PETALING JAYA: Tugas berat menanti pengendali baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi apabila aksi berdepan Muangthong United menjadi tugasan pertamanya bersama Red Giants.
Selangor akan berdepan wakil Thailand itu pada Khamis dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dengan mereka turun dengan misi ‘wajib’ menang untuk meneruskan impian di pentas Asia.
Sekiranya meraih kemenangan dalam aksi tersebut, Selangor berpeluang untuk melepasi ujian Kumpulan H yang turut dianggotai oleh Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan) dan Cebu FC (Filipina).
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, selepas sekian lama tidak beraksi di pentas Asia, pemain harus memanfaatkan setiap peluang khususnya apabila beraksi di laman sendiri.
“ACL2 pun (masih) baharu untuk kita, jadi kita letak sasaran untuk layak ke peringkat seterusnya. Kalau kita menang lawan Muangthong kita sudah layak ke pusingan seterusnya, jadi lihat nanti,” katanya.
Perlawanan itu juga adalah aksi di tempat sendiri yang terakhir buat Selangor FC dalam saingan Kumpulan H yang menyaksikan mereka kini berada di tangga kedua dengan tujuh mata.
Dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Rajamangala pada 19 September lalu, Selangor terikat 1-1 dengan wakil Thailand itu dengan gol pasukan dijaringkan oleh Ronnie Fernandez.
Berdasarkan format kejohanan ACL2, dua pasukan di tangga teratas setiap kumpulan akan layak ke pusingan 16.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menzahirkan harapan untuk melihat perubahan mampu dijelmakan oleh Kinoshi.
“Pengalaman luas dan kepemimpinannya akan menjadi kunci penting untuk kami memulakan babak baharu yang menarik ini. Kami yakin bahawa visi beliau akan membimbing pasukan menuju kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










