Rafiq  tidak mahu pulang tangan kosong 

Rafiq  tidak mahu pulang tangan kosong 

Muhammad Rafiq Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet boling negara, Muhammad Rafiq Ismail tidak mahu pulang tangan kosong dalam penyertaan keduanya dalam Kejohanan Boling Piala Dunia yang akan berlangsung di Hong Kong pada 5 hingga 14 Januari.

Menurut Rafiq, penyertaan sulungnya dalam edisi pertama kejohanan itu di Australia dua tahun lalu menyaksikan dia gagal meraih sebarang pingat, namun kali ini, dia optimis untuk membawa pulang kejayaan.

“Saya kini berada dalam fasa persiapan akhir untuk Piala Dunia ini. Insya-Allah, Khamis ini saya akan berlepas ke Hong Kong. 

“Kejohanan ini sangat bermakna kerana ia edisi kedua dan saya mahu memperbaiki pencapaian sebelum ini.

“Harapan saya adalah untuk membawa pulang pingat kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenai cabaran 2025, Rafiq memaklumkan terdapat dua kejohanan besar yang perlu diberi perhatian, iaitu Kejohanan Dunia dan Sukan SEA.

“Kedua-dua kejohanan itu penting, namun tarikhnya sangat rapat. Saya sendiri belum pasti akan menyertai yang mana satu. 

“Apa pun, saya akan berbincang dengan pasukan dan jurulatih untuk menentukan pilihan terbaik,” jelasnya.

Rafiq turut bersyukur kerana bebas daripada sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan prestasinya.

“Alhamdulillah, setakat ini saya berada dalam keadaan fizikal yang baik. Fokus utama saya sekarang adalah untuk memberikan aksi terbaik di Hong Kong dan menjadikan pengalaman edisi lalu sebagai pengajaran,” katanya.

Kejohanan Boling Piala Dunia tahun ini dijangka menghimpunkan pemain terbaik dunia, sekali gus menjadi pentas penting buat Rafiq untuk mengukuhkan namanya di peringkat antarabangsa.

Rafiq yang pernah merangkul pingat emas dalam acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) ke-27 di Bangkok mahu membuktikan kemampuan sebenar selepas penampilan pertama yang kurang memberangsangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN