Selangor FC janji aksi lebih garang

Selangor FC janji aksi lebih garang

Katsuhito Kinoshi (tiga dari kanan) memberi arahan kepada anak-anak buahnya dalam sesi latihan pertama di bawah kendaliannya di Shah Alam, kelmarin. - SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menjanjikan perubahan positif dalam skuad Red Giants dalam baki saingan musim ini.

Bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan Serbia itu berkata, beliau akan menerapkan pendekatan menyerang secara agresif bersama Selangor selain tidak mahu pemain mudah menyerah kalah.

“Corak permainan saya adalah agresif, kami ingin tunjukkan mentaliti pemain agar tidak mudah mengalah sehingga detik terakhir (permainan),” kata jurulatih berusia 60 tahun itu.

Kinoshi akan memulakan tugasan pertamanya sebagai jurulatih Selangor dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) berdepan Muangthong United di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid berkata, pemilihan Kinoshi amat tepat bagi mengembalikan semua era kegemilangan Red Giants.

“Rata-rata penyokong teruja dengan kehadiran Kinoshi kerana latar belakangnya cukup hebat dan mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa. Saya berharap segala yang dia miliki dapat dicurahkan kepada pemain.

“Biarpun jurulatih ada reputasi tinggi, saya mahu ingatkan kepada penyokong Selangor bahawa kita perlu memberikan masa kepada dia untuk menilai pasukan dalam satu atau dua perlawanan dan tidak mengharapkan kejayaan segera,” katanya.

Ditanya tentang perubahan yang penyokong Selangor mahukan dibawah kendalian Kinoshi, Faizal berkata, aspek penyudah didepan gawang perlu dimantapkan jurulatih dari Jepun itu kerana ia merupakan kelemahan ketara pasukan.

“Semasa era Nidzam Jamil (bekas jurulatih Selangor FC), permainan kita sudah cantik dan jentera tengah juga berfungsi, namun penyudah kita tumpul yang menyebabkan kita seri atau kalah pada saat-saat akhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN