LONDON: Manchester United memerlukan lebih ramai pemain berkualiti dan memiliki karakter seperti kapten pasukan, Bruno Fernandes, kata pengendalinya Ruben Amorin.
Sepakan percuma pemain Portugal itu meletakkan tuan rumah di depan sebelum perlawanan menentang Arsenal berakhir dengan seri 1-1.
Keputusan seri itu sekali gus menambah kesukaran Arsenal dalam perebutan kejuaraan liga, manakala Chelsea mencerahkan peluang untuk merampas slot kelayakan ke Liga Juara-Juara selepas menang 1-0 ke atas Leicester.
Fernandes sebelum ini berdepan dengan kritikan yang mempersoalkan kepemimpinannnya apabila bekas pemain United, Roy Keane melabelkan dia sebagai ‘penipu’.
Namun, di sebalik musim bercelaru United, Fernandes kerap dianggap sebagai pemain yang banyak memberi inspirasi, malah jaringan cantik dilakukannya dalam babak pertama perlawanan di Old Trafford merupakan gol peribadi ke-12.
Sementara itu, pengendali Arsenal, Mikel Arteta menyatakan rasa kecewanya selepas diikat United sekali gus mengambarkan peluang Gunners untuk mencabar kedudukan Liverpool sebenarnya sudah berakhir apatah lagi kemenangan 3-1 Reds ke atas Southampton Sabtu lalu mengukuhkan kedudukan mereka dengan pemisah 15 mata.
“Saya tidak mahu bercakap lagi (buruan gelaran sudah berakhir) cumanya kecewa kami tidak menang perlawanan ini. Sepatutnya dalam setiap perlawanan kami mencatat kemenangan dan jika kita tidak melakukannya bermakna ia bukan masa terbaik bercakap mengenainya,” kata Arteta. -AFP/UTUSAN
Keputusan
Chelsea 1 Leicester 0
Man United 1 Arsenal 1
Tottenham 2 Bournemouth 2










