PETALING JAYA: Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menegaskan kelabnya tidak pernah menghalang untuk mana-mana pemain meninggalkan skuad Harimau Selatan.
“Keputusan itu terpulang di tangan pemain, saya tak pernah paksa mana-mana pemain untuk kekal,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu, nama tonggak JDT Arif Aiman Hanapi cukup hangat di benua Asia apabila dikaitkan dengan beberapa kelab yang dilaporkan berminat mendapat khidmatnya termasuk Jeonbuk Hyundai dari Korea Selatan dan dua kelab Iran babitkan Persepolis serta Tractor FC.
Menurut Tunku Mahkota Ismail berkata Arif Aiman berhak membuat keputusan mengenai masa depannya namun beliau yakin dia cukup gembira bersama kelabnya di mana pemain sayap itu dapat menjuarai pelbagai trofi di samping beraksi di tahap tertinggi di saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Itu (perpindahan keluar) terpulang kepada Arif Aiman, bukan kami (JDT). Jika Arif Aiman mahu keluar, silakan tetapi jika beliau mahu kekal, beliau boleh kekal.
“Tapi saya rasa beliau (Arif Aiman) gembira di sini (JDT) dan ia bukan sekadar peluang untuk menang kejuaraan, tetapi ia mengenai bermain di pertandingan tertinggi di pentas Asia iaitu ACLE,” jelasnya.
Tunku Mahkota Ismail turut menasihatkan Arif Aiman supaya tidak membuat keputusan terburu-buru seperti mana kesilapan dilakukan Safawi Rasid yang memilih beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC pada 2020 lalu.
“Jika awak pergi ke pasukan lain, sekadar pasukan biasa di luar negara, awak tetap tak boleh bermain di ACLE. Jadi bagi saya kekal di sini adalah satu keputusan bijak untuk dia.
“Saya berpendapat sebagai seorang pemain, semua ini bergantung kepada kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Safawi keluar kerana penyokong meminta dia pergi, dia mahu menjadi popular dan memenangi hati mereka.
“Tetapi dia tidak sedar dia telah termakan umpan dan karier dia menjadi begitu. Sekarang dia di Terengganu, saya harap dia akan dapat semula rentak dia. Pintu JDT sentiasa terbuka untuk dia, membuat keputusan bijak adalah kritikal di dalam bola sepak,” katanya.
Perpindahan Safawi ke Portimonense SC hanya bertahan selama tiga bulan sebelum dia kembali ke JDT ekoran kesukaran menyesuaikan diri selain tidak mendapat tempat dalam pasukan itu. – UTUSAN










