Jangan derhaka titah Ketua Negara

Jangan derhaka titah Ketua Negara

MALAYSIA bersifat berbilang etnisiti hanya untuk mengakomodasi pelbagai etnik lain daripada China dan India yang terus mahu tinggal di negara ini, setelah tamatnya penjajahan Inggeris.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Titah Ketua Negara Ke-17 sejurus sahaja menaiki takhta pada awal 2024 tentang kurangnya pengetahuan cara hidup kaum lain dalam kalangan rakyat, walaupun sudah lama tertubuhnya negara, bukan sahaja amat tepat, malah dapat dilihat dalam pelbagai hal yang terjadi daripada kejahilan ini. Antaranya sensitiviti etnik Melayu-Islam terus-terusan dicabar.

Kekurangan ini amat memudaratkan kerana menambahkan lagi ketegangan hubungan etnik yang sebenarnya tidak pernah pun baik. Selain ini, ia juga mewujudkan polemik sengit yang boleh mencetuskan konflik terbuka.

Untuk ini, ada keperluan mendesak agar kekurangan ini ditangani dengan kadar segera sebelum nasi menjadi bubur.

Sesungguhnya titah itu tidak pun diendahkan. Ini jelas dapat dilihat selepas setahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, masih tiada pihak, khususnya pihak pemerintah menyahutnya dengan serius bagi memulakan usaha integrasi budaya yang mangkus.

Sehubungan ini, sebenarnya pengetahuan antara budaya ini boleh diperoleh dengan mudah. Namun ia langsung tidak berlaku. Ini kerana pergaulan sesama kita yang berbeza etnisiti tidak mencukupi, untuk mengenali antara satu sama lain. Seterusnya bagi memahami sesama kita, khususnya dalam hal budaya yang dititahkan itu.

Dalam pada ini, ekoran daripada beberapa kecuaian yang dilakukan etnik Melayu-Islam dalam hal ini, ada saranan, malah daripada etnik Melayu-Islam sendiri, agar mereka ditarbiahkan pengetahuan mengenai cara hidup etnik lain, khususnya Cina. Ini berikutan sebilangan kejadian yang memperlihat etnik Melayu-Islam diambil tindakan atas kesilapan budaya Cina yang disalahfahami.

Tidak dapat disangkal saranan itu baik sekali. Ia sangat mustahak untuk membaiki keadaan ‘kenal Cina’ yang masih wujud di negara ini, meskipun sudah lama hidup bersama. Ia simpulan bahasa Melayu yang merujuk kepada perkenalan pada permukaan sahaja, yakni sekadar mengenali pihak lain pada hanya segi luarannya semata-mata. Antaranya warna kulit, paras muka dan sifat anggota badan tertentu.

Walaupun pengetahuan oleh etnik Melayu-Islam terhadap budaya Cina dialu-alukan, sebenarnya pengetahuan oleh etnik Cina tentang budaya Melayu-Islam amat sangat diperlukan. Ini kerana etnik Cina yang mendiami bumi Melayu-Islam harus tahu bahasa, yakni berkelakuan yang tidak bertentangan dengan adab Melayu-Islam.

Dengan ini, menjadi kewajipan mereka untuk memahami cara hidup etnik Melayu-Islam untuk bukan sahaja berfungsi dengan lebih cekap di bumi Malaysia. Jauh lebih penting lagi ialah juga untuk mengikuti resam peribahasa Melayu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ini sangat penting agar sensitiviti etnik Melayu-Islam di tanah watan mereka sendiri dihormati pada setiap masa.

Walaupun selaku tuan rumah, etnik Melayu-Islam selalu bertimbang rasa selain baik hati kepada kelompok yang mendatangi mereka. Ini dapat dilihat untuk sekian kalinya apabila mereka bersedia memaafkan kesalahan, apatah lagi kesilapan yang dilakukan oleh etnik Cina, walaupun berulang kali dan oleh pihak sama.

Ini berbeza sekali dengan etnik Cina yang bukan sahaja tidak mahu memaafkan pihak tertentu daripada etnik Melayu-Islam yang silap. Juga mahu terus menyaman mereka di mahkamah untuk mendapat bayaran lumayan.

Apa-apa jua, natijah di sini ialah baik sekali bagi tuan rumah ikut mengetahui cara hidup kelompok yang mendatanginya. Tetapi menjadi kemestian yang wajib untuk kelompok bukan asal bukan sahaja mengetahui, juga menghayati warisan budaya Melayu-Islam.

Malangnya ini langsung tidak berlaku di negara ini. Ini antaranya kerana etnik Cina amat angkuh dengan peradaban Cina mereka itu. Dengan ini, mereka tidak akan sesekali memandang tinggi kepada mana-mana tamadun lain, apatah lagi hanya budaya.

Dengan sosialisasi begini dalam kalangan etnik Cina, amat sukar sekali untuk mereka mengiktiraf ciri bestari pada warisan budaya lain. Begitu juga halnya untuk menilai kepentingan bagi menerima cara hidup pihak lain, lebih-lebih lagi yang dipandang rendah oleh mereka.

Dengan ini, selama-lamanya mereka tidak akan mempunyai pengetahuan tuntas yang sangat diperlukan tentang amalan hidup etnik Melayu-Islam. Ini amat tidak baik untuk kelestarian kehidupan bersama di negara ini apabila tiadanya pengetahuan antara budaya yang sangat penting itu, khususnya yang tentang etnik Melayu-Islam.

Oleh itu, etnik Cina hendaklah mengubah sikap angkuh mereka. Ini kerana walaupun negara ini juga merupakan tanah air mereka yang didakwa majmuk, pada asasnya ia tetap bumi Melayu-Islam. Ia bersifat berbilang etnisiti hanya untuk mengakomodasi pelbagai etnik lain daripada China dan India yang terus mahu tinggal di sini, setelah tamatnya penjajahan Inggeris.

PERANCANGAN
Sesungguhnya menjadi satu penderhakaan apabila titah itu terus diabaikan. Titah itu bukan sahaja perkara tepat yang harus dilakukan. Juga ia akal bestari yang sama sekali tidak boleh dikesampingkan. Justeru ia harus dilaksanakan.

Oleh itu, jadikanlahnya tekad tahun 2025. Ia harus dimulakan oleh pemerintah untuk mengambil usaha bagi membincangkan langkah awal sebagai tindakan segera untuk waktu terdekat. Selain ini, perancangan untuk jangka sederhana dan panjang hendaklah ikut dilakar dari sekarang.

Sebenarnya titah itu turut memohon pemerintah menggubal dasar untuk memperkukuh jati diri anak bangsa kita dalam konteks perpaduan negara yang erat lagi utuh. Ia dititahkan agar falsafah peribahasa Melayu melentur buluh biar dari rebungnya dijadikan petua utama.

Sebenarnya masalah kurangnya pengetahuan tentang cara hidup kaum lain di negara ini adalah amat serius. Ini antaranya dapat dilihat dengan jelasnya pada pelbagai kejadian yang dilakukan oleh yang bukan Melayu-Islam, khususnya Cina yang didapati langsung tiada apa-apa jua pengetahuan tentang sensitiviti etnik Melayu-Islam.

Titah itu hendaklah juga dilihat dalam kerangka kenegaraan, khususnya pembinaan negara bangsa. Dengan adanya masalah ini, prosesnya hendaklah dilihat kembali agar pembinaan semula negara bangsa dapat dilakukan dengan lebih baik pada kali ini.

Ini penting sekali agar kita yang berbagai etnisiti di tanah bertuah ini betul-betul berkongsi identiti sama, baik yang nasional untuk negara dan budaya bagi rakyat, untuk sama-sama mendukung nasionalisme Malaysia.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×