Wujudkan rangka undang-undang kawal kutipan dana oleh NGO

Wujudkan rangka undang-undang kawal kutipan dana oleh NGO

LAPORAN Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelompongan undang-undang sedia ada bagi mengawal selia pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadikan media sosial sebagai kaedah mengutip derma orang ramai menyebabkan wujud ruang penyalahgunaan yang perlu ditangani melalui reformasi undang-undang.

Walaupun terdapat pelbagai undang-undang sedia ada yang memantau operasi NGO seper­ti Akta Pertubuhan 1966 serta undang-undang jenayah dan kewangan seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram namun Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus mengawal NGO daripada membuat kutipan dana awam melalui platform digital dan media sosial .

Ia termasuklah dalam aspek pelesenan, pelaporan penggunaan dana dan pendedahan kepada penderma.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tidak semua NGO diwajibkan mendapatkan kelulusan khas sebelum me­lancarkan kempen kutipan, bergantung kepada status pendaftaran, tujuan dan syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, undang-undang sedia ada membolehkan tindakan diambil sekiranya terdapat unsur pecah amanah, penipuan, rasuah, pengubahan wang ha­ram atau salah guna kuasa.

“Bagaimanapun, MCW berpandangan bahawa Malaysia memerlukan satu rangka kerja undang-undang khusus bagi organisasi bukan berorientasikan keuntungan (NPO) untuk mengawal aspek seperti kutipan dana awam secara fizikal dan digital dan pelaporan kewangan yang seragam.

“Selain itu, perlu juga dite­rapkan standard tadbir urus minimum, audit dan pendedahan awam serta tindakan pentadbiran lebih cepat terhadap NGO yang gagal mematuhi piawaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­la­porkan sesetengah NGO menjadikan media sosial sebagai ‘lubuk’ untuk mereka mengutip derma daripada orang ramai.

Ketiadaan undang-undang khusus mengawal selia pertubuhan itu juga memburukkan lagi keadaan dan menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa.

Bagi memperkukuhkan lagi pemantauan terhadap isu ini, Jais berkata, pihaknya mencadangkan supaya diwujudkan sebuah Suruhanjaya Amal Malaysia dengan menjadikan Charity Commission di United Kingdom (UK) sebagai model bagi menyelia organisasi kebajikan secara profesional dan bebas.

Beliau berkata, pada masa kini, mekanisme pemantauan di Malaysia masih bersifat berpecah mengikut bidang kuasa pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Pemantauan proaktif masih boleh dipertingkatkan melalui kewajipan audit tahunan bagi NGO yang menerima kutipan awam melebihi jumlah tertentu, pendedahan laporan kutipan dan perbelanjaan secara berkala kepada orang ramai.

“Perlu juga dilaksanakan sistem pelaporan digital yang boleh diakses penderma, pengurusan tadbir urus yang memisahkan fungsi kelulusan, pembayaran dan audit dalaman.

“Langkah ini akan meningkatkan akauntabiliti serta mengurangkan risiko penyelewe­ngan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN