Membentuk Generasi Z yangbijak, beretika dalam dunia digital

Membentuk Generasi Z yang bijak, beretika dalam dunia digital

GENERASI Z sangat terhubung dengan teknologi dan mahir menggunakan pelbagai platform digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENERASI Z, merangkumi individu lahir antara 1997 hingga 2012, merupakan generasi pertama dibesarkan dalam era digital sepenuhnya. Mereka dikenali sebagai digital natives kerana terdedah kepada teknologi seperti internet, telefon pintar dan media sosial sejak kecil.

Namun, penguasaan teknologi sahaja tidak menjamin kejayaan dalam dunia digital yang semakin kompleks. Pendidikan digital yang efektif, dilengkapi elemen komunikasi yang kuat, adalah kunci untuk membantu Generasi Z mencapai potensi penuh mereka.
Ini kerana mereka berhadapan cabaran seperti maklumat palsu, ketagihan teknologi dan tekanan sosial dalam talian. Pendidikan digital untuk golongan ini perlu melangkaui kemahiran asas teknologi dengan memberi penekanan kepada literasi digital, keselamatan siber dan kemahiran komunikasi yang efektif.

Literasi digital merangkumi keupayaan menggunakan teknologi dengan bijak dan bertanggungjawab. Literasi digital bukan sekadar kemahiran menggunakan peranti atau aplikasi, tetapi melibatkan pemahaman mendalam tentang bagaimana teknologi mempengaruhi kehidupan seharian. Antara aspek penting yang perlu ditekankan dalam literasi digital ialah:
• Mengenal pasti maklumat palsu: Mereka perlu diajar cara menilai kesahihan maklumat di internet. Ini termasuk memahami sumber maklumat yang boleh dipercayai, memeriksa fakta sebelum berkongsi sesuatu berita dan mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat atau menyesatkan. Dengan kemahiran ini, mereka dapat menjadi pengguna internet yang lebih kritis dan bertanggungjawab.

• Keselamatan siber: Keselamatan siber adalah aspek penting dalam literasi digital. Generasi Z perlu memahami kepentingan melindungi data peribadi, seperti maklumat bank, kata laluan dan butiran peribadi lain. Mereka juga perlu diajar untuk menggunakan kata laluan yang kukuh dan berhati-hati dengan risiko seperti serangan phishing, penipuan dalam talian dan malware. Kesedaran ini dapat membantu mereka mengelak daripada menjadi mangsa jenayah siber.

• Etika digital: Selain kemahiran teknikal, golongan ini juga perlu dibantu untuk memahami etika digital. Ini termasuk kesedaran tentang tanggungjawab sebagai pengguna internet, seperti menghormati privasi orang lain, tidak menyebarkan kandungan yang boleh menyinggung perasaan dan menghindari buli siber. Etika digital yang baik bukan sahaja melindungi diri mereka, tetapi juga mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih positif dan selamat.

Dengan menguasai literasi digital, Generasi Z bukan sahaja dapat menggunakan teknologi dengan lebih efektif, tetapi juga menjadi pengguna internet yang bijak, bertanggungjawab, dan beretika. Ini adalah langkah penting untuk memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran dan peluang dalam era digital yang semakin kompleks.

KEMAHIRAN KOMUNIKASI
Generasi ini perlu diajar untuk berkomunikasi secara berkesan dalam pelbagai platform digital. Beberapa elemen utama yang perlu diberi perhatian ialah:
• Komunikasi terbuka dan jujur: Keupayaan menyampaikan idea dengan jelas dan telus, sama ada melalui teks, video atau audio.

• Kemahiran kerjasama: Menggunakan platform seperti Google Docs, Slack dan Microsoft Teams untuk bekerja dalam kumpulan dan menyelesaikan masalah secara kolektif.
• Komunikasi visual: Menggunakan media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube untuk menyampaikan mesej secara kreatif dan menarik.

PENDIDIKAN DIGITAL MELALUI PEMBELAJARAN INTERAKTIF
Golongan ini cenderung lebih berminat kepada kaedah pembelajaran yang interaktif dan menarik. Oleh itu, pendidikan digital perlu mengadaptasi pendekatan yang sesuai dengan gaya pembelajaran mereka.

Salah satu kaedah efektif ialah pembelajaran berasaskan projek. Melalui aktiviti seperti membangunkan blog, menghasilkan video atau mencipta aplikasi mudah alih, Generasi Z bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman tentang konsep yang dipelajari, tetapi juga mengasah kreativiti dan kemahiran penyelesaian masalah.

Selain itu, penggunaan hibur pendidikan (edutainment) dan simulasi dalam talian juga dapat membantu generasi ini memahami konsep kompleks dengan cara yang lebih menyeronokkan dan interaktif. Contohnya, permainan simulasi seperti SimCity atau aplikasi pembelajaran interaktif seperti Duolingo boleh menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan berkesan.

Kelas dalam talian interaktif juga merupakan salah satu pendekatan yang sesuai untuk Generasi Z. Platform seperti Zoom, Google Classroom dan Kahoot boleh digunakan untuk meningkatkan keterlibatan pelajar dalam sesi pembelajaran. Melalui alat seperti kuiz interaktif, perbincangan kumpulan dan tugasan kolaboratif, pelajar dapat berinteraksi secara aktif dengan guru dan rakan sekelas, seterusnya menjadikan pembelajaran lebih dinamik dan bermakna.

Dengan menggabungkan kaedah pembelajaran interaktif ini, pendidikan digital dapat memenuhi keperluan dan minat Generasi Z, sekali gus membantu mereka mencapai potensi penuh dalam era digital yang serba mencabar ini.

MEMBINA DAYA TAHAN, KEKUATAN MENTAL
Mereka jug perlu dilengkapi dengan daya tahan dan kekuatan mental bagi menghadapi cabaran dunia digital. Beberapa strategi yang boleh diterapkan termasuk:
• Generasi Z perlu diajar untuk menghadapi cabaran dengan tenang serta mencari penyelesaian yang kreatif.
• Menetapkan had masa skrin dan menggalakkan aktiviti luar seperti bersukan, membaca dan interaksi sosial secara fizikal.
• Pendidikan mengenai kesedaran kesihatan mental dan cara mendapatkan bantuan apabila diperlukan.

Ibu bapa dan pendidik memainkan peranan penting dalam membentuk Generasi Z agar menjadi pengguna teknologi yang bijak dan bertanggungjawab. Peranan mereka merangkumi pelbagai aspek, bermula dengan menjadi teladan yang baik. Ibu bapa dan pendidik perlu mengamalkan penggunaan teknologi yang seimbang dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian. Dengan contoh yang baik, mereka dapat mempengaruhi golongan ini untuk menggunakan teknologi secara positif dan tidak berlebihan.

Selain itu, ibu bapa dan pendidik juga perlu menyediakan sokongan dan bimbingan. Ini termasuk membantu mereka memahami cabaran digital seperti maklumat palsu, keselamatan siber dan tekanan sosial dalam talian.

Dengan memberi panduan yang sewajarnya, mereka dapat menghadapi cabaran dengan lebih yakin dan bijaksana.

Seterusnya, perlu menggalakkan mereka meneruskan pembelajaran sepanjang hayat. Perkembangan teknologi yang pesat memerlukan mereka sentiasa menyesuaikan diri dan mempelajari kemahiran baharu. Dengan mendorong sikap ingin tahu dan kesediaan untuk belajar, Generasi Z dapat terus berkembang dan bersaing dalam dunia digital yang sentiasa berubah.

Melalui peranan aktif, Generasi Z dapat dibimbing untuk menjadi generasi yang bukan sahaja mahir dalam teknologi, tetapi juga bijak memanfaatkannya untuk kebaikan diri dan masyarakat.-UTUSAN

DR. Syafila Kamarudin ialah Ketua Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×