INSIDEN menimpa A. Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha, yang maut akibat buli siber Julai lalu merupakan satu petanda bahawa kegiatan itu mampu meragut nyawa.
Dahulunya kejadian buli sinonim di sekolah-sekolah. Budaya buli pelajar tingkatan atas terhadap pelajar yang lebih muda berterusan hinggalah di universiti. Kejadian sebegini dilihat sudah menjadi kelaziman meskipun tiada yang menerima buli sebagai norma sosial.
Cuma budaya tutup mulut dan pekakkan telinga menyebabkan tiada siapa yang ingin membanteras buli ke akar umbi. Kini seiring dengan kewujudan platform teknologi, buli yang dahulunya dilakukan secara fizikal bilamana mangsa dipukul atau diejek kini beralih ke alam maya. Kisah Esha adalah satu daripada ribuan kisah buli siber yang berlaku di dalam negara.
Fenomena buli siber tidak hanya berlaku di Malaysia malah terjadi juga di negara-negara lain. Misalnya pada 2019, artis Korea Selatan, Sulli dan Goo Hara ditemui mati di kediaman mereka kerana tertekan dengan buli siber. Barangkali masyarakat tidak memandang berat isu buli siber ini hinggalah berlakunya siri-siri insiden menyayat hati dan kehilangan nyawa yang dilaporkan.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara purata terdapat 10 kes buli dilaporkan dalam sehari dari 2022 hingga Julai 2024.
Dalam tempoh ini, SKMM menerima 9,482 aduan kes dengan wanita menjadi mangsa paling ramai. Jumlah ini adalah suatu angka yang besar memandangkan statistik ini hanyalah berdasarkan kepada laporan yang dibuat oleh mangsa. Sedangkan terdapat juga insiden yang mangsa tidak membuat laporan polis dan hanya berdiam diri.
Pemangsa dalam kes buli siber hakikatnya tiada bezanya dengan buli fizikal. Malah mereka lebih kejam kerana jumlah pembuli dan tempoh buli boleh berlaku tanpa had jumlah serta secara berpanjangan. Ini belum lagi mengambil kira pembuli yang menggunakan akaun-akaun palsu untuk membuli mangsa.
Mereka pula akan berhadapan dengan tekanan emosi dan trauma yang berpanjangan malah terdapat mangsa yang perlu bergantung kepada ubat-ubatan atau rawatan.
Intervensi perundangan sememangnya diperlukan di tahap ini untuk mengurang dan mencegah jenayah buli siber.
2025 ini juga menyaksikan penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi penyedia platform media sosial. SKMM mengumumkan mana-mana perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga menyatakan secara khusus bahawa pelesenan platform media sosial adalah untuk mengatasi permasalahan dalam internet seperti buli siber dan pengantunan kanak-kanak.
Rujukan boleh dilakukan dengan mengambil Singapura sebagai contoh. Negara itu yang mempunyai Akta Perlindungan dari Gangguan 2014 (POHA) untuk menangani perbuatan buli siber. POHA ini diwujudkan untuk melindungi individu daripada gangguan, pengintipan tidak sah, pernyataan fakta yang palsu dan memberikan perlindungan daripada mahkamah. POHA ini juga melindungi mangsa yang menjadi gangguan di platform dalam talian.
Misalnya bagi kesalahan menyebabkan gangguan, tekanan secara niat di bawah Seksyen 3 POHA sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak SGD$5,000 (RM16,350) atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Sekiranya kesalahan berulang, Seksyen 8 POHA menetapkan denda tidak melebihi SGD$10,000 (RM32,832) atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
Di Australia pula, terdapat undang-undang untuk jenayah buli siber iaitu Akta Keselamatan Dalam Talian 2012. Contohnya di bawah Seksyen 88, sekiranya mana-mana material dalam perkhidmatan media sosial, elektronik atau internet dimuat niak, yang mana pesuruhjaya berpuas hati mengatakan ia bersifat penyalahgunaan siber ditujukan kepada orang dewasa Australia dan material itu menjadi aduan kepada pembekal perkhidmatan, maka pesuruhjaya boleh memberikan notis bertulis dikenali sebagai notis pembuangan (removal notice) untuk kandungan tersebut dibuang daripada siaran.
Bagi buli siber yang melibatkan kanak-kanak pula, perundangan di bawah Seksyen 65 meletakkan kaedah-kaedah yang sama bagi kandungan tersebut dibuang.
PERLU KONSISTEN, BERSEPADU
Untuk mencegah buli siber memerlukan usaha yang konsisten dan bersepadu.
Perundangan semata-mata tidak mampu untuk memberikan perlindungan kepada mangsa.
Cuma perundangan yang mantap misalnya tanggungjawab kepada pembekal perkhidmatan memberikan kuasa kepada kerajaan untuk membuang apa sahaja kandungan yang dilaporkan mempunyai elemen buli siber.
Kesedaran pengguna media sosial dan platform yang lain juga perlu. Didikan dan disiplin dalam menggunakan kemudahan ini mesti diterapkan di semua peringkat pendidikan supaya perkhidmatan dalam talian boleh digunakan dengan penuh tanggungjawab.
Tuntasnya, menangani jenayah buli terutama buli siber sentiasa menjadi cabaran mendesak dan berat kepada masyarakat. Buli ini bermula dengan sakat-menyakat yang biasa namun akhirnya boleh membawa kepada kehilangan nyawa.
Barangkali Malaysia boleh menjadikan azam baharu supaya penggunaan media sosial tahun ini lebih berhemah dan tertib.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) & Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










