KETERUJAAN menyambut Hari Raya Aidilfitri sudah semakin terasa menjelang tibanya 1 Syawal, dalam beberapa hari sahaja lagi. Dendangan lagu-lagu raya yang berkumandang menambahkan kemeriahan suasana di samping menggamit nostalgia berhari raya bersama insan-insan tersayang yang berada jauh di mata.
Di lebuh-lebuh raya, kenderaan berasak-asak apabila mereka yang berada di perantauan mula pulang ke kampung. Beginilah suasananya saban tahun, perjalanan yang panjang hampir tidak terasa kerana keseronokan untuk berkumpul bersama sanak saudara.
Di kampus universiti, keadaannya semakin lengang. Tiada lagi suasana ceria di bazar Ramadan di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah yang sebelumnya menjadi tempat tumpuan warga universiti membeli juadah berbuka puasa. Kebanyakan rakan-rakan mahasiswa sudah mula pulang ke kampung halaman sejak hujung minggu yang lalu bagi menikmati minggu terakhir bulan Ramadan bersama keluarga masing-masing.
Istimewanya, pada Ramadan tahun ini, selain daripada berpuasa di Kuala Lumpur, saya turut mendapat rezeki merasai suasana berbuka dan bersahur di Bandar Seri Begawan, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.
Pengalaman berbuka puasa di perkarangan Masjid Omar Ali Saifuddien bersama-sama warga Bandar Seri Begawan begitu istimewa sekali di hati kami. Keadaan sekelilingnya yang damai dengan berlatarbelakangkan seni bina masjid yang sangat indah, ditambah dengan penataan cahaya lampu yang sangat cantik menjadikan suasana di situ benar-benar menakjubkan.
Tugasan untuk mendokumen beberapa tempat bersejarah Bandar Seri Begawan serta temu janji bagi mengadakan perbincangan bersama salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Negara Brunei, Yang Berhormat Chong Chin Yee telah membawa kami bertiga ke bumi Brunei Darussalam dua minggu lalu.
Brunei ialah sebuah negara yang kaya dan moden, namun di sebalik kemewahan hidup yang dinikmati rakyatnya, mereka masih mengekalkan, mengamal serta menghayati nilai-nilai tradisi budaya serta nilai agama yang kuat dalam kehidupan seharian. Bagi saya, inilah keunikan Brunei yang tiada tolak bandingnya.
Sebelum berbuka, kami mengambil peluang untuk merasai kelainan dengan membeli juadah berbuka di Gerai Ramadan Stadium berhampiran Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang terkenal dalam kalangan warga tempatan. Memang rambang mata ketika memilih pelbagai juadah untuk dibeli.
Menariknya, terdapat sebilangan gerai yang menjual hidangan asli dan istimewa daripada pelbagai negeri di negara kita. Gerai-gerai yang diusahakan rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Brunei begitu ketara ciri ke-Malaysiaannya kerana menerima bayaran menggunakan kod QR, sedangkan gerai lain rata-ratanya hanya menerima bayaran secara tunai.
Namun, satu perkara yang amat memeranjatkan saya ialah harga makanan dan minuman di gerai Ramadan tersebut adalah lebih murah berbanding harga makanan yang dijual di bazar Ramadan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Pada masa sama, makanannya enak dan saiz hidangannya besar.
Berdasarkan pengalaman saya membayar harga makanan di Singapura, pada mulanya saya menyangkakan harga makanan di Bandar Seri Begawan adalah setara dengan harga di Kota Singa itu, tetapi sebaliknya sangkaan saya meleset kerana keadaannya tidak begitu.
Menariknya, walaupun nilai mata wang bagi kedua-dua negara tersebut tidak jauh bezanya namun harga makanan di Brunei jauh lebih murah berbanding di Singapura. Malah, taraf hidup yang tinggi di Singapura menjadikan segala-galanya di kota metropolitan tersebut mahal harganya termasuk harga makanan dan tempat tinggal.
Manakala di Brunei pula, sistem pemerintahannya yang sangat mengutamakan kebajikan rakyat menjadikan kehidupan penduduk fi negara itu lebih selesa dengan harga barang dan perkhidmatan yang tidak melambung tinggi.
Pengalaman saya berbuka puasa di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang pula tidak banyak bezanya berbanding dengan suasana di Kuala Lumpur, cuma kemeriahan suasana Ramadan di ibu kota lebih terserlah.
Seperkara lagi yang menarik ialah kadar jenayah di Brunei adalah sangat rendah. Kecurian jarang berlaku dan para jemaah tidak perlu risau kehilangan kasut walaupun daripada jenama terkenal ketika berada di surau dan masjid.
Nilai-nilai murni inilah yang harus diterapkan kembali ke dalam jiwa masyarakat kita. Dalam kegigihan mengejar harta dan wang ringgit, jangan sampai kita terperangkap dalam kehidupan yang sia-sia dan jauh terpesong dari nilai agama dan budaya.

MASIH TIDAK SERIK BAHAYA MERCUN
Menyambut kemuliaan Ramadan dan menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan menjelang tibanya Syawal tidak harus dicemari dengan dentuman mercun yang silih berganti. Amat malang apabila mercun dijual tanpa rasa bersalah sedangkan ia sangat memudaratkan. Adakah itu caranya kita merafak rasa syukur kepada Allah?
Ibu bapa mengeluh kerana keadaan hidup yang semakin mencabar tetapi sebaliknya membiarkan anak-anak mereka membakar duit dengan membeli mercun. Malah, bukan setakat membakar duit, tetapi sudah ramai yang membakar masa hadapan setelah cedera teruk akibat terkena letupan mercun yang mereka nyalakan.
Pengalaman dibaling mercun ketika berjalan pulang daripada surau bersama arwah ayah ketika berusia empat tahun masih segar dalam ingatan. Sedang saya seronok bercerita, tiba-tiba mendengar jeritan menyuruh saya berhati-hati. Serentak dengan itu mercun yang dibaling meletup di hadapan saya. Seraya itu juga, kedengaranlah ketawa daripada kanak-kanak yang sedang membakar mercun berhampiran jalan.
Kenapakah nilai-nilai negatif begini dibiarkan tumbuh subur tanpa usaha keras daripada ibu bapa untuk membanterasnya? Melentur rebung biarlah dari rebungnya. Jika kanak-kanak dibiarkan merasa seronok kerana menyakiti orang lain, lama kelamaan mereka akan hilang rasa belas kasihan dan tiada lagi perasaan insani dalam diri mereka.
Semoga ibadat di bulan Ramadan ini mendorong kita menjadi insan yang lebih baik, bertakwa dan cemerlang serta menjauhi diri kita daripada sifat-sifat keji dan tercela. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










