Hutan kita, nafas negara

Hutan kita, nafas negara

PERUBAHAN IKLIM, konflik tanah dan kesedaran awam yang masih rendah tentang pentingnya hutan menjadi ancaman yang perlu ditangani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di mana dedaun menghijau dan rimba merimbun, hutan tropika Malaysia berdiri sebagai perisai alam yang diam tetapi gagah. Ia menyimpan rahsia purba, menjadi benteng semula jadi dan menyumbang kepada kehidupan jutaan spesies termasuk kita.

Namun, di sebalik ketenangan hutan yang mempesona, ada cabaran yang mengintai, menuntut tindakan kolektif dan strategik untuk menjamin kelestariannya pada masa hadapan.

Konsep Malaysia Madani membawa mesej yang jelas terhadap kepentingan mengimbangkan pembangunan dan pemuliharaan yang tidak boleh berjalan bersendirian, tetapi harus berpadu dalam satu perjalanan yang lestari.

Dalam kerangka masa hadapan ini, hutan bukanlah sekadar tanah yang penuh pepohon tetapi nadi kehidupan yang menjana kemakmuran serta identiti sesebuah negara.

Jika menoleh ke masa lalu, kita melihat bagaimana hutan menjadi sumber inspirasi dan kelangsungan hidup. Dari kayu cengal yang membina kapal Melayu hingga ramuan herba yang merawat, hutan adalah ‘ibu’ yang sentiasa memberi tanpa lelah.

Namun kini, dengan tekanan pembangunan, kita perlu menilai semula hubungan kita dengan alam.

Visi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk menjadikan Malaysia peneraju global dalam pengurusan hutan tropika adalah cita-cita yang memerlukan komitmen menyeluruh dengan bertujuan memastikan litupan Hutan Simpan Kekal (HSK) terus subur menghijau senantiasa melebihi 50 peratus.

Dalam konteks ini, usaha untuk menyeimbangkan keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar akan menjadi keutamaan yang harus diberi tumpuan.

Bayangkan dunia pada 2030, ketika itu teknologi moden dan kebijaksanaan tradisional bergabung menjaga hutan kita. Sensor kecerdasan buatan (AI) seperti peranti berteknologi canggih disarung pada pokok-pokok utama dapat memberi amaran awal tentang aktiviti pembalakan haram, sementara dron melaksanakan rondaan udara bagi menggantikan usaha manusia yang sering terbatas.

Perdagangan karbon pula berkembang pesat akan memberikan peluang kepada negara untuk memperoleh pendapatan melalui pemuliharaan dan bukanlah sebuah kemusnahan.

Komuniti tempatan, yang dahulunya terpinggir, kini menjadi penggerak utama ekopelancongan. Berbantukan teknologi, mereka bukan sahaja menawarkan pengalaman unik kepada pelancong, tetapi juga dapat menjadi ‘penjaga alam’ yang paling setia.

Anak muda tempatan pula mendapat peluang pendidikan dan latihan untuk menjadi ‘ranger digital’ yang melindungi aset biodiversiti negara.

Namun, masa hadapan ini tidak datang tanpa cabaran. Perubahan iklim, konflik tanah dan kesedaran awam yang masih rendah tentang pentingnya hutan menjadi ancaman yang perlu ditangani.

Melalui pendekatan pemikiran masa hadapan, kita boleh memahami kesan langsung dan tidak langsung setiap tindakan. Begitu juga dapat membantu mengenal pasti ‘daya tolakan’ dan ‘daya tarikan’ dalam perjalanan menuju masa depan ini.

Di samping itu, keberhasilan pengurusan hutan juga diterjemahkan melalui reformasi perkhidmatan awam. Pegawai perhutanan perlu dilengkapi dengan alat teknologi canggih dan ilmu yang relevan.

Kerjasama antara jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat perlu diperkukuh. Dalam era digital, automasi dan platform teknologi seumpama blockchain dapat digunakan untuk memastikan ketelusan dalam perdagangan karbon dan pengurusan sumber.

Aspirasinya ialah dengan pengenalan kontrak pintar, ketelusan, kebolehauditan dan kredibiliti pasaran karbon boleh diperkemaskan.

Hutan bukanlah sekadar objek kajian, tetapi jiwa bangsa. Kisah-kisah rakyat seperti Sang Kelembai dan semangat penjaga hutan boleh dihidupkan semula dalam ‘keremajaan’ melalui filem, seni dan teknologi maya. Hal ini penting untuk menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang pentingnya kelestarian. Kita juga perlu merakam kisah-kisah kejayaan dalam pengurusan hutan, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Dunia harus tahu bahawa Malaysia bukan sekadar memiliki hutan tropika, tetapi juga penjaga yang sabar dan gigih.

Masa depan pengurusan hutan di Malaysia adalah naratif hijau yang sedang ditulis. Setiap keputusan yang kita buat hari ini melalui dasar, teknologi atau tindakan individu adalah ayat yang akan membentuk cerita itu. Bayangkan generasi akan datang yang dapat bersiar-siar di bawah naungan hutan yang lebih hijau, menghirup udara yang lebih segar dan hidup di dunia realiti yang lestari.

Di hujung perjalanan kita sebagai penjaga bumi, hutan akan terus menjadi saksi bisu kepada segala keputusan dan tindakan. Ia adalah warisan yang tidak terganti, khazanah yang tidak boleh dijual beli. Setiap pohon yang berdiri megah, setiap akar yang menghunjam ke bumi dan setiap daun yang menari dihembus angin adalah cerita tentang siapa kita sebagai sebuah bangsa merdeka.

Malaysia bukan sekadar tanah yang kaya dengan biodiversiti malah di bawah naungannya, kita membina ekonomi hijau, menyelamatkan biodiversiti dan membentuk identiti Malaysia di pentas dunia.

KEKALKAN KELESTARIAN
Maka, kita harus berjanji kepada diri sendiri dan kepada anak-anak bahawa warisan ini tidak akan kita sia-siakan. Kanopi hijau yang subur ini akan memastikan kehidupan terus tumbuh, harapan terus menyala dan masa hadapan yang lebih cerah terus tercipta.

Seperti sebuah ungkapan lama, kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek moyang, tetapi meminjamnya daripada anak cucu.

Dan ketika kita menyerahkan kembali bumi ini kepada mereka, biarlah ia menjadi hadiah yang tiada tandingan dengan nilai hutan yang masih megah, masih bernafas, masih hidup.

Hutan kita, nafas kita dan legasi kita buat dunia.-UTUSAN

PENULIS ialah Perunding Latihan Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan (PPPK), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN