Piala Malaysia: KL Rovers nafi enggan lawan JDT 

Piala Malaysia: KL Rovers nafi enggan lawan JDT 

Jadual Piala Malaysia 2024-2025. - IHSAN MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia antara Kuala Lumpur (KL) Rovers menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal berlangsung seperti dijadualkan, esok.

Terdahulu, timbul khabar angin yang mengatakan bahawa KL Rovers mahu menarik diri pada aksi berdepan juara 10 kali berturut-turut Liga Super kerana isu tunggakan gaji.

Bagaimanapun, sumber daripada kelab Liga A1 itu, menegaskan bahawa perkara berkenaan tidak betul dan aksi tersebut akan dilangsungkan seperti yang dijadualkan, namun venue perlawanan bertukar ke Stadium Sultan Ibrahim.

Sumber itu memaklumkan bahawa pihak pengurusan telah mengadakan pertemuan dengan pemain KL Rovers, kelmarin dan isu menarik diri langsung tidak dibangkitkan. 

“Itu semua (laporan KL Rovers tarik diri) tidak betul. Semalam (kelmarin), sebelum perlawanan kami jumpa pemain, bagi semangat kepada mereka, itu yang menang sampai 10-1 (menentang Machan FC).

“KL Rovers juga akan teruskan persaingan dalam Liga A1 hingga habis musim dan jika tiada masalah, pasukan ini sebenarnya boleh jadi juara,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih KL Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail berkata beliau tidak mengetahui daripada mana datang spekulasi bahawa pemain mahu menarik diri.

Jelasnya, setakat ini senarai 22 pemain yang akan bertolak ke Johor, hari ini sudah diserahkan kepada pihak pengurusan dan tiada mana-mana pemain memaklumkan tidak mahu bermain.

“Kalau ada yang nak tarik diri mesti saya sudah tukar dengan pemain lain. Saya siap bagitahu kapten pasukan lagi, siapa yang tak nak pergi maklumkan awal-awal kerana kita pun faham pemain dalam kesempitan.

“Saya sebagai jurulatih sentiasa ada di padang. Setakat ini (gaji) masih ada sangkut empat hingga lima bulan dan pengurusan pun ada juga bagi advance (pendahuluan), tapi bukan gaji penuh.

“Keseluruhan pemain tunjuk komitmen sampai kita layak ke Piala Malaysia, walaupun dalam keadaan begini dan contoh terbaru kelmarin, kami menang 10-1. Maknanya pemain bermain habis-habisan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pemain KL Rovers yang enggan namanya dikenali mengakui ada menerima duit daripada pengurusan namun bukan sebanyak gaji bulanan yang sepatutnya diterima.

“Ada terima duit sebanyak RM800 tapi bukanlah gaji sebulan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN