Nak harmoni, jaga sensitiviti

Nak harmoni, jaga sensitiviti

UMAT Islam hendaklah menjauhi upacara-upacara keagamaan agama lain sama ada dalam bentuk nyanyian atau lainnya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, timbul lagi beberapa isu yang mengganggu umat Islam oleh sesetengah pihak terutama dalam kalangan etnik Cina. Ia sangat mengganggu kerana isu-isu yang dibangkitkan itu hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan etnik atau penganut agama lain.

Antaranya, isu cadangan memperkenalkan garis panduan baharu bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Demikian juga cadangan atau kenyataan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dari DAP agar Menteri Hal Ehwal bukan Islam diwujudkan.

Timbulnya isu-isu begini menunjukkan pihak berkenaan walaupun setelah berkurun lama tinggal di bumi Melayu-Islam ini masih tidak dapat, apatah berjaya, memahami pelbagai perkara utama daripada perspektif etnik Melayu-Islam sebagai tuan rumah.
Ataupun, mereka ini sengaja buat-buat tidak tahu kerana mahu menguji apa reaksi orang Islam.

Di Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) memperuntukkan bahawa “Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Status dan kedudukan dalam Perlembagaan ini bukan hanya bersifat simbolik tetapi ia mempunyai implikasi yang mendalam terhadap identiti negara, struktur sosial dan keseluruhan kerangka perundangan.

Peruntukan mengenai agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mencerminkan kontrak sosial yang dicapai oleh pemimpin negara ketika merangka Perlembagaan. Di mana agama Islam diberi pengiktirafan tetapi dalam masa sama, kebebasan beragama bagi penganut agama lain turut diakui.

Namun begitu, kebebasan beragama bagi penganut agama lain tidak bermakna mereka bebas mencabar dan mempertikaikan hal ehwal Islam dan juga keistimewaan orang Melayu sebagaimana dijamin oleh Perkara 153 Perlembagaan.

Pada Januari 2024, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang turut menegur pemimpin politik sepatutnya menjadi teladan dalam memupuk nilai perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan antara kaum.

“Pemimpin politik sepatutnya mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang menimbulkan kebencian.

“Mereka sepatutnya menjadi contoh supaya rakyat hidup dalam keadaan muhibah dan semangat kebersamaan walaupun berbeza agama dan kaum,” katanya.

Hidup di negara bermasyarakat majmuk, masing-masing perlu menjaga adab dan tutur kata. Jangan ikut sedap mulut sahaja. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.

Sensitiviti ialah keadaan mudah dan cepat tersinggung terhadap perkara yang diperkata dan dilakukan, sehingga boleh menyebabkan pihak berkenaan marah dan lain-lain yang seumpamanya.

Yang kita hairan, mengapa segelintir golongan ini sering suka mencetuskan isu sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum.

Logik dan memang sepatutnya, urusan berkaitan orang Islam, penganut agama lain tak perlu campur. Tidak ada sebab pun untuk mereka campur lebih-lebih lagi dalam hal menjaga akidah umat Islam.

Dalam hal Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Sambutan Perayaan dan Upacara Kematian Selain Orang Islam, ia bertujuan menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam masyarakat majmuk berbilang agama.

Ia bukannya menghalang orang bukan Islam menyambut perayaan atau ritual mereka.

Garis Panduan itu juga adalah bersifat nasihat. Ia akan memandu dan merancakkan usaha kerajaan mengukuhkan perpaduan dan membina sikap saling hormat menghormati sesama rakyat tanpa berasa bimbang atau salah faham daripada perspektif agama Islam.

Ia secara langsung akan memastikan penganjuran dan penglibatan orang Islam dalam aktiviti-aktiviti tersebut tidak akan mencetuskan kontroversi atau menyentuh sensitiviti antara para penganut agama.

Bukan semua majlis atau jemputan orang bukan Islam boleh dihadiri oleh orang Islam. Majlis atau perayaan berasaskan budaya memang tiada halangan untuk orang Islam hadir. Namun, majlis yang ada ritual adalah dilarang untuk umat Islam hadir.

Demikian juga hiburan atau lagu-lagu yang berunsurkan agama lain, umat Islam juga dilarang menyertainya. Pada dasarnya Islam tidak mengharamkan hiburan selagi tidak bertentangan hukum syarak dan tidak mengandungi unsur keagamaan agama lain.

KAROL KRISMAS
Adapun hukum menyertai Karol Krismas adalah haram kerana lirik lagu-lagunya yang mengandungi unsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak. Umat Islam hendaklah menjauhi upacara-upacara keagamaan agama lain sama ada dalam bentuk nyanyian atau lainnya.

Karol Krismas bermaksud lagu yang bertemakan Krismas, kebiasaannya dinyanyikan pada hari Krismas. Istilah noel kadang kala digunakan terutamanya bagi lagu-lagu karol yang berasal dari Perancis.

Lagu-lagu ini mula diketahui pada abad ke-4 namun lagu Krismas dalam bahasa Inggeris muncul pada tahun 1426 dalam penulisan John Awdlay yang telah menulis 25 lagu “Caroles of Cristemas”. Hari ini lagu-lagu Karol Krismas masih lagi mengandungi unsur-unsur keagamaan Kristian seperti lagu yang bertajuk A Bone God Wot.

Maksud ‘bertentangan dengan akidah Islam’ ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam. Contohnya; menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas, menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama bukan Islam, meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh, memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam, tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam. (Irsyad Hukum Siri ke-818: Hukum Orang Islam Menyertai Karol Krismas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 24 Disember 2023)

Perlu dijelaskan, larangan itu hanya ke atas orang Islam. Penganut agama lain bebas untuk melakukannya. Dan kita umat Islam pun tidak pernah menghalang penganut agama lain merayakan sambutan perayaan masing-masing selagi mana tidak menjejaskan ketenteraman awam.

Walaupun hakikatnya, ramai yang terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas yang agak teruk setiap kali sambutan Thaipusam di Batu Caves. Tetapi, atas semangat toleransi majoriti rakyat boleh menerimanya dan tidak menjadikannya sebagai isu besar.
Rasulullah SAW turut menjelaskan kedudukan Islam menerusi sabdanya yang bermaksud: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya”. (Riwayat al-Baihaqi)

Bagi mereka yang selalu menimbulkan bahawa kita tidak menjaga hak-hak orang bukan Islam, mereka juga perlu menjaga hak-hak orang Islam. Sebabnya Islam adalah agama Persekutuan dan umat Islam adalah majoriti negara ini. Jangan pula apabila kita bercakap tentang hak minoriti kita terlupa tentang hak majoriti. Pendek kata, kalau nak harmoni, jaga sensitiviti.-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×