Malaysia sedia landasan kukuh Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

Malaysia sedia landasan kukuh Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

MOHAMAD Hasan (tengah) bergambar bersama Menteri Luar ASEAN sempena Pemukiman Menteri Luar ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi, Kedah pada 19 Januari lalu. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMUKIMAN Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi dua hari lalu menandakan titik penting dalam Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN pada tahun 2025. Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berjaya mempamerkan kemampuan dan kepimpinan yang luar biasa dalam mengemudi perbincangan peringkat tertinggi ini.

Pemukiman ini membincangkan empat topik utama yang kritikal:

 Keutamaan Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025
 Tindakan susulan kepada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 mengenai Kajian dan Keputusan Pemimpin ASEAN terhadap Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara;
 Hubungan luar
 Pertukaran pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa

Mohamad menggariskan tiga keutamaan utama yang jelas dan strategik:

1. Memperkukuh kesentralan ASEAN
Malaysia akan memperkukuh Kesentralan ASEAN dengan mempromosikan kepercayaan strategik antara negara melalui dialog berterusan, diplomasi dan hubungan baik. Dengan pragmatisme dan saling menerima sebagai asas, Mohamad menekankan pentingnya ASEAN memperluaskan kerjasama dengan pihak luar bagi membentuk rantau yang lebih stabil dan bersatu.

2. Meningkatkan perdagangan dan pelaburan Intra-ASEAN
Malaysia akan mendorong komitmen lebih kukuh untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam ASEAN selain berusaha meneroka dan memperluaskan kerjasama dengan blok ekonomi utama di luar rantau ini seperti melalui Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei 2025. Keutamaan ini turut memberi penekanan kepada inovasi teknologi dan transformasi digital.

3. Menjamin inklusiviti dan kelestarian
Malaysia akan memastikan elemen inklusiviti dan kelestarian yang merupakan tema Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025 menjadi teras dalam usaha pembinaan komuniti serantau. Ini termasuk usaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan ketidaksamaan, meningkatkan taraf hidup dan menangani kesan perubahan iklim bagi memacu pembangunan, pertumbuhan serta kemakmuran demi manfaat semua lapisan masyarakat.

Mohamad turut memacu perhatian kepada dua hasil utama di bawah agenda pembinaan Komuniti ASEAN.

Pertama ialah Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan Komuniti ASEAN yang mana beliau mencadangkan agar pegawai-pegawai kanan ditugaskan untuk merangka Deklarasi Kuala Lumpur bagi diterima pakai oleh Pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur. Ini sekali gus akan menjadi batu tanda pencapaian penting ASEAN sejak 2015.

Kedua ialah Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 dan semua Pelan Strategiknya yang akan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur. Malaysia memimpin usaha memuktamadkan pelan strategik ini melalui kerjasama erat dengan Peneraju Utama Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Visi Komuniti ASEAN(HLTF-ACV). Mohamad memaklumkan beliau amat berbesar hati kerana HLTF-ACV hampir menyelesaikan tugas untuk merangka ACV 2045 dan semua Pelan Strategiknya.

Dalam agenda Tindakan Susulan kepada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 pula, Mohamad memaklumkan Malaysia tetap teguh dalam sokongannya serta bekerjasama rapat dengan semua anggota ASEAN untuk memastikan Timor-Leste mendapat tempat yang sewajarnya di ASEAN, termasuk memberi sumbangan bagi menyokong penubuhan Unit Timor-Leste dan program pembangunan kapasiti bagi 319 pegawai Timor-Leste

Mohamad juga berkongsi pendirian Malaysia mengenai Kajian dan Keputusan Pemimpin ASEAN terhadap Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara. Walaupun usaha besar telah dilakukan oleh Pengerusi-pengerusi ASEAN sebelum ini, situasi di Myanmar masih berada dalam keadaan kritikal. Konflik yang berterusan di Myanmar memberi kesan serius kepada rantau ini, terutamanya negara-negara jiran apabila Langkawi sendiri menyaksikan impak daripada perpindahan penduduk di Myanmar.

Di tengah krisis berterusan di Myanmar ini, Mohamad menunjukkan keberanian dalam menyuarakan keperluan untuk penyelesaian segera. Mohamad menjelaskan situasi di Myanmar akan kekal menjadi keutamaan utama dalam agenda ASEAN semasa Pengerusi Malaysia. Malaysia komited untuk menggunakan semua saluran yang tersedia untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, termasuk melalui Mekanisme Troika.

Mengenai Hubungan Luar, sebagai penyelaras hubungan dialog ASEAN-China, Mohamad mengumumkan Malaysia sedang meneliti Draf Sifar bagi Pelan Tindakan (PoA) baharu untuk ASEAN-China Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) bagi tempoh 2026-2030. Malaysia percaya dokumen ini perlu memberi tumpuan kepada hala tuju yang boleh dilaksanakan dan strategik, khususnya dalam bidang ketahanan ekonomi dan kelestarian, kesalinghubungan dan integrasi serta keamanan dan keselamatan.

Mengenai isu serantau dan antarabangsa, Mohamad berpesan, ASEAN mesti memastikan ketegangan geopolitik tidak meningkat sehingga mengancam keamanan, keselamatan dan perdagangan global di Laut China Selatan. Beliau menekankan keperluan untuk dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS). Momentum positif dalam Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan juga diharap akan berterusan sepanjang kepengerusian Malaysia tahun ini.

Dalam isu global seperti konflik di Gaza, Mohamad menyuarakan harapan agar gencatan senjata membawa perubahan positif dan menyokong usaha antarabangsa untuk menghantar bantuan kemanusiaan. Beliau menegaskan ASEAN mesti terus menunjukkan kesentralan dan menuntut kebertanggungjawaban bagi keamanan sejagat.

Kesimpulannya, Mohamad membuktikan kemampuan untuk mengemudi ASEAN ke arah yang lebih kukuh dan bersatu.

Pujian Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, terhadap pengurusan pemukiman adalah testimoni kejayaan Malaysia dalam menyediakan landasan kukuh untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei ini.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Nazariah Osman ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN