KUALA LUMPUR: Gesaan UMNO untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atas alasan kehendak rakyat berkemungkinan besar dibayangi motif tertentu terutamanya untuk mengelakkan lebih ramai pimpinannya termasuk dari komponen Barisan Nasional (BN) dari terjerat kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, AMK melihat tiada keperluan untuk mempercepatkan PRU16 kerana tempoh pemerintahan kerajaan Madani hanya akan tamat pada November 2027 dan negara sedang diuruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan begitu baik.
Justeru, katanya, motif UMNO untuk mendesak PRU disegerakan tidak mempunyai alasan yang kukuh selain daripada kerakusan mendapatkan kuasa dan ketakutan mereka sekiranya lebih ramai pimpinan BN akan dihadapkan ke mahkamah atas kecurangan pentadbiran mereka yang lalu.
“AMK berpegang teguh atas pendirian kerajaan Madani yang mahu menamatkan penggal pemerintahan selama lima tahun dengan usaha keras yang berterusan untuk membaik pulih negara dengan dasar-dasar ekonomi dan sosial yang mampu, selain kempen anti sakau,” katanya hari ini.
Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 beberapa hari lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan, sambil memberi isyarat bahawa parti itu bersedia membentuk kerjasama politik baharu apabila ‘biru’ bertemu ‘hijau’. – UTUSAN










