FASA kedua gencatan senjata akan diumumkan tidak lama lagi dan melihat kepada situasi terkini, tiada masalah untuk diteruskan walaupun terdapat beberapa isu berbangkit yang dicetuskan Israel dan Amerika Syarikat (AS) dalam menggagalkan proses gencatan senjata ini.
Kita tahu objektif mereka adalah untuk mendapatkan Gaza dan keseluruhan tanah Palestin tidak akan pernah terpadam. Walaupun ada yang mungkin merasakan ingatan ini sudah tepu, namun kita akan terus mengingatkan tentang perkara ini.
Dalam kegawatan ini, AS sedang mencari kembali pengaruhnya di rantau Asia Barat untuk memastikan Israel terus kekal sebagai projek kolonial yang masih bertahan di rantau tersebut. AS telah melakukan perbincangan dengan beberapa pemimpin negara Arab termasuklah Raja Jordan Abdullah II yang menjadi pertikaian kepada sebahagian aktivis dan penganalisis politik dunia yang melihat seolah-olah beliau hanya mengikut rentak AS dan tidak memikirkan kepentingan Palestin.
Trump juga ketika pertemuan dengan Raja Jordan telah menggugut untuk menyekat bantuan kepada Jordan dan Mesir jika mereka menolak perancangan Trump yang ingin menguasai Gaza dan membangunkannya dengan nama Riviera of Middle East.
Kita semua sedia maklum Jordan memang sejak terdirinya negara tersebut banyak bergantung kepada dana luar dan ini menjadikan mereka sedikit terikat ditambah dengan perjanjian yang telah dibuat bersama Israel pada tahun 1994 dalam Perjanjian Wadi Aqaba.
Sejak peristiwa Nakbah 1948, Jordan menghadapi kesukaran untuk berurusan dengan pelarian Palestin yang dipaksa datang ke negaranya. Pembentukan Gerakan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1964 telah menambahkan lagi kesukaran dari sudut ekonomi dan politik di Jordan. Selepas menyingkirkan gerakan revolusi Palestin pada 1971 ke Lubnan, Jordan telah memulakan proses yang digelar sebagai ‘Jordanisasi’ yang bertujuan untuk mencipta satu identiti nasional tanpa melibatkan rakyat Palestin yang telah berada di negara mereka.
Namun, kita tidak boleh menafikan Jordan banyak menerima pelarian Palestin sejak 1948 dan 1967 dan beberapa generasi telah hidup di Jordan tanpa melupakan tanah asal mereka di Palestin.
Kepimpinan Jordan mungkin membeli masa untuk melambatkan idea gila dan keputusan yang dibuat pasti ada cabaran, namun risiko itu semestinya sudah difikirkan demi rakyat sejagat.
Disebabkan apa yang berlaku kepada Jordan, Mesir juga mengambil langkah yang lebih kurang sama iaitu perancangan pembinaan semula Gaza yang akan diketuai oleh Mesir dan pelan ini katanya akan dibentangkan kepada Donald Trump selepas Sidang Kemuncak Arab yang akan berlaku pada 4 Mac ini di Riyadh, Arab Saudi. Mesir di bawah kepimpinan Presiden Abdel Fattah el-Sisi telah menyatakan komitmen untuk bangunkan Gaza tanpa memindahkan rakyatnya keluar dari tanah air mereka.
Namun, Mesir juga sebenarnya telah ‘melemaskan’ Gaza dengan menghancurkan lebih 2,000 terowong dan menjarah Rafah dengan membuat satu zon pemampan sepanjang 5 kilometer (km), dengan tujuan untuk menghentikan penyeludupan senjata. Ini sebenarnya membantu Israel untuk terus mengempung Gaza.
Tetapi selepas mereka gagal untuk menyahkan pejuang di bumi Gaza sejak kepungan 17 tahun yang lalu, beberapa peperangan dan 15 bulan pembunuhan, Israel memilih untuk mengulangi kejadian pada 1948.
AS sebenarnya boleh sahaja untuk mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap Mesir dan Jordan untuk memaksa mereka ikut sahaja apa yang dirancangkan, namun kepentingan AS di rantau tersebut juga perlu diambil kira.
Mesir dan Jordan adalah sahabat baik kepada AS dan penting kepada hegemoni mereka dan penjajahan Israel di Asia Barat. Melakukan tindakan secara paksa kepada kedua-dua pihak akan menyebabkan Jordan dan Mesir terkesan dan pastinya ini tidak baik kepada AS. Jordan dan Mesir dianggap bertanggungjawab untuk melindungi sempadan Israel daripada serangan dan penyeludupan senjata api kepada pejuang Palestin.
Walaupun Jordan dan Mesir terlalu bergantung kepada AS, mereka masih tidak boleh menerima pelan Trump untuk menyingkirkan rakyat Gaza kerana ia akan mengancam survival rejim kedua-dua negara.
Jordan dan Mesir sebenarnya sedar khidmat mereka terhadap kepentingan AS ini tidak menghalang Israel untuk meneruskan projek kolonial meliputi negara-negara Arab yang ada selain Palestin. Disebabkan rakyat Palestin sendiri tidak mahu keluar, langkah yang terbaik buat Jordan dan Mesir adalah untuk meneruskan bantuan dari sudut logistik dan politik kepada Palestin.
Oleh itu, negara Arab perlu bersatu dan memastikan ada pemimpin yang boleh dilantik untuk menjadi rujukan dan memimpin gerakan melawan agenda AS dan Israel.
Jika negara Arab masih lagi bercakaran, ia bukan sahaja melemahkan kekuatan ke atas Palestin, tetapi akan terus membenarkan projek Israel ini untuk kekal dan meluaskan penguasaan mereka terhadap dunia Islam.-UTUSAN
PENULIS ialah daripada Biro Informasi dan Kajian Sahabat Media Palestin Malaysia.










