SELAMAT Hari Raya. Bagi sesiapa yang memandu jauh untuk pulang ke kampung halaman, pasti masih mampu tersenyum gembira kerana Mesyuarat Kabinet bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari dan berakhir pada tengah malam ini.
Dalam suasana kemeriahan sambutan hari lebaran ini, saya mahu melihat secara santai perkataan ‘raya’ yang sudah biasa kita gunakan. Malah, frasa hari lebaran menurut Kamus Dewan merujuk kepada Hari Raya Puasa.
Tentulah pada masa sekarang kita lebih banyak menggunakan ‘Aidilfitri’ berbanding ‘Puasa’ dalam ucapan. Malah, frasa Selamat Hari Raya sudah memadai untuk menyampaikan ucapan pada musim perayaan ini.
Lirik lagu Selamat Hari Raya juga tetap difahami konteksnya walaupun tidak dimasukkan ‘Aidilfitri’ atau ‘Puasa’ padanya. Sudah menjadi kelaziman di Malaysia, frasa Hari Raya merujuk secara khusus kepada Hari Raya Puasa yang disambut umat Islam.
Namun begitu, apakah makna sebenar perkataan ‘raya’ yang digunakan dalam penulisan dan perbualan harian? Tentulah menarik juga untuk meneliti beberapa frasa yang ada ‘raya’ terkandung di dalamnya.
Dari sudut bahasa, ‘raya’ bermakna besar. Maka, hari raya bermakna hari besar iaitu hari yang diraikan kerana sebab tertentu, misalnya Hari Raya Puasa (Aidilfitri) dan Hari Raya Haji (Aidiladha).
Semasa saya membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak pada 1980-an, penduduk kaum India menggunakan frasa ‘hari besar’ apabila merujuk Aidilfitri. Saya sangka mereka kurang penguasaan bahasa kebangsaan. Rupa-rupanya, frasa itu memang sah dan termuat dalam Kamus Dewan.
Sepertimana sudah diketahui, ‘raya’ bermakna besar. Maka, apabila kita meneliti frasa yang ada ‘raya’ padanya, kita boleh mengagak ia sesuatu yang lebih besar daripada kebiasaan.
Misalnya, pasar raya tentulah sangat besar dan menjual pelbagai barangan keperluan.
Penduduk sekitar Klang, Selangor tentu masih ingat Pasar Raya Great Wall yang menjadi mercu tanda penting sehingga 1990-an.
Pada masa sama, agak menarik juga apabila Pasar Besar Klang yang terletak di Jalan Meru tidak pula merujuk pasar raya seperti yang lazim kita fahami. Sebaliknya, ia sebuah pasar bagi produk seperti ayam, sayur dan barangan makanan lain.
Dari sudut sistem pengangkutan pula, bermula dengan denai yang kecil, kemudian menjadi jalan dan seterusnya jalan raya yang lebih besar. Kini, kita berbangga dengan rangkaian lebuh raya yang memudahkan perjalanan, khasnya pada musim perayaan.
Berdasarkan senarai dikeluarkan Forbes (2024), antara individu paling kaya di Malaysia ialah Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Quek Leng Chan, Ananda Krishnan, Jeffrey Cheah dan Lim Kok Thay. Tentulah mereka bukan setakat kaya tetapi kaya raya (kaya besar) atau kini lazim digelar jutawan.
Frasa bandar raya pula merujuk sebuah bandar yang besar. Misalnya, Shah Alam bertukar status daripada bandar (perbandaran) kepada bandar raya pada Oktober 2000.
Begitu juga perubahan status Petaling Jaya pada Jun 2006, Johor Bahru pada Januari 1994 dan Ipoh pada Mei 1988 daripada bandar kepada bandar raya. Antara syarat ialah jumlah penduduk melebihi 500,000 orang.
Perkataan ‘raya’ bukan sahaja bermakna besar tetapi juga boleh digunakan untuk membawa makna umum atau awam. Misalnya, sebuah balai raya adalah bangunan atau dewan yang dibuka untuk kegunaan orang ramai atau orang awam. Tidak hairanlah ia turut dikenali sebagai dewan orang ramai.
Begitulah juga halnya dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja umum seperti membina dan menyelenggara jalan raya.
Malah, pilihan raya merujuk amalan demokrasi di mana penduduk iaitu orang awam berhak mengundi bagi memilih pemimpin dan wakil rakyat.
Walau bagaimanapun, tidak begitu halnya dengan seorang pendakwa raya kerana tugasnya sebagai pegawai yang memikul peranan mendakwa di mahkamah bagi pihak kerajaan.
Dalam perbincangan berkaitan ‘raya’, tentulah kita tidak boleh lupa tentang bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia. Mungkin ramai tidak tahu bahawa bunga dan pokok renek ini turut digelar sebagai kembang sepatu.
Sekiranya kita rajin merujuk Kamus Dewan, maka akan ditemui pula trivia frasa bunga raya turut digunakan sebagai kiasan dalam budaya Melayu untuk merujuk perempuan jalang atau perempuan lacur.
Saya turut teringat satu peribahasa Melayu yang mungkin sudah tidak digunakan lagi dalam konteks harian. Peribahasa ‘jalan raya titian batu’ digunakan orang tua-tua untuk mengingatkan kita tentang adat resam, amalan atau peraturan hidup yang sudah menjadi kelaziman sejak dahulu dan tidak mengalami perubahan.
Bagi golongan guru dan pelajar, setiap kali ada majlis di sekolah dan buku atur cara diedar, pasti ada jawatan pengurus sistem siar raya. Mengikut perkembangan semasa, individu itu turut bertugas menguruskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) iaitu komputer riba dan slaid PowerPoint.
Dari segi makna perkataan, siar raya merujuk peralatan digunakan untuk membuat pengumuman. Tentulah biasanya dikaitkan dengan mikrofon dan pembesar suara. Kemudian, ditambah dengan tayangan slaid, lagu, video dan sebagainya bagi memastikan majlis berjalan lancar.
Dalam budaya Melayu, selain daripada bunian dan toyol yang sudah disentuh di ruangan ini sebelum ini, ada juga orang mempercayai kewujudan hantu raya. Tentu sahaja tiada apa-apa kaitan dengan sebarang bentuk perayaan.
Sebaliknya, ia sejenis hantu yang konon dipelihara khusus untuk menjadi pengawal, pelindung atau orang suruhan tuannya. Nama Hantu Raya juga mengingatkan saya kepada Pak Sako (Ishak Haji Muhammad).
Pak Sako terlibat dalam kelahiran akhbar Utusan Melayu pada Mei 1939. Beliau yang turut aktif dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) juga pernah menggunakan nama pena Hantu Raya.
Apa-apa pun, Selamat Hari Raya!
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










