Tahun tuah Alia bidik emas, pecah rekod Asia

Tahun tuah Alia bidik emas, pecah rekod Asia

Alia Sazana Azahari merangkul pingat emas dan memecahkan rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita di Kejohanan Raifal/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, Thailand. - IHSAN MAJLIS SUKAN NEGARA  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penembak elit negara, Alia Sazana Azahari, mencipta sensasi apabila bukan sahaja merangkul pingat emas, malah memecahkan rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita di Kejohanan Raifal/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, Thailand, kelmarin.  

Setiausaha Kehormat Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Jasni Shaari, menyifatkan kejayaan luar biasa itu sebagai detik kebangkitan Alia selepas prestasi yang kurang menyerlah tahun lalu. 

“Kami memang menunggu saat ini kerana tahun lalu prestasinya agak mendatar, bukan bermakna dia tidak bagus, tetapi kini dia membuktikan keupayaannya.

“Apabila beliau sampai di kemuncak prestasi pada waktu yang betul, dia mampu untuk mencatat markah tinggi,” kata Jasni.

Pada aksi pusingan final yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada 50 sasaran, sekali gus memadam rekod Asia yang sebelum ini dipegang oleh penembak Korea Selatan, Yang Ji In, dengan 41 hit pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta, Indonesia.

Sementara itu, Jasni berkata, penembak berusia 33 tahun itu sedang berada di puncak prestasi tepat pada waktunya, sekali gus membuka laluan cerah untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini. 

“Dia berada di kemuncak prestasi pada saat yang betul dan tiada masalah untuk mengekalkan momentum sehingga ke Sukan SEA,” katanya.

Untuk rekod, kejayaan ini juga merupakan emas kedua Malaysia dalam kejohanan tersebut selepas Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mengungguli acara 10m air pistol wanita dengan 239.3 mata, Khamis lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN