan tersebut seolah-olah menggambarkan cubaan merampas kuasa secara tergesa-gesa, meskipun pemilihan bakal berlangsung dalam tempoh yang dekat.
“Kalau hari mengundi tinggal dua minggu saja lagi, kenapa perlu nak buat AGM untuk buang Presiden dan Timbalan Presiden? Tak boleh sabar dua minggu,” soalnya.
Mohammed Iqbal berkata, proses pemilihan adalah jalan paling demokratik untuk memilih pucuk pimpinan baharu dan sebarang cubaan untuk menggulingkan kepimpinan sedia ada lebih awal daripada itu seharusnya menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak.
“Kalau tak suka sangat pun, tunggu saja hari pemilihan. Kalau tak puas hati dengan Presiden, undi sahaja calon lain. Itu yang lebih matang dan beradab,” tegasnya.
Mohammed Iqbal turut mengesahkan bahawa beberapa ahli Exco lain turut meletakkan jawatan secara bersama sebagai tanda solidariti.
Beliau percaya kesemua mereka mengambil pendirian sama kerana kecewa dengan tindakan tergesa-gesa yang dilihat boleh merosakkan reputasi sukan kriket negara yang sedang meningkat naik.
“Kita buat semua ni secara sukarela. Bukan bergaji, bukan ada kepentingan peribadi. Hanya untuk bangunkan sukan kriket. Tapi bila dah jadi begini, memang kecewalah,” ujarnya.
MCA dijangka menjalankan pemilihan rasmi pada 27 April ini dan Mohammed Iqbal berharap barisan baharu yang bakal dipilih akan meneruskan usaha membangunkan kriket tanah air dengan cara yang lebih profesional dan bersatu.
Dalam satu kenyataan semalam, Mohammed Iqbal mengumumkan peletakan jawatannya selepas mendakwa wujud ‘rampasan kuasa’ dilakukan orang-orang tertentu dalam badan induk itu terhadap kepemimpinannya. – UTUSAN










