DUA tahun kepimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Menteri Dalam Negeri sejak dilantik pada 3 Disember 2022 menandakan era reformasi sistem keselamatan serta pengurusan dalam negeri yang berteraskan integriti dan keberkesanan.
Dalam tempoh ini, Saifuddin antara menteri yang paling banyak dihadapkan dengan fitnah. Antara dakwaannya ialah kononnya beliau memberi kewarganegaraan kepada 54,000 orang rakyat China, sedangkan hal ini tidak pernah berlaku.
Paling mutakhir adalah dakwaan kononnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Penjara Malaysia, tidak melaksanakan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bertarikh 29 Januari 2024 yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Hakikatnya, KDN tidak pernah menerima Titah Adendum tersebut. Sebaliknya, surat yang diterima daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), hanya menyatakan bahawa Najib akan diberi pembebasan awal pada 23 Ogos 2028, manakala jumlah denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Walaupun berhadapan pelbagai cabaran, Saifuddin adalah antara menteri yang menunjukkan prestasi cemerlang. Dalam isu Titah Adendum, rekod membuktikan kejujuran beliau dalam melaksanakan tanggungjawab berdasarkan dokumen rasmi yang sah. KDN tidak boleh melaksanakan sesuatu yang tidak diterima dan ini membuktikan integriti pentadbiran beliau.
Peranan utama Saifuddin sebagai Menteri Dalam Negeri termasuk memastikan semua agensi penguatkuasaan undang-undang menjalankan tugas dengan efisien dan adil, menjamin keselamatan daripada ancaman dalam dan luar negara serta mengawal selia isu berkaitan imigresen, kewarganegaraan dan status penduduk tetap.
Bukan senang menjaga sembilan jabatan dan agensi besar di bawah KDN, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Namun begitu, beliau menguruskan semuanya dengan baik.
PENINGKATAN KEAMANAN NEGARA
KDN ketika ini berjaya meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 ke tangga ke-10, naik sembilan anak tangga daripada tahun sebelumnya. Ini adalah pencapaian luar biasa memandangkan populasi Malaysia jauh lebih besar berbanding negara-negara lain dalam kedudukan 10 teratas.
Kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Amerika Syarikat (AS) juga menunjukkan trend peningkatan. Pada 2022, Malaysia berada di tahap ketiga. Setahun kemudian, kita naik ke tahap 2 (senarai pantauan) tetapi dengan kepimpinan Saifuddin membawa Malaysia keluar daripada tahap tersebut kepada tahap 2 dalam penilaian terkini pada 2024.
PENAMBAHBAIKAN SISTEM IMIGRESEN
Saifuddin memperkenalkan pembaharuan besar dalam sistem imigresen termasuk mempercepatkan proses permohonan visa dan penggunaan teknologi canggih untuk mengesan aktiviti haram di sempadan negara. Selain itu, perkhidmatan di pintu masuk negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditambah baik dengan penempatan pegawai berkemahiran bahasa dan pengenalan mesin pencetak pasport berkapasiti tinggi.
KDN di bawah Saifuddin juga berjaya meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) bagi menjadikan sistem penyampaian di pintu masuk dan sempadan negara lebih cekap dan pantas, menambahkan kutipan hasil negara, meningkatkan koordinasi antara agensi dan menghapuskan ketirisan serta isu integriti.
PEMERKASAAN PENGURUSAN KEWARGANEGARAAN
Pimpinan beliau juga berjaya mempercepatkan pemprosesan permohonan kewarganegaraan, mencapai sasaran 10,000 keputusan pada 2023 dan 2024. Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), program turun padang JPN untuk urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman, juga diperhebatkan.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memperkemaskan peruntukan kewarganegaraan, termasuk menunaikan janji untuk memastikan kanak-kanak lahir di luar negara kepada ibu Malaysia mendapat kewarganegaraan. Hasil komitmen beliau mengadakan begitu banyak sesi libat urus, RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan ini mendapat persetujuan rentas parti di Parlimen.
MENANGANI ANCAMAN DADAH
Satu lagi RUU signifikan yang diluluskan di Parlimen hasil inisiatif KDN ialah RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 yang memperluaskan akses rawatan dan pemulihan, khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih atau penyalahgunaan dadah.
Usaha menurunkan masalah penagihan dadah dengan menukar Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) menjadi Kawasan Berisiko Rendah (KBR) dan Kawasan Bebas Dadah (KBD) semakin dipergiatkan, dengan sasaran menukar 78 daripada 155 KBT menjadi KBR dan KBD.
INISIATIF PENJAGAAN TAHANAN DAN PEMULIHAN
Beliau memperkenalkan Baitul Mahabbah untuk menyediakan tempat lebih kondusif bagi tahanan kanak-kanak. Beliau juga menjenamakan semula Jabatan Penjara sebagai pusat pembangunan peradaban manusia dengan menekankan pendekatan pemulihan melalui program parol dan pelepasan banduan secara berlesen.
PENURUNAN KADAR JENAYAH
Kadar jenayah indeks di Malaysia juga menurun secara signifikan, daripada 149 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2023 kepada 72 kes sehingga Jun 2024. Ini melebihi sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu 238 kes jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk. Masa respons polis terhadap kes kecemasan melalui panggilan talian kecemasan negara, MERS juga meningkat daripada 13 minit kepada 11 minit dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Dua tahun pentadbiran Saifuddin di KDN membuktikan beliau seorang pemimpin yang berwibawa dan progresif. Usaha kerasnya wajar dihargai sebagai langkah penting dalam memastikan Malaysia kekal aman, berdaulat dan selamat.
Ini selaras dengan visi KDN untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat dan selamat. Begitu juga misinya untuk menjamin keselamatan dalam negeri dan kesejahteraan rakyat.-UTUSAN
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.










