FAM tidak campur urusan pemain warisan

FAM tidak campur urusan pemain warisan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuasa pengambilan pemain warisan untuk memperkuatkan Harimau Malaya pada masa akan datang diletakkan sepenuhnya kepada pengurusan baharu skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, badan induk itu tidak akan mencampuri urusan itu kerana ia diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend.

Beliau berkata, setakat ini FAM tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan pengambilan pemain warisan terbabit, namun percaya usaha berkenaan sedang giat dilakukan oleh pihak berkaitan.

“FAM serahkan kepada pengurusan baharu Harimau Malaya untuk mencari dan mengambil pemain kacukan untuk menguatkan lagi skuad Harimau Malaya.

“Mereka lebih arif dan mengetahui berdasarkan kepada keperluan pasukan Harimau Malaya. Oleh itu, kita tunggu saja pengumuman oleh pengurusan baharu skuad kebangsaan.

“FAM akan membantu dalam urusan dokumentasi dan beberapa perkara lain. Paling penting adalah memastikan skuad Harimau Malaya mampu meraih kejayaan pada kejohanan akan datang,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan bahawa pasukan negara bakal diperkuatkan sekurang-kurangnya enam hingga tujuh pemain warisan gred A.

Situasi itu bakal menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski tampil dengan wajah baharu dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang turut menampil Vietnam, Nepal dan Laos.

Bagaimanapun, setakat ini tiada perkhabaran mengenai identiti pemain warisan yang bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya dan difahamkan situasi itu bagi mengelak penafian awal seperti yang berlaku sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN