Bahasa kebangsaan tetap merupakan identiti negara

Bahasa kebangsaan tetap merupakan identiti negara

ANTARA papan tanda memaparkan bahasa Cina telah diturunkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BAHASA Melayu atau bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Sewajarnyalah penggunaan bahasa Melayu diutamakan dalam setiap urusan dan juga setiap paparan yang berkaitan dengan maklumat negara ini.
Sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu.
Penamaan papan tanda di negara ini merupakan urusan rasmi yang terletak di bawah kelolaan kerajaan tempatan. Maka, demi menjaga identiti dan jati diri negara Malaysia, sewajarnyalah penulisan papan tanda mengutamakan bahasa Melayu.
Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu bersama bahasa lain yang sesuai seperti bahasa Inggeris bagi tujuan rujukan bukan penutur bahasa Melayu tidak dilarang. Bahkan penggunaan dwibahasa, bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris penting bagi memudahkan penutur asing yang tidak tahu berbahasa Melayu memahami maklumat yang diberikan.
Penulisan papan tanda, nama jalan dan perkara-perkara yang sama perlulah mengutamakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Singapura misalnya, menggunakan dua bahasa, bahkan ada keadaan papan tanda ditulis dalam tiga atau empat bahasa mengikut kesesuaian kawasan yang menjadi perkara utama.
Penulisan papan tanda di Singapura mengutamakan bahasa Inggeris beserta bahasa Melayu dan ada yang memasukkan bahasa Cina dan Tamil bergantung kepada lokasi. Bagi lokasi biasa, papan tanda ditulis menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi dan bahasa rasmi, manakala bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris merupakan bahasa kebangsaan Singapura.
Beralih ke negara Perancis, Undang-undang Toubon diperkenalkan pada 1992 ke dalam Perlembagaan. Bahasa Republik adalah bahasa Perancis (Artikel 2). Sehubungan dengan itu, undang-undang ini diguna pakai untuk memastikan hak warganegara Perancis dipelihara dalam sebarang urusan berkaitan dengan kertas urusan rasmi, yang berkaitan dengan kontrak bekerja dan yang berkaitan dengan persembahan produk kepada pengguna, panduan, arahan serta peringatan produk, menyuarakan pendapat dan apa-apa maklumat yang diterima adalah dalam bahasa Perancis.
Perintah pelaksanaannya pada 3 Julai 1996 menempatkan mekanisme untuk memperkaya dan memperkasakan lagi Bahasa Perancis. Arahan ini mewajibkan penggunaan bahasa Perancis dalam perkhidmatan dan institusi awam di seluruh negara (perintah perkara 11 dan 12), seperti mana dijelaskan seperti berikut:
Artikel 11 – Penggunaan perbendaharaan kata serta kenyataan yang diterbitkan dalam Jurnal Rasmi diwajibkan selagi terdapatnya kosa kata dan kenyataan yang sama maksudnya dalam bahasa asing. Di dalam perintah, pekeliling, arahan serta panduan kementerian, wakil kerajaan atau dokumen, yang apa jua keadaan, yang bersumberkan perkhidmatan awam dan perbadanan negara. Dalam kes-kes yang terkandung dalam Perkara 5 dan 14 seperti dipetik dalam undang-undang 4 Ogos 1994 berkaitan  penggunaan bahasa Perancis. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan memantau penggunaan istilah dalam perkara dan ungkapan yang diterbitkan.
Artikel 12 – Senarai perbendaharaan kata dan kenyataan yang disahkan di bawah undang-undang pemerkasaan bahasa Perancis yang dilaksanakan sebelum ini diterapkan ke dalam senarai yang diterbitkan di bawah Arahan Majlis. Arahan ini boleh diubah selari dengan prosedur yang ditetapkan di dalam Perintah Perkara 7 hingga 10.
TIDAK WUJUD PERSEPSI NEGATIF
Berbalik kepada isu penguatkuasaan peraturan terhadap papan tanda di sekitar Kuala Lumpur oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa tindakan DBKL menguatkuasakan peraturan papan tanda dwibahasa itu mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Kenyataan ini tidak mematuhi perkara yang termaktub dalam Perlembagaan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia. DBKL bukanlah menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu semata-mata, sebaliknya menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di samping bahasa lain yang mungkin dapat membantu penutur atau pelancong asing memahami makna papan tanda yang ada.
Kenyataan persepsi negatif pelancong terhadap papan tanda yang menggunakan bahasa Melayu ini agak keterlaluan bagi seorang rakyat Malaysia. Beliau seharusnya bekerjasama dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di samping menghormati bahasa-bahasa dunia yang lain. Perlu juga dilihat pelancong yang manakah akan melihat penggunaan bahasa Melayu di samping bahasa Inggeris atau Mandarin sebagai satu perkara yang negatif.
Adakah ketika kita melancong ke Jepun, Korea, China atau negara Barat seperti Perancis, Sepanyol, dan lain-lain lagi kita akan melihat penggunaan bahasa kebangsaan mereka sebagai satu perkara negatif? Dalam soal ini jati diri dan penghayatan kepada Rukun Negara adalah tonggak kepada jiwa bangsa, lebih-lebih lagi apabila kita ingin mengukuhkan dan mendirikan negara bangsa Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.
Demi perpaduan negara dan rakyat yang pelbagai kaum inilah penguatkuasaan terhadap mengutamakan bahasa kebangsaan amat penting dan wajar dilaksanakan.-UTUSAN
DR. Salinah Jaafar ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN