MARAN: Malaysia bertekad mengangkat pembangunan luar bandar ke tahap lebih tinggi dengan menjadikan komuniti desa sebagai pemacu utama kemajuan negara dan peneraju pembangunan luar bandar di peringkat serantau dan global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan luar bandar pada masa kini tidak lagi hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur fizikal, sebaliknya memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi komuniti dan kesejahteraan rakyat.
Kata beliau, pendekatan itu selari dengan tema Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 iaitu ‘Ke Arah Komuniti Luar Bandar Yang Dinamik, Makmur dan Bahagia’ yang julung kali diadakan di Malaysia.
“Kejayaan sesebuah desa hari ini bukan lagi diukur melalui jumlah jalan raya yang dibina atau keluasan tanah yang diusahakan tetapi melalui kemampuan melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing serta mampu menentukan masa depan mereka sendiri.
“Komuniti luar bandar bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya merupakan rakan strategik kepada kerajaan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kejayaan pembangunan tanah rancangan Felda membuktikan kemampuan Malaysia sehingga menjadi model pembangunan luar bandar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap dasar pembangunan luar bandar negara membuktikan Malaysia berada di landasan tepat dalam membangunkan masyarakat desa secara menyeluruh.
Menurutnya, Malaysia turut mencadangkan penubuhan ASEAN Rural Development and Innovation Council (ARDIC) bagi menyelaras dasar, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuhkan inovasi pembangunan luar bandar dalam kalangan negara ASEAN.
Katanya, negara juga sedang meneroka penubuhan ASEAN Halal Council bagi memperkukuh industri halal serantau dengan Pahang muncul sebagai lokasi pembangunan hab industri halal terbesar negara.
“Produk dan jenama desa Malaysia mesti berani menembusi pasaran antarabangsa kerana ASEAN mempunyai lebih 680 juta penduduk dengan nilai ekonomi mencecah hampir RM16 trilion, manakala pasaran halal global pula dijangka bernilai kira-kira RM20 trilion menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pelbagai inisiatif berjaya dilaksanakan termasuk melahirkan lebih 7,000 usahawan desa baharu yang mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan dengan nilai jualan melebihi RM1.77 bilion.
Menurut beliau, menerusi program Gate to Global, produk usahawan desa berjaya menembusi pasaran luar negara dengan nilai urus niaga mencecah RM1.11 bilion.
Selain itu katanya, kerajaan berjaya melahirkan lebih 125,000 huffaz cilik, memperkukuh institusi pendidikan Mara dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), memperluas pendidikan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta meningkatkan penyertaan pelajar Orang Asli ke institusi pengajian tinggi kepada lebih 500 orang tahun ini, iaitu angka tertinggi dalam sejarah negara.
“Kerajaan juga membina hampir 5,000 kilometer jalan luar bandar, menyalurkan bekalan elektrik kepada lebih 7,000 rumah, bekalan air kepada lebih 10,000 rumah serta membina dan membaik pulih hampir 10,000 kediaman di seluruh negara,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, semua pencapaian itu menyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan luar bandar daripada 12 peratus pada 2022 kepada 9.9 peratus pada 2024 hasil penyelarasan pembangunan di bawah agenda Desa Malaysia.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 FELCRA Berhad berjumlah RM126.91 juta kepada 72,048 peserta membabitkan 747 projek, yang disifatkan sebagai agihan terbesar bagi suku pertama tahun ini. – UTUSAN










