Pasport baharu Malaysia miliki 94 ciri keselamatan

Pasport baharu Malaysia miliki 94 ciri keselamatan

ANWAR IBRAHIM merasmikan pasport Malaysia Antarabangsa baharu sambil disaksikan Zakaria Shaaban (kanan) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia Antarbangsa (PMA) versi baharu dikeluarkan hari ini memiliki 94 ciri keselamatan berbanding 49 sebelum ini bagi meningkatkan perlin­dungan terhadap pemalsuan, pengu­bahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.

Ia sekali gus mampu membanteras daripada sebarang kegiatan pemalsuan dan pe­nyalahgunaan dokumen perjalanan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigre­sen), Datuk Zakaria Shaaban berkata, penambahbaikan itu merupakan transformasi terbesar terhadap pasport Malaysia bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang semakin ketat.

Katanya, PMA baharu itu akan mula dikeluarkan secara berfasa di 14 pejabat pengeluar pasport di setiap negeri sebelum diperluaskan ke semua 71 pejabat pasport di seluruh negara menjelang Ogos ini.

“Dari segi keselamatan, kita tambah baik ciri-ciri ke­selamatan. Kalau sebelum ini terdapat 49 ciri keselamatan, kali ini kita tingkatkan kepada 94 ciri yang menjadikan pasport ini lebih selamat dan sukar dipalsukan.

“Mengikut purata, seba­nyak 180,000 hingga 220,000 pasport dikeluarkan setiap bulan dan kita menjangkakan permintaan akan meningkat,” katanya selepas Majlis Peluncuran PMA di reruai Imigresen di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Orang ramai dinasihat tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen itu masih sah digunakan.

“Tidak perlu tergesa-gesa menukar kepada pasport baharu. Buat pembaharuan apabila tempoh sah laku tamat atau apabila benar-benar diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan PMA terbaharu itu turut dilengkapi teknologi keselamatan tinggi termasuk hologram dan cetakan ultra­ungu (UV) yang merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik.

Teknologi berkenaan direka bentuk bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan pasport selain mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan ia terus diiktiraf sebagai dokumen perjalanan selamat dan dipercayai di peringkat antarabangsa.

“PMA baharu turut me­ngetengahkan identiti nasio­nal menerusi elemen sejarah, warisan budaya dan simbolik sistem Raja Berperlembagaan selain memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai identiti baharu pasport Malaysia menggantikan bunga raya sebagai ikon utama untuk PMA sedia ada.

Ada pilihan tempoh sah laku lima atau 10 tahun kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang ditawarkan pada harga RM200 dan RM350. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN