PETALING JAYA: Barisan pengadil yang mengadili saingan Liga Malaysia (Liga M) perlu mempunyai keberanian dan meletakkan prinsip keadilan serta amanah sebagai teras utama ketika menjalankan tugas.
Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, perkara itu perlu diberikan keutamaan kerana apa yang diputuskan pengadil dalam setiap perlawanan akan menjadi contoh.
“Macam pemerhati sukan cakap sebelum ini, mereka (pengadil) harus ada tanggungjawab, adil dan amanah. Perlu ingat apa yang dilakukan kena jadi contoh kepada orang lain, pengadil tidak boleh lepas tangan.
“Kena sentiasa ada keberanian dalam apa jua keputusan, saya yakin tenaga pengajar di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah berikan perkara yang sama bahawa kena adil dalam setiap tugas diamanahkan.
“Pengadil tidak perlu takut dalam membuat keputusan dan (pihak bertangungjawab) juga kena tahu kepada pengadil takut, adakah mereka tiada perlindungan apabila membuat keputusan ‘berat’, kalau benar-benar salah?
“Dalam masa yang sama, pengadil kena ada sikap terbuka, jika melakukan kesilapan mengaku dan perbaiki semula kerana pengadil dinilai banyak pihak, selain menjadi medan orang ramai dan pemain belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Subkhiddin berkata demikian bagi mengulas mengenai kontroversi yang dilakukan pengadil ketika aksi Johor Darul Tak’zim (JDT) menentang Perak FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Ahad lalu.
Dalam perlawanan itu, tiada layangan kad merah diberikan kepada pemain JDT, Arif Aiman Hanapi selepas dilihat menumbuk pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong.
Sementara itu, Subkhiddin berkata, bukan pengadil sahaja yang sepatutnya dipersalahkan kerana pemain juga perlu ada tanggungjawab untuk menjadi contoh dan teladan kepada semua lapisan masyarakat.
“Terutamanya apabila bermain di Liga Super, mereka (pemain) jadi ikutan kepada kanak-kanak dan pemain level bawahan. Kita tidak mahu mereka ini ikut perkara yang buruk. Dalam konteks ini, pemain juga kena berubah.
“Pemilik kelab juga kena bertangungjawab kepada anak-anak buah kerana mereka ada kuasa untuk memberikan amaran kepada pemain agar tidak tunjuk perkara bukan yang melambangkan budaya Malaysia,” katanya. – UTUSAN










