Dron Houthi cuba ceroboh ruang udara Mekah

Dron Houthi cuba ceroboh ruang udara Mekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Sistem pertahanan udara Arab Saudi memusnahkan sebuah dron Houthi di selatan Mekah sebelum ia memasuki ruang udara kota suci itu, menurut jurucakap gabungan tentera diketuai Arab Saudi di Yemen pada Rabu, ketika pertempuran semakin merebak di Asia Barat.

Dron yang dipintas pada petang Selasa itu merupakan cubaan kedua Houthi menyasarkan Mekah selepas pelancaran peluru berpandu balistik pada Julai 2017, kata jurucakap gabungan, Turki al-Malki, dalam satu kenyataan.

Cubaan itu berlaku selepas serangan bertali arus oleh pejuang Houthi yang disokong Iran sepanjang minggu lalu, sekali gus menyebabkan Arab Saudi semakin terheret ke dalam konflik berkenaan.

Mekah menempatkan antara tapak paling suci dalam Islam dan menjadi tumpuan ibadah haji setiap tahun.

Al-Malki berkata keselamatan Mekah adalah ‘garis merah’ bagi Arab Saudi. Pegawai Houthi bagaimanapun menafikan bahawa kumpulan itu menyasarkan Makkah.

Serangan terhadap Arab Saudi turut mengejutkan pasaran tenaga global yang bergolak akibat perang Amerika Syarikat (AS)-Iran selama enam bulan, yang menyebabkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Houthi menguasai sebahagian kawasan pantai Laut Merah di Yemen yang menghadap Bab al-Mandab, antara selat perkapalan terpenting dunia.

Penguasaan kawasan itu mengancam eksport minyak Arab Saudi yang sebelum ini dialihkan dari laluan Selat Hormuz.

Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan di Makkah pada Selasa, namun anggota biro politik Houthi, Mohammed al-Farah, menafikan kumpulan itu menyasarkan kota berkenaan.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘pembohongan terang-terangan’ dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SABA kendalian Houthi.

Houthi mengumumkan beberapa serangan besar terhadap Arab Saudi sepanjang minggu lalu, termasuk serangan ke atas sebuah pangkalan udara pada Isnin yang didakwa sebagai tindak balas terhadap serangan udara terhadap Yemen.

Pegawai gabungan tentera diketuai Arab Saudi berkata serangan ke atas pangkalan udara itu mencederakan 13 orang awam.

Arab Saudi turut menuduh sebuah kumpulan lain yang pro-Iran dan berpangkalan di Iraq sebagai dalang serangan pada Jumaat yang melumpuhkan salah satu laluan pengangkutan minyak terpenting negara itu, iaitu Saluran Paip Timur-Barat merentasi gurun Arab Saudi.

Saluran Paip Timur-Barat sepanjang 1,200 kilometer yang menghubungkan medan minyak Arab Saudi di Teluk dengan Laut Merah menjadi laluan eksport utama negara itu ketika penghantaran melalui Selat Hormuz terganggu akibat perang yang berlarutan hampir tujuh bulan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×