MUKADIMAH
SEBELUM ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempertikaikan tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil beliau ekoran dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Bahkan, Setiausaha Agung DAP itu mendakwa Pengerusi PAC, DATUK MAS ERMIEYATI SAMSUDIN sengaja mewujudkan persepsi negatif terhadapnya kerana merupakan seorang menteri daripada DAP.
Perkara itu dibantah Mas Ermieyati dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, di pejabatnya di bangunan Parlimen, baru-baru ini.
Dalam temu bual yang turut disertai jurufoto, SHIDDIQIN ZON dan juruvideo, ZUID SAMSON, beliau yang juga ahli Parlimen Masjid Tanah mengingatkan ahli Parlimen Seremban itu tentang ahli jawatankuasa PAC yang turut terdiri daripada pihak kerajaan.
Katanya tidak mengapa jika tidak hadir tetapi sejarah akan merekodkan seorang menteri Kabinet enggan hadir di hadapan PAC untuk memberikan pandangan dan penjelasan sedangkan ia demi kebaikan rakyat dan negara.
LIMA PROSIDING BAHARU
Yang pertamanya, persidangan kali ini memberi fokus berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur, di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Galian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kedua, berhubung cadangan perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion di bawah Kementerian Pengangkutan.
Tumpuan juga turut diberikan berhubung pengurusan lapangan terbang di bawah Kementerian Kewangan (MAHB) Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prosiding ini turut meliputi isu kenaikan harga tiket, kegagalan pemasangan Aerotrain rosak dan segalanya untuk memastikan pengurusan lapangan terbang awam Malaysia ditambah baik.
Saya jangka prosiding ini akan membabitkan ramai pihak yang dipanggil, justeru ia akan menjadi panjang.
Kempat, pelaburan domestik Khazanah di bawah Kementerian Kewangan. Isu ini berbangkit disebabkan FashionValet.
Kelima, peningkatan bayaran premium insuran kesihatan, caj hospital swasta dan impak kesihatan awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan juga Bank Negara Malaysia (BNM).
TIADA KES TERTANGGUH
Alhamdulillah, sebelum ini saya juga pernah ‘duduk’ dalam PAC dari 2013 hingga 2015. Kemudian dari 2023 hingga hari ini. Setakat yang saya tahu, semua pihak yang dipanggil akan hadir. Jika mereka tidak boleh datang pada hari yang ditetapkan, kita akan aturkan pada hari lain. Semua memberikan kerjasama yang baik dalam waktu prosiding.
Ada tanggapan apabila dipanggil PAC, seperti satu perkara yang besar. Sebenarnya, kita cuma mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak yang dipanggil. PAC, tiada kuasa mendakwa pun.
Tugas kita adalah untuk menyiasat, menyediakan laporan dan bentang dalam Dewan Rakyat. Selepas maklum balas terhadap syor-syor yang dibuat sebagai penambahbaikan ataupun jika ada perkara-perkara terpaut akan diambil tindakan.
Saya rasa, ramai tidak tahu peranan yang dimainkan PAC, sebab itu, dengan adanya liputan media, sedikit sebanyak membantu rakyat Malaysia lebih memahami tugas dan tanggungjawab PAC.
TIADA TINDAKAN JIKA TIDAK HADIR TETAPI…
Tidak dikenakan sebarang tindakan jika tidak hadir apabila dipanggil cuma sejarah akan merekodkan seorang menteri Kabinet enggan hadir di hadapan PAC untuk memberikan pandangan dan penjelasan sedangkan ia adalah demi kebaikan rakyat dan negara.
Ada kes sebelum ini, pihak yang dipanggil tidak dapat hadir tetapi dia mewakilkan pihak lain atau kita terpaksa memanggil pihak lain untuk memberi penjelasan. Ini kerana dalam prosiding ini, PAC berhak memanggil siapa yang dimahukan.
Dalam mana-mana prosiding, ia bukan hanya melibatkan satu tetapi pelbagai pihak sama ada dilakukan serentak pada masa sama atau sebaliknya.
PAC masih ada budi bicara, misal kata, tidak dapat hadir pada minggu pertama bulan Mac, kita akan tanya bila boleh datang? Kita faham kekangan orang-orang penting, terutama sekali dalam sesebuah kementerian, walau bagaimanapun kita mengharapkan kerjasama. Maksudnya, bagilah alasan mengapa tidak boleh datang.
Melalui peraturan mesyuarat 83 (2), kita mempunyai kuasa untuk memanggil. Apabila mereka yang dipanggil tidak hadir, maka, kesannya mereka tidak dapat memberi penjelasan, sedangkan kita panggil mereka atas kapasiti atau jawatan yang dipegang. Jika mahu hantar wakil pun biarlah mereka yang berkelayakan.
Saya ingat lagi, ketika Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Belia dan Sukan, PAC memanggil pegawai beliau untuk memberi penjelasan namun Ahmad Shabery menawarkan dirinya untuk memberi keterangan.
Kita mengalu-alukan usaha beliau walaupun ketika kejadian kes berlaku, beliau bukan menteri kementerian berkenaan pun. Beliau datang sebab pegawai berkenaan.
Apa yang saya hendak cakap di sini, kesediaan mana-mana pihak yang ingin memberikan kerjasama, memberikan penjelasan juga turut dialu-alukan. Pun begitu, pihak berkenaan mestilah relevan dengan isu berbangkit.
Lagipun jika PAC melaksanakan tugas dengan baik, orang akan ingat ia berlaku ketika era kerajaan madani. Kerajaan ini juga yang dapat ‘untung’.
TIADA KAITAN DENGAN POLITIK
Kami di PAC sangat memudahkan urusan semua pihak. Mungkin ada yang kata PAC sebagai badan yang ‘bahaya’ dan tidak adil. Ada pula melihat PAC daripada sudut kepartian. Dari sudut mana kami babitkan politik kepartian?
Dalam jawatankuasa ini terdiri daripada sembilan ahli Parlimen kerajaan dan lima ahli Parlimen pembangkang.
Apabila berada dalam PAC, kita meletakkan topik dan ideologi politik di luar.
Melalui kerjasama semua pihak, saya yakin ia akan menghasilkan laporan-laporan yang baik dan juga boleh memberikan manfaat.
TAHUN KETIGA TANPA PERUNTUKAN PEMBANGKANG
Kami memang tidak menerima apa-apa pun sehingga hari ini, sudah masuk tahun ketiga. Kita juga tidak terima apa-apa bantuan waima untuk membantu orang miskin di kawasan Parlimen.
Saya menggunakan 60 peratus duit gaji untuk pusat khidmat dan rakyat sementara 40 peratus lagi membayar komitmen seperti membayar rumah, kereta, bil-bil dan untuk anak-anak.
Memang susah tetapi saya bersyukur ada juga ramai kawan yang membantu. Ramai juga kawan-kawan yang bersedekah dan berkongsi rezeki.
Setakat ini, saya tidak tahu status (rundingan untuk peruntukan pembangkang) tetapi kita boleh lihat bagaimana ahli Parlimen Arau sentiasa bangkitkan isu ini.
Jika ada peruntukan menjelang dua tahun lagi untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), alhamdulillah. Dalam masa sama, saya juga boleh membantu lebih ramai pihak, lebih-lebih lagi sekolah akan dibuka semula, puasa dan Aidilfitri dalam dua bulan ini.
Jika dilihat kawasan Perikatan Nasional (PN) banyak di luar bandar, yang mana mereka ini sangat ramai memerlukan bantuan. Sekurang-kurangnya jika ada bantuan persekolahan dapatlah juga meringankan bebanan mereka.
Itu belum lagi berhadapan rakyat yang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser dan penyakit kritikal lain. Sedih bila ketika tidak dapat membantu mereka yang memerlukan tetapi jika ada bantuan daripada kerajaan madani, syukur alhamdulillah.
PENGUNDI FAHAM KERAJAAN TIDAK BERI PERUNTUKAN
Setakat ini sokongan pengundi terhadap PN masih kukuh. Penyokong kita faham apabila kami menerangkan apa yang berlaku terhadap pembangkang (tidak diberikan peruntukan).
Kita beritahu mereka, sekarang ini bukan macam dahulu. Mereka faham serta bersimpati dengan apa yang sebenarnya berlaku kepada pembangkang di negara ini.
Bahkan, pengundi pula yang menolong kami. Itulah yang saya cakap rezeki ada di mana-mana sahaja.
Kita boleh lihat sejauh mana ‘keikhlasan’ kerajaan dan perdana menteri. Kenapa perlu tanda tangan dengan disertakan syarat-syarat tertentu?
PELAPIS SRIKANDI BERSATU
Saya menjadi Ketua Srikandi pada tahun lalu. Alhamdulillah kita juga baru melancarkan Pusat Khidmat Srikandi dan juga Pelan Tindakan Strategi Srikandi bagi 2025 dan 2027 yang mana melalui pelan tindakan itu, kita tidak akan ‘lari’ daripada garis panduan supaya matlamat parti tercapai.
Tugasan utama saya dalam memperkasakan sayap Srikandi untuk melahirkan lebih ramai pemimpin dan mencungkil bakat kepimpinan di peringkat akar umbi. Pada masa sama juga melaksanakan tugas untuk memperkasakan wanita sama ada untuk terlibat dalam bidang politik atau sebagainya selain menambah lebih ramai lagi bilangan ahli.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh dianggap parti baharu jadi sebab itu perlu ada usaha tambahan untuk memperkenalkan diri.
Saya juga melihat barisan exco teruja dan bersemangat untuk melaksanakan tugas. Insya-Allah kita akan adakan pemukiman Srikandi Bersatu pada 21 hingga 23 Februari ini.
Kita sekarang ini tidak boleh mengharapkan perkara sama sebagaimana mereka yang berada 10 atau 15 tahun dalam politik dengan orang yang satu atau dua tahun. Kerana itu, pemahaman perlu ada dan perlu tahu kekangan.
Saya selalu cakap unit latihan perkaderan sangat penting sebab ilmu yang saya peroleh hari ini adalah melalui pengalaman di pelbagai peringkat.
Jadi, tugas saya sekarang adalah untuk melatih dan memberi dorongan kepada mereka yang berusia 35 tahun ke atas. Golongan berusia ini sudah stabil dari segi keluarga, kerjaya yang membolehkan mereka fokus dalam politik kerana sebelum ini sibuk menguruskan anak-anak.
Kita akan melatih mereka supaya dapat kedepan dalam politik.
TIADA KEM LAIN SELAIN MUHYIDDIN
Seperti saya kata, setiap organisasi pasti ada perbezaan pendapat cuma apa saya boleh cakap tiada kem lain selain Tan Sri Muhyiddin Yassin dan inilah pasukan yang terbaik.
Pemimpin-pemimpin yang terpilih dalam pemilihan perlu membuat kerja dan memberi yang terbaik untuk membantu parti.
PELUANG UNTUK SRIKANDI MENONJOL
Secara peribadi saya kenal Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai Pemimpin UMNO. Saya pernah bekerjasama di bawah kepimpinan Noraini dan saya tahu beliau adalah pemimpin yang rajin dan komited.
Tetapi saya melihat Noraini kini sebagai timbalan menteri di bawah Kerajaan Madani agak terkekang (antara jawatan sebagai Ketua Wanita dan juga tanggungjawab sebagai timbalan menteri) dalam menyuarakan banyak perkara terutama berkaitan wanita atau isu-isu berkaitan partinya sendiri. Ini mungkin kerana UMNO itu sendiri yang bagai hilang punca dalam hala tuju dan identitinya terutama sekali dalam memperkasakan Melayu dan kaum wanita itu sendiri.
Pastinya sebagai parti pembangkang banyak cabarannya tetapi saya melihat peluang terbaik sewaktu menjadi pembangkang inilah untuk melatih kepimpinan Srikandi dalam menjuarai isu rakyat yang terhimpit di era madani.
Saya tidak akan sesekali memjadikan kepimpinan parti lain sebagai tanda aras untuk memimpin Srikandi. Ini adalah dua perkara berbeza. Saya menggesa ahli-ahli Srikandi ikhlas berjuang dan perlu ada jati diri yang kuat.
HUBUNGAN DENGAN PAS BAIK-BAIK SAHAJA
Saya nampak dalam dalam hubungan antara Pas dan Bersatu, yang mana mereka mempunyai lebih ahli Parlimen tetapi itu tidak menjadi kerenggangan antara kami. Malah saya sendiri sering menjadikan kelebihan dan budaya baik di dalam Pas untuk saya contohi.
Biasalah di mana-mana organisasi akan ada perbezaan pendapat tetapi parti gabungan ini mempunyai banyak ruang untuk berbincang dan saya yakin serta percaya dengan barisan jawatankuasa baharu dapat memberikan kesepakatan yang lebih baik untuk beberapa pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
PAS KERAP SEBUT TENTANG MUAFAKAT NASIONAL
Muafakat Nasional (MN) di bawah Tan Sri Annuar Musa dan sebenarnya saya mendapat makluman ramai juga ahli Bersatu yang terlibat sebagai ahli MN. Jadi, tidak nampak perkara ini akan menjadi masalah, lagipun MN adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukannya parti politik.
Jika di Masjid Tanah, kita baru sahaja selesai membuat pemukiman dan kehadiran sangat baik.
Di kawasan saya, kita ada Pesuruhjaya Pas Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman, orang lama yang berjuang dalam Pas. Kita di sana saling hormat-menghormati dan kerap berbincang dalam melaksanakan tugas.-UTUSAN










