Reformasi keselamatan kebakaran jamin masa hadapan selamat

Reformasi keselamatan kebakaran jamin masa hadapan selamat

RISIKO kebakaran di bangunan bertingkat, komuniti berpagar dan perumahan mampu milik masih belum ditangani dengan menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kebakaran di negara ini. Dikawal selia oleh Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), JBPM bertanggungjawab dalam aspek pencegahan kebakaran, pemadaman api, perlindungan nyawa dan harta benda serta penyediaan perkhidmatan kemanusiaan.

Akta ini juga memberi kuasa kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menetapkan garis panduan bagi memastikan keselamatan awam daripada risiko kebakaran.

Selain itu, JBPM bertindak sebagai agensi teknikal yang menilai pelan bangunan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984. Namun, JBPM bukan antara agensi yang diperlukan dalam proses kelulusan kebenaran merancang.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan kebakaran, kerajaan merancang pindaan terhadap Akta 341 pada tahun ini. Pindaan ini telahpun diluluskan di Parlimen pada 5 Mac, lalu.

Langkah ini bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan dan memperkemas peraturan keselamatan kebakaran.

Antara pindaan utama adalah termasuk kawal selia lebih ketat terhadap Briged Bomba Sukarela, penetapan piawaian akreditasi bagi firma dan perunding keselamatan kebakaran serta kelayakan individu dan kontraktor dalam bidang ini.

Selain itu, kawalan terhadap peralatan pemadaman api serta penyelenggaraan kelengkapan keselamatan akan diperketatkan.

Dari segi latihan, kerajaan mencadangkan akreditasi kepada penyedia latihan bagi meningkatkan kecekapan tenaga kerja dalam memastikan keselamatan kebakaran lebih efektif. Briged Bomba Persendirian juga akan dikawal selia dengan lebih ketat bagi memastikan kepatuhan terhadap piawaian kebangsaan.

Satu lagi perubahan ketara adalah penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK), yang akan mewajibkan premis tertentu melantik Pengurus Keselamatan Kebakaran dan Pegawai Keselamatan Kebakaran. Langkah ini memastikan setiap premis mempunyai individu yang bertanggungjawab dalam pengurusan keselamatan kebakaran. Menjelang 2026, lebih 4,000 pengurus dan pegawai keselamatan kebakaran dijangka dilantik di Kuala Lumpur sebagai sebahagian usaha memperkukuh pengurusan keselamatan di bandar raya ini.

MASIH ADA KELEMAHAN
Meskipun pindaan ini membawa banyak manfaat, masih terdapat kelemahan dalam aspek keselamatan kebakaran khususnya di sektor perumahan. Risiko kebakaran di bangunan bertingkat, komuniti berpagar dan perumahan mampu milik masih belum ditangani dengan menyeluruh.

Tiada peraturan khusus yang jelas mengenai keselamatan kebakaran bagi bangunan kediaman seperti flat kos rendah, asrama pelajar dan bangunan warisan. Banyak bangunan lama tidak mempunyai laluan kecemasan yang mencukupi, pintu tahan api atau lampu kecemasan yang berfungsi. Justeru, adalah wajar jika kerajaan mewajibkan keperluan pintu kalis api, sistem pengesan asap dan sistem renjis air di pangsapuri bertingkat. Selain itu, penggunaan bahan binaan tahan api perlu diwajibkan dalam reka bentuk bangunan bagi memastikan keselamatan penghuni.

Di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), Akta 341 dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984, badan pengurusan strata seperti Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) bertanggungjawab memastikan keselamatan kebakaran di bangunan yang mereka selenggara. Namun, banyak badan pengurusan gagal menyelenggara sistem keselamatan kebakaran dengan baik, mengakibatkan alat pemadam api, penggera kebakaran dan sistem renjis air tidak berfungsi atau dibiarkan terbiar.

Latihan kebakaran juga jarang diadakan, menyebabkan penduduk kurang bersedia menghadapi kecemasan. Oleh itu, denda lebih ketat perlu dikenakan terhadap badan pengurusan yang gagal mematuhi tanggungjawab mereka, selain mewajibkan latihan kebakaran tahunan bagi bangunan melebihi lima tingkat dan mempertingkatkan penguatkuasaan.

Situasi lebih membimbangkan di flat kos rendah kerana banyak bangunan tidak mempunyai pintu kecemasan, alat pengesan asap atau struktur tahan api. Pengubahsuaian haram yang menggunakan bahan mudah terbakar serta penggunaan silinder gas secara tidak terkawal turut meningkatkan risiko kebakaran. Oleh itu, audit keselamatan kebakaran harus dijalankan dua kali setahun di projek perumahan kos rendah, di samping larangan terhadap pengubahsuaian berisiko tinggi dan kawal selia lebih ketat oleh pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama JBPM.

Satu lagi cabaran utama adalah keselamatan kebakaran dalam unit sewaan jangka pendek seperti Airbnb dan inap desa. Pada masa ini, pemilik premis tidak diwajibkan mematuhi peraturan keselamatan kebakaran, menyebabkan banyak unit ini tidak mempunyai laluan kecemasan, alat pemadam api atau pengesan asap. Oleh itu, pemilik Airbnb dan inap desa harus diwajibkan menyediakan alat pemadam api dan sistem pengesan asap, di samping menjalani pemeriksaan keselamatan kebakaran setiap dua tahun. Pelan laluan kecemasan juga harus diwajibkan bagi setiap unit yang disewa.

Pelaksanaan semua cadangan ini sudah pasti memerlukan peruntukan kewangan tambahan bagi tujuan pembangunan infrastruktur, latihan dan penguatkuasaan. Oleh itu, pendekatan kawal selia kendiri perlu digalakkan dengan mewajibkan pemilik premis, pengurus keselamatan kebakaran dan pegawai keselamatan kebakaran menjalankan audit keselamatan secara berkala.

Insentif kerajaan dan pelepasan cukai perlu diberikan kepada pemilik premis yang memasang sistem keselamatan kebakaran seperti pemercik air. Pada masa sama, kerajaan boleh menawarkan insentif kepada perunding dan kontraktor keselamatan kebakaran, bomba swasta dan bomba sukarela bagi membantu JBPM dalam penyediaan latihan keselamatan kebakaran, seperti yang dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

Pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Bomba 1988 adalah keperluan mendesak bagi menangani cabaran keselamatan kebakaran yang semakin kompleks akibat perubahan gaya hidup moden, kepadatan penduduk dan pembangunan bandar yang pesat.

Dengan memperkukuh penguatkuasaan, memperkasakan JBPM, peralatan dan infrastrukturnya, mengemas kini peraturan bangunan, memperbaiki latihan serta meningkatkan kesedaran awam, Malaysia boleh memastikan keselamatan rakyat lebih terjamin dan mengurangkan kadar kematian serta kerugian harta benda akibat kebakaran secara signifikan.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah pensyarah di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN