Nasihin galas misi besar

Nasihin galas misi besar

Pemain hoki wanita kebangsaan menjalani latihan harian sebagai persiapan ke beberapa kejohanan pada tahun ini. - IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih hoki wanita negara Nasihin Nubli Ibrahim menggalas misi besar untuk menyediakan empat pasukan skuad kebangsaan yang akan membawa cabaran Malaysia ke dua kejohanan besar pada tahun ini. 

Skuad hoki wanita negara dijadual beraksi di Piala Dunia Remaja serta Sukan SEA 2025 Thailand dengan empat pasukan yang perlu dibentuk oleh Nasihin bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Ini kerana tiga pasukan iaitu hoki padang, lima sebelah dan dalam dewan bakal dibentuk bagi memburu pingat emas di temasya dwitahunan itu selain satu skuad dihantar ke Chile menghadapi Piala Dunia Remaja.

Mengulas lanjut, Nasihin berkata, dia telah membuka pintu seluas-luasnya kepada pemain yang dirasakan bersesuaian untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Jadi kita akan cari pemain terbaik untuk hoki padang, saki-baki daripadanya masih boleh memperkuatkan pasukan untuk dalam dewan dan lima sebelah,” katanya.

Terdahulu, skuad hoki wanita menjalani dua aksi persahabatan menentang Afrika Selatan dengan kedua-duanya tewas 1-2 dan 1-6 di  Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, minggu lalu dengan perlawanan tersebut dijadikan platform untuk Nasihin memilih pemain.

“Untuk kita menentang Afrika Selatan, pasukan yang pernah bertanding di Sukan Olimpik dan Piala Dunia, kita menetapkan syarat sebagai syarat pemilihan pasukan 2025.

“Memandangkan kita ada Sukan SEA 2025, ada tiga pasukan (perlu dibentuk) serta Piala Dunia Remaja, jadi ada empat pasukan,” katanya.

Sebagai rekod, skuad hoki wanita negara memenangi pingat emas acara hoki padang serta meraih perak hoki dalam dewan di Sukan SEA 2023 dekat Kemboja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×