KELMARIN, sewaktu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan, beliau dicelah Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) yang meminta menjelaskan mengapa kementerian mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memberikan tender projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1B yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dari Telupid ke Kampung Lumou Baru (WP32) kepada syarikat yang tidak diluluskan penilaian tender.
Mengikut Takiyuddin, persoalan ini penting dijawab oleh Amir Hamzah kerana sewaktu Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) membangkitkannya kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada 7 November lalu, Alexander berkata pemberian tender ini adalah berada di bawah bidang kuasa dan perlu ditanyakan kepada Kementerian Kewangan.
Bung Moktar sebelum itu mendakwa JKR Sabah dipaksa oleh Kementerian Kewangan untuk mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat yang tidak layak. Tindakan ini dikatakan pelanggaran tatakelola yang besar dan memalukan.
Amir Hamzah bagaimanapun menyatakan beliau mungkin tidak ada data yang terperinci mengenai tender tersebut.
Jawapan ini mendorong Bung Moktar sekali lagi memberikan perincian pemberian tender tersebut dengan mendakwa syarikat itu tidak pernah dinilai, terkeluar daripada jalur harga 17.65 peratus.
Beliau juga meminta Kementerian Kewangan benar-benar telus dalam tatakelola ini.
“Pilihlah syarikat yang disyorkan oleh KKR Malaysia (Kementerian Kerja Raya), dan jangan bagi kepada syarikat yang tidak layak langsung.
“Kementerian Kewangan memberi kontrak kepada sebuah syarikat yang tidak pernah dinilai, jadi mana tatakelolanya? Sedangkan kita berbicara soal tatakelola.
“Apabila syarikat itu terkeluar daripada jalur harga 17.65 peratus, ini bermakna syarikat berkenaan pasti menyebabkan kerja-kerja Pan Borneo tergendala.
“Mengapa tidak memilih antara lapan syarikat itu yang layak dan telah dinilai serta disyorkan KKR? Jangan bagi kepada syarikat yang tidak layak langsung,” ujarnya.
Amir Hamzah seterusnya berjanji, “Kita akan lihat, kerana saya tiada butiran terperinci. Saya lebih cenderung untuk melihat ia dengan lebih terperinci lagi. Saya tidak mahu memberi maklumat yang salah kepada Dewan”.
Marilah kita tunggu Amir Hamzah mengotakan janjinya dalam sehari dua ini.
Hal ini penting kerana pelanggaran tatakelola kewangan, yang mana syarikat ini dikatakan tidak memenuhi beberapa kriteria penting seperti ketepatan harga yang melampaui had ditetapkan dan kekurangan dalam aspek-aspek dokumentasi asas.
Jika benar, ia bercanggah dengan prinsip Malaysia Madani.
Tindakan memberi kontrak kepada syarikat yang gagal dalam penilaian tender bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti Kementerian Kewangan, tetapi juga mencemarkan reputasi pentadbiran yang berteraskan kepada prinsip-prinsip Malaysia Madani.
Jika pelanggaran tatakelola dalam pemilihan kontraktor tidak dibendung, negara akan menghadapi pelbagai impak negatif yang boleh menjejaskan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Pertama, ia meningkatkan risiko penyelewengan dana awam yang disalurkan kepada syarikat-syarikat yang tidak layak.
Dana yang sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan berisiko terbuang kerana projek mungkin tidak dilaksanakan dengan baik akibat kekurangan pengalaman dan kecekapan kontraktor yang dilantik.
Kedua, ia menjejaskan kepercayaan pelabur terhadap ketelusan sistem tender kerajaan.
Pelabur luar mungkin melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang kurang integriti dalam amalan pentadbiran, sekali gus merendahkan daya saing negara dalam menarik pelaburan asing.
Dalam jangka masa panjang, ini akan menjejaskan pembangunan ekonomi Malaysia.
Ketiga, pelanggaran tatakelola seperti ini menyukarkan masyarakat untuk mempercayai komitmen kerajaan terhadap dasar dan prinsip yang mereka sendiri perkenalkan.
Apabila rakyat melihat kerajaan sendiri melanggar prinsip integriti, maka segala usaha untuk memupuk budaya ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor awam menjadi sia-sia.
LANGKAH PEMBETULAN
Untuk membendung dan memperbetulkan situasi ini, beberapa langkah perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan pematuhan terhadap tatakelola yang ketat dalam pemilihan kontraktor.
Langkah pertama pastilah untuk tidak mengeluarkan Surat Tunjuk Terima (SST) kepada syarikat yang tidak layak atau tarik segera jika ia telah diberikan kepada syarikat yang tidak layak dan diberikan kepada syarikat yang layak.
Untuk masa hadapan pula, kerajaan perlu mengukuhkan prosedur sedia ada dengan menetapkan pemantauan ketat dan audit dalam proses pemilihan kontraktor untuk mengelakkan pelanggaran seperti ini berulang.
Pemantauan yang telus perlu dijalankan oleh pihak bebas bagi memastikan setiap proses penilaian dipatuhi dengan adil.
Badan bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilibatkan dalam pemantauan dan pengesahan proses tender, khususnya bagi projek-projek besar yang melibatkan dana awam yang tinggi.
Ini penting untuk memastikan tiada manipulasi atau penyalahgunaan kuasa dalam proses tender.
Polisi tatakelola juga perlu dikaji semula dan diperkukuh, khususnya dalam melibatkan kontraktor yang mempunyai prestasi yang tidak memuaskan.
Setiap kontraktor yang dipilih harus lulus semua kriteria yang ditetapkan tanpa pengecualian agar kepercayaan terhadap proses tersebut dapat dipulihkan.
Seterusnya, semua laporan tender dan pemilihan kontraktor perlu didedahkan kepada umum bagi memastikan ketelusan.
Ini membolehkan rakyat dan pihak berkepentingan menilai sendiri proses tersebut dan memberikan maklum balas yang konstruktif.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Yayasan Strategik Lestari (YSL).










