MALAYSIA kini berada di persimpangan penting dalam usaha mereformasi perkhidmatan awam. Sebagai tulang belakang pentadbiran negara, perkhidmatan awam yang efisien, inovatif dan berintegriti memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Namun, ketidaktentuan global, tekanan rakyat yang semakin kritis dan perubahan teknologi menuntut satu lonjakan transformasi besar-besaran. Melalui kerangka Segitiga Masa Hadapan (Futures Triangle), kita boleh memahami dinamik perubahan ini dan merangka strategi untuk merealisasikan matlamat perkhidmatan awam berprestasi tinggi.
TARIKAN MASA HADAPAN BAYANGAN PERKHIDMATAN BERPRESTASI TINGGI
Visi perkhidmatan awam Malaysia yang berprestasi tinggi bertumpu kepada lima teras utama iaitu:
Nilai dan tatakelola: Membudayakan integriti, ketelusan dan akauntabiliti di setiap lapisan organisasi. Hal ini termasuk melaksanakan mekanisme pemantauan bebas dan kod etika baharu yang sesuai dengan cabaran era digital.
Pembangunan modal insan: Penjawat awam harus dilengkapi dengan kemahiran kritikal seperti teknologi digital, pemikiran kritis dan kemahiran komunikasi. Platform pembelajaran sepanjang hayat dan program mentoring menjadi keutamaan.
Pembangunan organisasi: Penstrukturan semula jabatan untuk mengurangkan birokrasi dan memperkenalkan organisasi tangkas yang lebih responsif terhadap perubahan global.
Penyampaian perkhidmatan: Mewujudkan penyampaian perkhidmatan mesra rakyat yang menggunakan pendekatan digital sepenuhnya. Portal sehenti, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik ramalan adalah elemen penting.
Sinergi awam dan swasta: Membangunkan kerjasama pintar antara sektor awam dan swasta untuk mempercepatkan inovasi dan menyelesaikan cabaran secara kolektif.
PEMANGKIN PERUBAHAN KUASA DORONG TRANSFORMASI
Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong keperluan reformasi iaitu:
Teknologi digital: Revolusi teknologi seperti AI, automasi dan data raya membuka peluang untuk mentransformasikan sistem kerja yang lebih cekap serta proaktif.
Tekanan daripada rakyat: Rakyat menuntut ketelusan, keberkesanan dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik. Tekanan ini memaksa sektor awam untuk menjadi lebih inovatif.
Transformasi global: Keupayaan Malaysia untuk bersaing dalam arena global bergantung kepada kecekapan pentadbiran awam. Amalan terbaik dari negara-negara maju seperti Singapura dan Korea Selatan boleh dijadikan rujukan.
Dasar kerajaan: Sokongan dasar seperti Rancangan Malaysia (RMK) yang menekankan transformasi institusi sebagai keutamaan nasional.
Kerjasama antarabangsa: Hubungan strategik dengan organisasi global menyediakan akses kepada teknologi, kepakaran dan pemikiran baharu.
BEBAN MASA LALU PERLU DIATASI
Reformasi tidak mungkin berlaku tanpa mengenal pasti dan menangani cabaran masa lalu seperti :
Birokrasi tradisional pula merupakan proses kerja yang lambat dan hierarki menjadi penghalang kepada inovasi dan kecekapan.
Kebiasaan kepada status quo melalui sikap enggan berubah dalam kalangan penjawat awam membantutkan usaha reformasi.
Isu integriti seperti kes rasuah dan salah guna kuasa mencalarkan imej perkhidmatan awam.
Kekurangan kemahiran digital menjadikan penjawat awam belum bersedia untuk beralih ke perkhidmatan berasaskan teknologi.
Budaya silo dalam organisasi iaitu kekurangan kerjasama antara jabatan menghalang pelaksanaan dasar yang bersepadu.
REFORMASI BERDASARKAN KONSEP SEGITIGA MASA HADAPAN
Untuk mencapai visi perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, strategi berikut boleh dilaksanakan:
Nilai dan tatakelola: Maksanakan sistem pelaporan yang telus untuk menangani isu rasuah dengan penuh integriti, memperkenalkan anugerah integriti untuk menggalakkan budaya kerja beretika serta meningkatkan penguatkuasaan melalui audit bebas dan unit pemantauan integriti.
Pembangunan modal insan: Memperkenalkan kursus wajib dalam teknologi digital, pemikiran analitik dan pengurusan perubahan selain menyediakan dana tetap yang mencukupi untuk pembelajaran sepanjang hayat bagi semua penjawat awam. Program mentoring yang melibatkan pemimpin berpengalaman juga boleh diperkenalkan.
Pembangunan organisasi: Memperkenalkan struktur organisasi tangkas dengan mengurangkan karenah birokrasi selain pelaburan dalam sistem pengurusan berasaskan pengawanan untuk meningkatkan kecekapan.
Digitalisasi penyampaian perkhidmatan: Mewujudkan portal sehenti untuk semua urusan kerajaan dengan mengaplikasikan teknologi AI untuk menyelesaikan pertanyaan asas rakyat secara automatik.
Sinergi awam dan swasta: Melibatkan sektor swasta dalam pembangunan projek infrastruktur digital melalui model Kerjasama Awam-Swasta (PPP) serta mengadakan dialog berkala antara sektor awam dan swasta untuk meningkatkan kerjasama yang utuh.
MERANCANG TINDAKAN
Reformasi perkhidmatan awam dicadangkan perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan tindakan rancangan seperti berikut:
Tahap persediaan (2024-2025): Penubuhan pasukan tugas reformasi serta menjalankan kajian menyeluruh tentang kelemahan semasa.
Tahap pelaksanaan awal (2026-2027): Melaksanakan digitalisasi secara meluas serta memperkenalkan sistem kerjasama merentasi jabatan.
Tahap penyesuaian (2028-2029): Meninjau keberkesanan reformasi serta lakukan penambahbaikan.
Tahap penginstitusian (2030): Merealisasikan pembaharuan sebagai budaya kerja baharu dengan perkhidmatan yang efisien dan berkualiti.
Reformasi perkhidmatan awam Malaysia bukan sekadar satu keperluan, tetapi ia adalah pelaburan untuk masa hadapan negara. Melalui pendekatan Segitiga Masa Hadapan, kita dapat mengenal pasti tarikan masa akan datang, menggerakkan pemangkin perubahan dan mengatasi beban masa lalu.
Melalui pelaksanaan yang berkesan, Malaysia boleh menjadi contoh kepada negara lain dalam membentuk perkhidmatan awam yang benar-benar responsif, efisien dan berorientasikan masa hadapan.-UTUSAN
PENULIS ialah Perunding Latihan Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










