PETALING JAYA: Tan Sri Musa Aman dilantik sebagai Yang di-Pertua (TYT) Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan Surat Cara Pelantikan kepada Musa.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028 bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Pada istiadat sama, bekas Ketua Menteri Sabah itu turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Istiadat tersebut turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelantikan Musa itu diharap dapat membawa nilai positif kepada keseluruhan rakyat di Negeri di Bawah Bayu itu.
“Semoga pelantikan ini membawa lebih banyak kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Negeri Sabah dan melimpah ruah ke seluruh negara jua. Saya mendoakan agar Tun sentiasa diberikan petunjuk, hidayah serta kekuatan dalam menjalankan amanah yang diberikan dengan cemerlang.
“Selamat maju jaya dalam menerajui kepimpinan negeri Sabah dan semoga Allah SWT sentiasa merahmati perjalanan Tun hendaknya. Insya-Allah,” katanya melalui hantaran dalam media sosial, semalam.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri
Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd. Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. – UTUSAN










