Apa akan jadi kepada Palestin pada 2025?

Apa akan jadi kepada Palestin pada 2025?

‘PERCIKAN’ semangat Taufan al-Aqsa memberikan inspirasi kepada gerakan global untuk terus bersolidariti terhadap Palestin. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2024 telah menutup tirainya dan membuka lembaran baharu untuk 2025. Namun, tiada ia tidak bermakna buat Palestin yang kini masih dizalimi oleh Israel sejak terdirinya negara itu di atas tanah barakah Palestin.

Bagi tahun lalu, pelbagai peristiwa yang terjadi di rantau Asia Barat memberi kesan kepada Palestin. Bermula dengan pembunuhan berterusan yang dilakukan penjajah kepada penduduk di Gaza, perang Hezbollah-Israel yang membawa musibah kepada Lubnan, jatuhnya diktator Bashar al-Assad di Syria, kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dan beberapa siri perbicaraan kes yang dikendalikan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Benjamin Netanyahu.

Peristiwa yang disenaraikan adalah antara peristiwa penting yang mencorakkan geopolitik rantau Asia Barat dan digunakan sebagai asas untuk melihat kepada masa hadapan Palestin pada 2025.

Kemenangan Donald Trump sebagai Presiden di AS sebenarnya memberikan motivasi kepada Israel untuk meneruskan penindasan terhadap rakyat Palestin. Ini dapat kita lihat kepada beberapa pertemuan di Asia Barat yang melibatkan Setiausaha Negara.

Anthony Blinken dan Duta AS ke Israel menandakan satu pengiktirafan politik kepada kerajaan ultra nasionalis Israel. Netanyahu hari ini berdepan tentangan daripada rakyatnya sendiri kerana gagal untuk mengekang tentangan dari Gaza dan menyelamatkan tawanan Israel. Isu ini dilihat serius kerana Israel sering disebut sebagai safe haven (tempat selamat) bagi orang Yahudi. Namun, Taufan al-Aqsa merobek keamanan ini daripada mereka.

Dengan langkah pengiktirafan ini juga, ia seolah-olah menggambarkan bahawa jauh lagi perjalanan Palestin untuk menjadi sebuah negara yang berdaulat. Pada tahun ini dijangka banyak lagi tanah yang akan dirampas dan lebih banyak penempatan haram Yahudi. Ini dapat kita lihat berdasarkan kelemahan Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat dan percaturan politik mereka yang menguntungkan Israel dan sekutunya.

Sejak penubuhan pertama pada 2017, Persidangan Popular untuk Rakyat Palestin di Luar Negara (PCPA) mengkritik secara terbuka terhadap PA selepas melihat reaksi mereka ketika berhadapan dengan penjajahan Tebing Barat, khususnya di Jenin dan beberapa kawasan lagi yang dianggap ‘sarang’ pengganas.

PA di bawah pimpinan Mahmoud Abbas tidak agresif seperti mana Yasser Arafat. Mereka lebih cenderung untuk memihak kepada Israel dalam mensasarkan kumpulan pejuang berbanding berjuang bersama-sama bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajahan.
Perkara yang sering menjadi persoalan kepada kita pada hari ini, bilakah perang ini akan tamat?

Perang ini tidak akan tamat selagi mana Israel tidak bersetuju dengan gencatan senjata yang diusulkan sebelum ini. Walaupun ada proses perbincangan baharu yang telah bermula pasca kemenangan Donald Trump, tetapi masih belum ada perkara yang muktamad lagi.

Sepanjang perbincangan dilakukan pada Disember 2024, Israel masih meneruskan pembunuhan dan pengeboman terhadap penduduk Gaza. Hospital Kamal Adwan yang merupakan hospital terakhir di utara Gaza juga telah diserang dan dimusnahkan menandakan Israel tidak akan berhenti selagi mana mereka tidak menguasai Gaza sepenuhnya.

Israel cuba membawa naratif palsu bahawa hospital, sekolah dan kem pelarian ada tempat berlindung kumpulan pengganas (merujuk kepada Hamas). Niat mereka ini bukan rahsia kerana Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pernah menulis di platform X dengan menyatakan kedudukan Israel di Gaza cukup jelas untuk memastikan kekalahan Hamas dan Israel akan mempunyai kawalan keselamatan tanpa halangan.

Walaupun gencatan senjata bukanlah penyelesaian tuntas untuk Gaza, namun ia dilihat lebih realistik dalam memberikan sedikit ruang untuk bantuan kemanusiaan yang mendesak terutama kepada kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Peranan undang-undang antarabangsa juga antara perkara penting yang akan dibincangkan pada 2025. Selepas tindakan mengeluarkan waran tangkap kepada Netanyahu dan Gallant dan kesediaan ICC serta ICJ untuk membawa kedua-duanya ke muka pengadilan pada 2024, kita mungkin akan melihat lebih banyak lagi pendekatan yang lebih memihak kepada keamanan di Palestin berbanding tindakan realpolitik atas nama keamanan yang dirasmikan dalam Perjanjian Oslo.

Momentum ini semakin rancak apabila Amnesty International dan Pemerhati Hak Asasi Manusia mengeluarkan laporan situasi Gaza yang semakin meruncing. Ini pastinya akan terus menjadi igauan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan duta-duta negara terlibat untuk memastikan Gaza mendapat pembelaan sewajarnya dari sudut hak asasi manusia yang sering digembar-gemburkan oleh Barat kerana kedua-dua organisasi ini adalah antara organisasi yang dipercayai.

BERHARAP PADA SYRIA
​Krisis di Asia Barat menjadi lebih hangat apabila Bashar Al-Assad berjaya digulingkan. Ini menandakan perubahan geopolitik yang akan memberi kesan kepada Palestin. Umum mengetahui Syria adalah salah satu kunci untuk membebaskan Palestin. Maka, pastinya kuasa-kuasa besar termasuk AS tidak akan berdiam diri untuk mencampuri urusan peralihan kuasa yang sedang berlaku di Syria ketika ini.

Kita mengharapkan agar Syria mampu untuk berdiri semula sebagai sebuah negara berdaulat dan bangkit sebagai salah sebuah kuasa terpenting di Asia Barat untuk memberi tekanan lagi kepada Israel.

Kesimpulannya, 2025 akan menjadi tahun yang lebih mencabar buat Palestin. Walaupun perang masih tidak menemui jalan penghujungnya buat ketika ini, tetapi ‘percikan’ semangat Taufan al-Aqsa memberikan inspirasi kepada gerakan global untuk terus bersolidariti terhadap Palestin.

enariknya, gerakan ini diaktifkan oleh anak-anak muda merentas bangsa dan agama yang akan memberikan impak yang luar biasa kepada advokasi Palestin serta kemanusiaan.-UTUSAN

PENULIS ialah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam), Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN