Masyarakat akademik perlu pasukan pemimpin yang berwibawa

Masyarakat akademik perlu pasukan pemimpin yang berwibawa

UNIVERSITI adalah tempat melatih bakat intelek dalam bidang masing-masing melalui kaedah yang sistematik dan budaya kampus sedia ada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONGRES Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) telah membincangkan perkara berkaitan integriti, kepimpinan dan kebebasan bersuara dalam kalangan pensyarah universiti, bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 22 Februari lalu sempena Mesyuarat Agung Tahunan MAAC Ke-10.

Panel utama perbincangan itu ialah Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali, seorang tokoh akademik negara yang tidak asing lagi dan disokong oleh beberapa ahli MAAC.

Perbincangan itu sangat bertepatan apabila isu berkaitan naib canselor dua universiti dibincang hangat sehingga ke Parlimen, pelantikan naib canselor, pelantikan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan lain-lain isu yang ditengahkan dalam media perdana berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tentang perbelanjaan dan pencapaian penyelidikan di universiti.

Perkara yang dibincangkan berkaitan dengan integriti, kepimpinan universiti dan sumbangan kepakaran pensyarah dalam pentadbiran universiti masing-masing.

Walaupun LKAN boleh dilihat daripada beberapa sudut kerana universiti adalah sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) yang bertanggungjawab dalam melatih bakat profesional negara dan bukan suatu institusi perniagaan. Namun, segala komen dalam laporan itu mesti diambil iktibar. Ia harus dijawab dengan baik agar dapat menggambarkan integriti dan kepimpinan universiti yang sihat serta berwibawa.

Dalam hal pelantikan naib canselor universiti awam, MAAC berpandangan seorang naib canselor mesti berintegriti, tinggi kualiti kepimpinannya serta bebas daripada pengaruh politik daripada mana-mana pihak.

Prosedur pelantikan seorang naib canselor di universiti awam mesti benar-benar mengikut peraturan sedia ada sebelum keputusan dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT).

Naib canselor yang dilantik juga mestilah seorang yang dikenali kehebatannya dalam akademik, berintegriti dan menyumbang dalam hal pentadbiran universiti yang cemerlang.

Individu itu mesti dikenali dihormati dengan diterima ramai terutama di universiti sendiri serta pelantikannya tidak dipersoalkan.

Sokongan masyarakat kampus sangat penting dalam pelantikan naib canselor dan ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) agar mereka mendapat sokongan padu daripada komuniti kampus dalam menjalankan tugas membangunkan universiti serta mengurangkan kawalan dan pengaruh luar.

Antara sebab ahli akademik diam dalam kampus dan menjalankan aktiviti sendiri mungkin berkaitan dengan kepemimpinan dalam universiti.

Suara ahli akademik sangat penting dalam memberikan pandangan berkaitan hal universiti dan kepentingan negara.

Ilmu mereka bukan sekadar memberi kuliah dan menjalankan penyelidikan tetapi memberikan pandangan kepakaran kepada masyarakat umum secara ilmiah.

Universiti adalah tempat melatih bakat intelek dalam bidang masing-masing melalui kaedah yang sistematik dan budaya kampus sedia ada.

Pengaruh luar kampus yang mengganggu budaya akademik boleh mengubah kualiti pensyarah, graduan dan keilmuan itu sendiri.

Biarkan budaya akademik ini kekal dalam kampus bagi menghasilkan bakat intelek yang akan menyumbang kepada masyarakat dan negara melalui kerjaya mereka.

Gangguan luar dalam perjalanan aktiviti kampus boleh mengganggu perbincangan dan pelaksanaan berkaitan hala tuju akademik universiti, terutamanya dalam memenuhi keperluan bakat serta tenaga kerja profesional negara.

Melalui penyelidikan di universiti, hala tuju universiti dapat ditentukan dan dilaraskan mengikut kesesuaian masa hadapan selari dengan wawasan negara. Kurikulum di universiti sentiasa dilihat kesesuaiannya sepanjang masa.

Pada setiap lima tahun kurikulum akan di semak dengan pandangan daripada semua pihak yang berkepentingan.

Cabaran kecerdasan buatan (AI) bukan setakat melihat dan menggunakan teknologi tetapi membina bakat baharu yang berkemahiran tinggi disamping kesesuaian dengan budaya tempatan dan kesinambungan daripada sejarah universiti berkenaan.
Pengganti naib canselor sudah tentu dikenalpasti melalui kepimpinan mereka di pelbagai peringkat sepanjang di universiti dan dikenali ramai.

Pelantikan seorang naib canselor dari luar universiti boleh menggambarkan kegagalan dalam pembangunan bakat kepimpinan.

Seperti yang pernah ditengahkan dalam media perdana, pelantikan naib canselor bukan seperti pelantikan seorang guru besar sekolah menengah. Naib canselor dalam kalangan pemimpin dalam universiti selalunya akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan.

Ramai naib canselor yang sudah bersara tidak lagi menyumbang kepada hal-hal berkaitan universiti sama ada dalam pengajaran, penyelidikan atau memberi pandangan bebas untuk membantu perkembangan universiti.

Pentadbiran universiti selalunya dilepas terus kepada naib canselor semasa. Pandangan mereka sangat penting terutama dalam menjamin kesinambungan perancangan universiti seiring dengan plan strategi KPT seperti Plan Strategi 2018-2025 dan 2025-2035 disamping siri Rancangan Malaysia lepas.

Sumbangan bekas naib-naib canselor diperlukan dan perlu disambut baik oleh naib canselor semasa dalam proses pemantapan tadbir urus.

AKTIFKAN SEMULA MAJLIS PENDIDIKAN TINGGI

Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang ditubuhkan pada 1996 perlu diaktifkan semula bagi memastikan fungsi pendidikan tinggi berjalan dengan baik.

Semakan ke atas Akta MPTN 1996 (Akta 546) perlu disegerakan dan berfungsi untuk merancang, membentuk dan menentukan dasar nasional bagi pembangunan pendidikan tinggi.

Begitu juga dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang juga perlu disemak dan diperkasakan. Masyarakat akademik memerlukan pasukan pemimpin berwibawa dalam membangunkan universiti awam yang unik dan mempunyai bidang tujahan tertentu yang sentiasa mencabar.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN