Thai dakwa BRN dalang letupan bom cederakan rakyat Malaysia

Thailand dakwa BRN ‘dalang’ letupan bom cederakan 2 rakyat Malaysia

ABDULLAH Syarapi Abd. Rahman (kanan) menerima kunjungan dari wakil kerajaan Thailand semasa menerima rawatan di hospital negara itu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Pi­hak berkuasa Thailand mendakwa pengeboman yang mencederakan dua rakyat Malaysia dalam insiden letupan bom di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, di sini kelmarin dilakukan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).

Komander Pasukan Petugas Khas Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Yodawut Phungpha berkata, siasatan menunjukkan tingkah laku dan tatacara perbuatan itu menyamai tindakan BRN di tiga wilayah Selatan Thai sebelum ini.

Katanya, walaupun serangan bom buatan sendiri (IED) di Tak Bai semalam menyasarkan kenderaan pasukan keselamatan, secara keseluruhannya ancaman kumpulan pemisah itu sekarang ini tidak lagi memilih sasaran.

“Kami percaya perbuatan itu adalah kerja kumpulan BRN yang tidak menyasarkan mana-mana individu tertentu. Mereka tidak peduli, mereka hanya mahu mengganggu kestabilan Thailand.

“Saya tidak tahu mengapa, mungkin politik, ideologi atau apa sahaja tetapi mereka mahu menjadikan wilayah Selatan Thailand tidak stabil. Serangan itu telah menjejaskan imej negara, keyakinan ekonomi dan pelancongan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand percaya kenderaan Malaysia yang terlibat dalam insiden pengeboman kelmarin bukan sasaran sebenar serangan.

Sebaliknya, serangan menggunakan IED seberat kira-kira 70 kilogram itu menyasarkan pikap dinaiki anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan (VDC) yang dalam perjalanan pulang daripada satu misi di Yala ke Tak Bai.

Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, siasatan awal mendapati, semasa menghampiri Ban Phai Wan, Mukim Phai Wan di Daerah Tak Bai, pikap VDC bergerak di lorong kanan sementara kenderaan pelbagai guna (SUV) Malaysia dinaiki dua individu mengekori rapat di lorong kiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN