Sertai Amanah kerana Pas mahu ‘bunuh’ kerjaya politik saya

Sertai Amanah kerana Pas mahu ‘bunuh’ kerjaya politik saya

NAJIB Lep bertemu orang ramai semasa berkempen di kawasan DUN Bukit Pasir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Dahulunya beliau bertanding di bawah tiket Pas hingga meraih majoriti 1,883 pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Namun selepas itu disingkirkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir hingga memilih bertanding sebagai calon Bebas.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, ARIF AIMAN ASROL bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Pasir, NAJIB LEP mengenai sejarahnya bersama Pas, mengapa menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) dan iltizamnya untuk masyarakat.

UTUSAN: Boleh tuan kenalkan diri terlebih dahulu?

NAJIB: Saya merupakan pesara tentera dan nama saya adalah Kapten (B) Haji Najieb Lep, berumur 63 tahun dan mempunyai tujuh orang anak, saya juga penerima Pingat Jasa Malaysia pada 2025.

Saya diamanahkan oleh PH untuk bertanding di DUN Bukit Pasir. Jadi ini kali ketiga saya bertanding, kali pertama di bawah Pas pada 2018 dan kemudian sebagai calon bebas.

Dahulu bertanding di bawah tiket Pas, kenapa sekarang dengan Amanah dan PH?

Secara jujurnya, dahulu memang saya bertanding di bawah tiket Pas tetapi apabila habisnya penggal, parti itu menyingkirkan saya daripada bertanding sekali lagi di DUN Bukit Pasir atas sebab-sebab yang bagi saya amat tidak wajar.

Pas menolak saya dengan begitu kaedahnya dan saya rasa mereka cuba untuk membunuh kerjaya politik saya.

Saya bukan keluar daripada Pas tetapi dipecat kerana menegakkan perkara-perkara yang benar, jadi banyak perkara di dalam Pas yang sehingga hari ini saya tidak ceritakan lagi tetapi saya mengalaminya.

Jadi pada waktu itu bertanding sebagai calon Bebas kerana protes pada kepimpinan Pas?

Saya bertanding sebagai calon Bebas pada 2022 kerana kehendak rakyat itu sendiri, tetapi apabila jadi calon Bebas memang saya tidak boleh pergi jauh kerana tiada jentera yang ramai di belakang saya.

Bagaimanapun, oleh sebab rakyat mahu saya bertanding maka pada ketika itu mereka yang cipta pusat operasi pilihan raya di Pusat Daerah Mengundi (PDM), waktu itu saya dapat 1,860 undi.

Ini merupakan satu bukti kepada pimpinan Pas bahawa rakyat mahu saya bertanding tetapi mereka menidakkan.

Macam mana perjalanan kempen tuan setakat ini? Adakah ia berjalan dengan lancar?

Alhamdulilah berjalan dengan lancar, saya jalankan kempen secara bersemuka di sini, berjumpa dengan penduduk Bukit Pasir, media juga membantu saya untuk menyampaikan maklumat berkenaan saya kepada lebih kurang 34,000 pengundi.

Jadi sepanjang kempen saya akan memberi penerangan kepada semua pengundi, menjelaskan mengenai kempen atau iltizam saya sekiranya diberikan mandat selepas 11 Julai ini.

Apakah yang ingin tuan perjuangkan untuk penduduk Bukit Pasir?

Di Bukit Pasir ini, terdapat satu bandar yang bernama Universiti Pagoh, pembangunan di sana tidak seperti dirangka sebelum ini, ia agak lambat dan membimbangkan.

Di situ ada masjid dan kapasitinya boleh memuatkan lebih kurang 3,000 orang tetapi apabila pembangunan yang lembab dan tiada usaha untuk mempergiatkan pembangunan di sekitarnya seperti bank dan fasiliti-fasiliti untuk kegunaan komuniti.

Pada masa sama, ada tapak-tapak yang contohnya klinik kesihatan, sepatutnya didirikan hospital tetapi sekarang terbiar begitu sahaja, jadi perkara ini memberi impak yang besar. Walaupun namanya bandar universiti tetapi tidak mempunyai rupa bandar.

Saya juga mahu menekankan tentang kebajikan rakyat di sini, antaranya mengenai rumah-rumah mereka yang memerlukan penambahbaikan, ada keperluan-keperluan seperti Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dan pelbagai lagi dibangunkan di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN