“SEBELUM belajar, haruslah ada niat dari rumah benar hendak menambah pengetahuan yang akan membawa kepada iman. Jangan semata-mata kerana hendak tahu atau hendak menguji kepandaian guru dalam dangkal ilmunya. Kalau ada dasar niat yang demikian dari rumah, maka walaupun ilmu tentang agama bertambah-tambah, belum perasaan agama itu akan masuk meresap ke dalam jiwa.” – Buya Hamka.
Kadang kala saya merasa pelik dengan ‘orang kita’. Bukan sekali dua isu tunggang agama dipermainkan individu dalam kalangan Muslim sendiri.
Jika ajaran agama suci ini diperlekehkan oleh orang bukan Islam, tidaklah saya merasa janggal. Mungkin mereka memperlecehkan Islam kerana kedangkalan atau kejahilan mereka tentang indahnya agama ini. Ini tidak pelik kerana mereka tidak dididik untuk menghormati agama suci ini.
Sebaliknya apabila individu yang sering memperkotak-katikkan atau mempersendakan ajaran Islam adalah dalam kalangan yang mengambil dua kalimah Syahadah saban hari, ini bukan sahaja pelik malah janggal dan biadab.
Ambil sahaja isu pelawak mempersendakan prinsip makanan halal dan haram atau isu pelawak wanita yang menghina Islam semasa persembahan komediri. Mereka bukan sahaja lahir sebagai seorang yang beragama Islam malah kekal dengan personaliti awam sebagai seorang Muslim.
Tambah canggung lagi apabila ada orang ‘bijak-pandai’ dengan membuat kenyataan aneh dan tambung terhadap Islam. Contoh, pada 2022, seorang profesor dengan lantang menyatakan Muslim yang mengikut fatwa adalah bodoh kerana tidak mampu membuat hukum atau mengambil pendekatan peribadi dalam mengamalkan agama.
Terkini, seorang pengasas syarikat penerbitan yang terkenal sebagai tokoh usahawan dikecam teruk kerana mengatakan kononnya Nabi Muhammad mengamalkan prinsip nepotisme dan kronisme dalam pentadbiran Rasulullah. Ramai sudah bangkit membidas kenyataan ini dan dapat disimpulkan ia bukan sahaja tiada asas malah dianggap merungkap terhadap figura yang paling dihormati dalam agama Islam.
Kecaman dibuat orang ramai antara lain berpunca daripada cara penulisan yang tersebar itu membezakan amalan politik di negara Barat (yang sudah tentu tidak berpaksikan ajaran Islam) kononnya diperlihatkan lebih matang dan telus kerana menolak amalan nepotisme dan kronisme. Sedangkan kononnya pada zaman pemerintahan Rasulullah, amalan nepotisme dan kronisme dibenarkan berleluasa.
Benarlah peribahasa ‘berketak ayam, tahu akan bertelur atau tidak’ kerana dengan ilmu, kita dapat membezakan bijak atau dangkal sesuatu kenyataan yang tersebar. Pun begitu, ketepikan dahulu sama ada kenyataan yang tular adalah benar atau tidak. Yang lebih utama adalah masyarakat perlu ingat bahawa negara ini mempunyai kerangka perundangan yang mengharamkan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan sentimen tidak senang terhadap agama Islam.
Di bawah Bahagian III Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) telah dimaktubkan pelbagai kesalahan syariah bagi memelihara kesucian agama Islam dan institusi Islam.
Antara yang disebut dalam Bahagian III adalah kesalahan menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam.
Di bawah Seksyen 7 Akta 559, hukuman yang boleh dikenakan jika mana-mana orang disabitkan dengan kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Antara kes yang terkemuka melibatkan Seksyen 7 Akta 559 adalah pertuduhan terhadap Kassim Ahmad pada 2014 kerana didakwa menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara mencemuh amalan yang berhubungan dengan Islam.
Selanjutnya Seksyen 8 Akta 559 turut menjadikan perbuatan mempersendakan, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau hadis sebagai suatu kesalahan yang mana apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
MAHKAMAH SYARIAH MASIH BERFUNGSI
Walaupun rata-rata kebanyakan insiden penghinaan terhadap agama Islam ditangani melalui peruntukan di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tetapi perlu diingatkan jika kesalahan dilakukan oleh seorang Islam, sebetulnya pelaku bukan sahaja boleh didakwa di mahkamah sivil tetapi juga di mahkamah syariah.
Malangnya meskipun ada peruntukan undang-undang yang boleh digunapakai, lazimnya institusi agama Islam hanya akan memanggil pelaku untuk mendapatkan penjelasan dan memberikan nasihat selepas individu terlibat melakukan perkara yang sepatutnya boleh dibawa pertuduhan mengikut peruntukan dalam Akta 559.
Pada Ogos 2024, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan diarahkan oleh Menteri Agama untuk memanggil ‘Raja Bomoh’ bagi memberikan nasihat kepadanya tentang batas akidah dan iman serta tidak terjebak dalam amalan yang membawa kepada penghinaan agama Islam.
Arahan ini dikeluarkan selepas beliau mengadakan upacara semasa proses pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Dengan pendekatan yang terlalu halus, pelbagai peruntukan serupa dalam Bahagian III Akta 559 dan enakmen syariah di peringkat negeri dilihat tidak bertaring.
Orang Islam sendiri sering mencemuh amalan, prinsip dan ajaran dalam agama ini sehingga mampu mendatangkan kekeliruan dan menyebabkan Islam dipandang hina.
Apa guna Muslim angkuh dengan ilmu di dada jika yang keluar hanyalah fitnah kepada agama?-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










