SIAPA sangka penyudah sebuah cerita yang pada awalnya sekadar gurauan tetapi berakhir ke tali gantung. Kisah ini mencerminkan betapa seriusnya impak buli, yang dimulakan sebagai gurauan atau perbuatan kecil, namun boleh berkembang menjadi tragedi yang meragut nyawa.
Pembuli, yang mungkin bermula dengan niat hanya untuk bercanda atau mendapatkan perhatian, akhirnya mendapati diri mereka terjerumus ke dalam kancah jenayah yang tidak terfikirkan.
Kejadian buli ini sering berlaku di mana sahaja. Bagi mangsa yang kehilangan nyawa akibat buli, persoalan timbul mengenai keadilan yang sewajarnya. Dalam konteks ini, seseorang yang memikul tugas sebagai pegawai warden, merupakan orang terdekat dan penjaga dalam persekitaran asrama, seharusnya lebih bertanggungjawab.
Warden bukan sahaja memikul tugas untuk menjaga disiplin tetapi juga untuk membimbing dan melindungi pelajar. Antara kewajipan utama mereka adalah untuk memastikan semua pelajar berada dalam keadaan selamat. Warden bertanggungjawab untuk memantau aktiviti pelajar di asrama penginapan pelajar.
Mereka perlu peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar dan bertindak sebagai penghubung antara pelajar dan pihak pentadbiran. Kegagalan warden untuk mengenal pasti tanda-tanda awal buli atau bertindak dengan segera boleh menyebabkan tragedi yang tidak diingini.
Kegiatan buli yang berlaku tanpa mengenal peringkat umur ini sememangnya perlu dicegah. Kita perlu memahami bahawa setiap insiden buli adalah manifestasi masalah yang lebih besar dalam masyarakat dan sistem pendidikan.
Peranan warden sebagai murabbi dalam konteks asrama, amat penting dalam mencegah dan menangani buli.
MURABBI
Dalam dunia pendidikan, murabbi sering diertikan sebagai seorang pengajar atau pembimbing.
Menurut perspektif Tokoh Murabbi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2023, Prof. Datin Dr. Rusni Hassan, sebagai murabbi, kita mampu menunaikan amanah dan tanggungjawab sebagai muallim atau pendidik untuk menzahirkan pengetahuan dengan sebaik mungkin dari segi kandungan ilmu atau menyampaikannya dengan cara paling berkesan supaya pelajar dapat memahami serta memperoleh inti pati ilmu dengan baik.
Tugas murabbi sebenarnya luas, bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga memberikan kepimpinan rohani untuk memastikan pelajar dan anak-anak menjadi Muslim yang lebih baik dan mendekatkan diri kepada Allah.
Rutin sebagai murabbi dan guru sentiasa memainkan peranan sebagai pendidik. Pada masa yang sama, kita juga sebagai pendakwah atau dai, dan kita adalah pembentuk untuk khalifah Allah.
TUGAS WARDEN
Di UIAM, warden, yang lebih dikenali sebagai pengetua dan fellow, tidak hanya memegang tanggungjawab sebagai pengawas tetapi juga sebagai pembimbing dan pendidik.
Tanggungjawab warden adalah besar dan melibatkan pelbagai aspek misalnya mendidik atau mentor pelajar agar mereka tidak hanya mencapai kejayaan akademik, tetapi juga berkembang menjadi individu yang baik dari segi rohani dan sosial.
Warden perlu menghindari sikap sambil lewa, acuh tak acuh atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Justeru, mereka harus melakukan khidmat yang menyeluruh dan aktif dalam membimbing pelajar sekali gus kepada insititusi.
Tugas warden sebagai murabbi tidak terhenti sebagai penasihat atau narasumber dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program pelajar, tetapi juga memastikan ia selaras dengan objektif pendidikan dan pembangunan holistik. Warden seharusnya meneliti atau mengambil pendekatan untuk menyiasat setiap aduan, misalnya yang datang daripada rakan sebilik.
Mereka perlu menjadi pemerhati yang peka terhadap perubahan kelakuan pelajar dan meneliti setiap perkembangan, termasuk tindakan mencurigakan. Aduan dari rakan sebilik juga harus diberi perhatian serius sebagai tanda awal masalah yang mungkin merebak menjadi lebih besar.
Warden harus melakukan pemantauan berkala terhadap pelajar, termasuk mengadakan sesi pertemuan individu atau kumpulan untuk memahami lebih mendalam tentang isu-isu yang mungkin timbul.
Dalam proses ini, warden perlu menjadi pendengar yang penuh empati, jauhi sikap pejam mata atau menormalisasikan budaya buli, yang hanya akan memperburuk keadaan. Dengan pendekatan yang proaktif dan perhatian yang teliti, warden dapat mencegah masalah sebelum ia berkembang menjadi isu yang lebih besar.
Selain itu, wakil jawatankuasa pelajar, berfungsi sebagai mata dan telinga warden, merupakan sistem sokongan terbaik untuk membantu menghalang kes buli, terutamanya ketika ketiadaan warden. Kerjasama erat dengan jawatankuasa ini bertindak sebagai saluran untuk menyuarakan isu atau insiden yang mungkin tidak dapat diperhatikan oleh warden secara langsung.
Tambahan, khidmat warden kepada pelajar termasuk tugas untuk mewujudkan suasana harmoni, yang membolehkan mereka berasa selesa untuk bercerita, berkongsi pendapat, dan masalah. Umpamanya, kehadiran warden yang kerap di kawasan asrama dan sekitarnya memastikan pelajar berasa lebih diawasi dan dilindungi.
Kendatipun, terdapat segelintir warden yang menganggap interaksi rapat dengan pelajar sebagai tidak profesional atau meletakkan jarak yang ketara dalam hubungan mereka.
Walaupun penting untuk mengekalkan hubungan rapat, warden perlu berwaspada untuk tidak melampaui batas tatasusila.
Dek kerana isu buli yang tiada kesudahan, peranan warden sebagai murabbi bukan sekadar tanggungjawab, tetapi sebuah amanah yang mesti dilaksanakan dengan sepenuh hati.
Ketidakpedulian dan sikap sambil lewa dalam membanteras kes buli boleh membawa kepada akibat yang tidak terjangka. Jika bukan warden yang perlu didekati dan dipercayai, siapa lagi yang akan mengambil peranan ini? Dengan pendidikan, kita membentuk masa depan, tetapi dengan kealpaan, kita mengundang bencana.-UTUSAN
PENULIS ialah Pengetua dan Fellow Mahallah Hafsah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










