Berbanggalah menjadi penjawat awam

Berbanggalah menjadi penjawat awam

PENJAWAT awam perlu menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira jawatan dan gred.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP individu yang dilantik sebagai penjawat awam di negara ini baik di peringkat persekutuan mahupun negeri wajar bersyukur serta berbangga dengan kedudukan dan jawatan yang dimiliki.

Walau apapun skim perkhidmatan serta gred jawatan, masing-masing mempunyai asas dan alasan yang kukuh untuk berasa bangga.

Pertama, penjawat awam perlu sedar kita diiktiraf sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan baik di persekutuan mahupun negeri. Hakikatnya walaupun kerajaan dan kepimpinan bertukar ganti namun penjawat awam terus diberikan peranan, mandat dan diletakkan tahap kepercayaan yang tinggi oleh pihak kerajaan.

Penjawat awam diberi tanggungjawab besar untuk melaksanakan segala dasar dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan untuk membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat. Jelas sekali pihak kerajaan meletakkan harapan serta kepercayaan yang besar terhadap kemampuan dan sumbangan signifikan setiap penjawat awam.

Kedua, penjawat awam diberi peranan untuk bertindak sebagai tonggak pembangunan negara. Ironinya peranan penjawat awam demi membangunkan negara dalam pelbagai aspek tidak pernah dipersoalkan sebaliknya terus diberikan pelbagai pengiktirafan oleh pihak kerajaan.

Misalnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sering kali di pelbagai majlis secara terbuka memuji dan mengiktiraf sumbangan, peranan selain kecekapan penjawat awam dalam membantu kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara.

Ini membuktikan kerajaan mengangkat kedudukan dan martabat penjawat awam sebagai kelompok individu yang cukup penting dan berfungsi sebagai tonggak kemajuan negara.

Ketiga, penjawat awam diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Hal ini cukup signifikan kerana tidak semua kelompok pekerja mendapat ruang dan peluang untuk memberikan perkhidmatan atau diberi kuasa menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat secara langsung seperti penjawat awam.

Ironinya, walau apapun jawatan dan gred, setiap penjawat awam diberi tanggungjawab untuk menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Secara prinsipnya, golongan ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap kehidupan rakyat baik dari segi pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebajikan dan sosial.

Keempat, rakyat sentiasa meletakkan penjawat awam di satu kedudukan yang cukup tinggi. Jujurnya, rakyat di pelbagai peringkat sentiasa memandang tinggi pegawai kerajaan dan memberikan penghormatan yang sewajarnya sekali gus membuktikan kedudukan tinggi penjawat awam dalam hierarki sosial anggota masyarakat.

Misalnya, anggota pasukan keselamatan seperti polis, bomba dan tentera sentiasa dilihat sebagai kelompok penjawat awam yang hebat dan merupakan pihak yang melindungi keselamatan rakyat dan negara.

Kelima, kedudukan jawatan penjawat awam terjamin sehingga bersara kecuali yang mempunyai masalah tatatertib. Walaupun negara berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti keadaan ekonomi tidak menentu, kedudukan kewangan meruncing, malah diancam pandemik menyebabkan ramai kehilangan kerja dan punca pendapatan namun penjawat awam terus dibayar gaji serta segala kemudahan diterima seperti biasa. Tiada seorang pun yang diberhentikan kerana masalah ekonomi atau pandemik.

Ini ditambah pula dengan pelbagai manfaat lain yang dinikmati seperti pencen, perubatan kepada diri serta keluarga termasuk selepas bersara, pinjaman perumahan dan sebagainya. Malah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan dengan tawaran gaji dan laluan kerjaya yang lebih menarik adalah satu lagi manifestasi terkini pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan penjawat awam.

Jadi, tiada sebab untuk mereka tidak berasa bangga berkhidmat dengan kerajaan atau membawa imej pegawai kerajaan.

PERKHIDMATAN TERBAIK
Justeru sudah tiba masanya untuk seluruh warga perkhidmatan awam bangkit membuktikan mereka bangga dengan jawatan disandang dan ini boleh dibuat dengan pelbagai cara. Antaranya memberikan perkhidmatan yang terbaik, cekap serta efisien kepada rakyat dan negara.

Secara umumnya kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan dan terus menjaga kebajikan penjawat awam hanya mengharapkan satu sahaja sebagai balasan iaitu memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Ini boleh dibuat dengan cara sentiasa berusaha meningkatkan kualiti serta mutu perkhidmatan, proaktif melaksanakan penambahbaikan, bersedia melakukan perubahan yang positif, menzahirkan sifat empati kepada semua pemegang taruh dan sedar tanggungjawab yang diletakkan di bahu masing-masing. Dalam erti kata lain, buanglah jauh-jauh budaya culas, malas serta tidak bersyukur yang masih menghantui segelintir penjawat awam seolah terus menjadi duri dalam daging sehingga merosakkan imej dan reputasi perkhidmatan awam.

Selain itu, penjawat awam juga boleh membuktikan rasa bangga dengan cara menjaga integriti dan amanah yakni tidak sama sekali terlibat dalam gejala tidak sihat seperti rasuah, ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan. Cukuplah segala kes yang didedahkan selama ini. Marilah kita noktahkan masalah rasuah yang menghancurkan harapan rakyat dan negara. Usah benarkan jenayah kolar putih ini merosakkan anatomi perkhidmatan awam sehingga mengakibatkan rakyat dan negara menanggung beban berat.

Dalam konteks ini, setiap penjawat awam perlu sahut saranan kerajaan agar tangkas memperbaiki tadbir urus dan tatakelola di semua peringkat pentadbiran supaya dapat memberikan perkhidmatan yang telus kepada rakyat di samping menjaga wang negara berpaksikan budaya kerja yang mendukung nilai, prinsip dan amanah. Jangan sesekali terjerat dalam perangkap rasuah sehingga menjadi pengkhianat negara.

Berkhidmat dengan penuh taat setia kepada rakyat, negara dan kerajaan yang memerintah juga satu lagi cara menzahirkan rasa bangga menjadi penjawat awam. Dalam konteks ini hayatilah saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mengajak seluruh penjawat awam mendukung prinsip kesetiaan dan taat kepada negara, selaras dengan konsep kerajaan hari ini. Penjawat awam diminta berpegang pada prinsip-prinsip keadilan sosial, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran bersama.

Ironinya, rakyat dan negara meletakkan harapan yang besar terhadap penjawat awam, justeru jangan sesekali mengkhianati harapan tersebut dalam apa jua keadaan sekalipun. Gunakan jawatan dan pangkat yang diberikan dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas dan berbanggalah menjadi penjawat awam yang diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN