Mentaliti juara rahsia kemenangan THT   

Mentaliti juara rahsia kemenangan THT   

Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT), Lee Nam Yong (kiri) cuba merampas bola daripada kawalan tonggak import Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jan Jong Yun dalam aksi Piala Sumbangsih 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. THT menang 2-1. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mentaliti juara yang diterapkan dalam pemikiran pemain menjadi faktor kejayaan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menamatkan dominasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kemenangan bergaya 2-1 untuk menjulang Piala Sumbangsih 2025, kelmarin.

Ketua jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom berkata, anak-anak buahnya telah mengotakan janji untuk menewaskan juara treble musim lalu dengan permainan bersih dan penuh berdisiplin.

“Pemain hari ini betul-betul menetapkan mentaliti mahu menang perlawanan ini tanpa perlu ke pukulan penalti. Mereka mahu kemenangan bersih, dan itu yang telah kita capai.

“Namun, kita masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, terutama dari segi kombinasi antara pemain tempatan dan import.

“Kami akan berusaha memperkemaskan aspek itu dalam sesi latihan akan datang,” katanya.

Kemenangan THT itu juga menjadi penamat kepada rekod kemenangan berturut-turut TNB yang turun ke padang dengan status juara treble musim lalu.

Mohd. Harfizi berkata, kehadiran pemain berpengalaman termasuk dua tonggak import, Lee Nam Yong dari Korea Selatan dan Samkelo Mvimbi dari Afrika Selatan, telah memperkuatkan pasukan dan menyumbang kepada kejayaan tersebut.

“Samkelo baru tiba di Kuala Lumpur empat hari lalu, dan saya yakin dia perlahan-lahan akan menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan serta kehidupan di Malaysia.

“Kami optimis bahawa kombinasi antara pemain ini akan segera diperkemaskan bagi memastikan THT terus cemerlang dalam saingan liga selepas ini,” katanya.

THT dijangka terus memperbaiki prestasi menjelang perlawanan seterusnya dalam Liga Hoki Malaysia, dengan misi memburu kejuaraan musim ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN